RUANG

Patung beruang ceriakan kafe

Patung beruang ceriakan kafe

RUANG makan utama yang dihias dengan patung beruang menjadi kegemaran pelanggan untuk menjamu selera.


BANDAR Subang Jaya khususnya di SS15 cukup terkenal sebagai laman gastronomi buat pecinta makanan. Lambakan kafe dengan cetusan idea dan konsep tersendiri dapat dilihat mewarnai kawasan berkenaan.

Salah satu daripadanya termasuklah kafe Big Hug Burger yang memiliki karakteristik tersendiri, menjadikannya berbeza daripada premis lain.

Terletak di Subang Square Corporate Tower, SS15, kafe yang diusahakan oleh Jason Wong dan Daniel Wong itu mengetengahkan elemen kasual moden kepada susun letak ruang dalamannya.

Beroperasi sejak tiga tahun lalu, kafe itu sememangnya mempunyai pelanggan setia khususnya dalam kalangan pelajar dan mereka yang telah berkeluarga.

Untuk itu, rekaan yang kasual dan praktikal sesuai bagi semua lapisan pelanggan dipilih agar dapat menjamin keselesaan setiap pengunjung.

Jurucakapnya, Khoo Kah Veen berkata, sesuai dengan namanya, salah satu elemen yang menjadi daya tarikan di Big Hug Burger tentulah patung beruang bersaiz besar yang diletakkan di ruang makan utama premis.

Tiga dimensi

“Pelanggan kami, terutamanya kanak-kanak memang suka memeluk dan bermain dengan patung tersebut.

“Sudut patung beruang ini diletakkan juga menjadi kegemaran pelanggan untuk merakam gambar,” ujarnya kepada kru Jurnal.

Selain patung beruang bersaiz besar, ruang kafe juga dihias dengan beberapa patung beruang kecil yang disusun kemas di atas rak pada bahagian dinding kaca premis.

Penataan elemen itu secara tidak langsung menampilkan kesenadaan kepada keseluruhan dekorasi kafe tersebut.

Di bahagian dinding lain, bingkai-bingkai gambar yang dimuatkan dengan item dekorasi seperti perkakas memasak termasuk senduk, periuk bertangkai, cawan, piring serta bekas garam dan lada hitam mencipta feature wall.


CORAK titisan air di bahagian dinding sebenarnya merupakan kad mesej untuk pelanggan meninggalkan maklum balas.


Ia terus diserikan dengan hiasan lain seperti gitar dan ranting pokok kering yang bukan sahaja bertindak sebagai titik tumpu, malah turut menyuntik efek tiga dimensi kepada dekorasi berkenaan.

“Saya difahamkan, hiasan dinding ini diinspirasikan daripada dekorasi kafe ala Barat, namun ia diberi sentuhan tempatan agar sesuai dengan cita rasa pelanggan,” kata Kah Veen.

Roti ban arang

Dari segi penataan perabot, kerusi dan meja makan kayu menguasai ruang bagi menampung sekurang-kurangnya 70 orang pelanggan pada satu-satu masa.

Di satu sudut, sofa dua tempat duduk berwarna hitam dan merah dengan hiasan bantal-bantal comel mewujudkan suasana santai buat pelanggan yang mahu menjamu selera secara relaks.

Di sudut lain, kerusi dan meja makan berkaki tinggi diletakkan untuk memberi impak kelainan kepada segmen ruang makan.

Ruang kafe itu turut menyediakan sebuah sudut mesra kanak-kanak yang menempatkan koleksi beberapa permainan seperti tikar mainan, plastisin, patung lembut dan sebagainya.

Warna-warna terang membangkitkan aura ceria di sudut berkenaan sesuai untuk si cilik melakukan aktiviti kesukaan tanpa perlu bimbang mengenai keselamatan mereka.

Mampu memuatkan pelanggan dalam jumlah yang besar pada satu-satu masa, Big Hug Burger juga sesuai dijadikan ruang acara untuk majlis santai seperti sambutan majlis hari lahir dan ulang tahun selain acara korporat.


KAFE ini mampu memuatkan antara 70 hingga 80 orang pelanggan pada satu-satu masa.


“Pelanggan boleh mengadakan majlis ringkas sambil menikmati seleksi pasta dan burger pelbagai perisa yang disediakan di restoran ini,” katanya.

Big Hug Burger terkenal dengan juadah burger istimewa seperti burger OMG iaitu kepingan daging ayam dan telur masin yang dihidang bersama pilihan roti ban arang atau roti bijan dan burger Nachos dihidang tanpa roti sebaliknya diapit oleh kepingan keju mozarela tebal.

“Pelanggan juga boleh mencuba burger ketam cangkerang lembut bersama sos ebiko mayonis dan burger Dancing Cow yang mengetengahkan rasa unik menerusi sos daripada campuran sambal dan mentega kacang,” kata Kah Veen.

Bagi pelanggan yang mengamalkan diet sayur-sayuran, mereka boleh memesan menu burger dan pasta vegetarian yang berasaskan cendawan serta telur.

Hidangan signatur lain termasuklah burger gergasi bersaiz XXL hingga XXXXL yang sesuai untuk mengganti kek dalam sambutan majlis hari jadi. Hidangan menu utama di Big Hug Burger boleh didapati pada harga RM14 hingga RM24.

Big Hug Burger turut memiliki cawangan di PV128, Setapak dan terbaharu di Cheras yang bakal beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 47