RENCANA UTAMA

Mengenang 18 tahun gempa bumi terburuk Turki

Mengenang 18 tahun gempa bumi terburuk Turki


GEMPA bumi yang berlaku menyebabkan hampir separuh daripada bangunan di negara tersebut runtuh.


“SAYA bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas di muka bumi ini.

“Biarpun tragedi gempa bumi itu telah berlalu 18 tahun lalu, namun kejadian pada malam tersebut masih segar dalam ingatan kami,” kata Mahmod Al-Bakri, 49.

Menurut Mahmod, ketika kejadian pada 17 Ogos 1999 itu berlaku, dia dan keluarganya sedang lena dibuai mimpi.

Bagaimanapun, tidurnya pada malam itu terganggu apabila dia merasakan satu gegaran sangat kuat. Beberapa barangan di dalam kamar tidurnya turut jatuh.

Beberapa minit selepas gegaran tersebut berlaku, bekalan elektrik di rumahnya terputus.

“Saya sangka itu merupakan tanda-tanda awal dunia mahu kiamat. Bagaimanapun, seorang jiran datang memberitahu bahawa ia hanyalah kejadian gempa bumi.

“Saya bersyukur kerana kawasan kediaman kami yang terletak di Mugla, satu kawasan yang terletak di barat daya Turki tidak terjejas teruk, berbanding mereka yang mendiami kawasan barat laut negara ini.

“Kami hanya mengalami gangguan bekalan elektrik dan runtuhan beberapa bangunan kecil sahaja,” jelasnya.

Kilang minyak terbakar

Mahmod bersyukur kerana tragedi gempa bumi yang meragut ribuan nyawa penduduk Turki itu tidak berulang lagi sejak kejadian tersebut.

Pada 17 Ogos lalu, genap 18 tahun bencana yang meragut ribuan nyawa yang berlaku di kawasan barat laut Turki.

Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 3 pagi itu menyebabkan lebih 17,000 nyawa terkorban, manakala 250,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Difahamkan, gempa awal berlaku di sekitar Izmit, sebuah bandar pesisir yang terletak tidak jauh dari Istanbul sebelum ia merebak ke kawasan lain.

Gempa tersebut menyebabkan kemusnahan yang besar apabila sebanyak 40,000 buah rumah dan bangunan di Izmit runtuh.

Lebih mengerikan, ia turut menyebabkan berlakunya kebakaran besar sebuah kilang minyak di kawasan berhampiran.

Menurut beberapa sumber, 90 peratus daripada rumah di kawasan Yolava (berhampiran Izmit) runtuh, manakala ratusan anggota tentera di Golcuk terperangkap dalam runtuhan batu-bata apabila berek yang didiami mereka runtuh.


KEBANYAKAN mangsa berjaya dikeluarkan lima hari selepas gempa bumi berlaku.


Ternyata, bencana itu memberi tekanan dan menimbulkan masalah besar buat kerajaan Turki pada waktu tersebut.

Difahamkan, pihak berkuasa pada waktu itu tidak mempunyai pelan kecemasan untuk berhadapan dengan bencana mengejut seperti apa yang berlaku pada hari berkenaan.

Sukarelawan luar

Disebabkan itu, mangsa gempa bumi yang terperangkap dalam runtuhan batu-bata dan hanya dapat dikeluarkan lima hari selepas kejadian.

Ini kerana, pada waktu itu kerajaan gagal menghantar petugas untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun, gempa bumi yang berlaku di Turki itu berjaya menarik perhatian beberapa orang sukarelawan dari luar negara.

Buktinya, ribuan sukarelawan dari Austria, dan New Zealand turut membanjiri negara tersebut bagi menjalankan misi menyelamat.

Biarpun gempa bumi tersebut merupakan satu bencana alam, namun, orang ramai meletakkan kesalahan tersebut di atas bahu kontraktor-kontraktor di negara berkenaan.

Dakwa mereka, bangunan-bangunan di kawasan terlibat runtuh kerana pihak kontraktor menggunakan barangan berkualiti rendah dan mencampurkan terlalu banyak pasir dalam binaan konkrit dalam proses pembinaan bangunan.

Kesan daripada penggunaan bahan yang tidak berkualiti, bangunan-bangunan di Turki mengalami ketidakstabilan struktur dan akhirnya menyebabkan ia mudah runtuh terutamanya apabila berlaku gegaran.

Mengambil kira dakwaan tersebut, pihak kerajaan kemudian menahan kesemua kontraktor dan jurutera yang membangunkan projek pembinaan di kawasan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, seorang kontraktor di Yalova, Veli Grocer, terpaksa melarikan diri ke luar negara apabila mangsa bencana bertindak agresif dengan membakar kediamannya.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 78