VARIA

Makanan tempatan berasaskan sup

Makanan tempatan berasaskan sup

NORMAH menunjukkan nasi ayam dan soto yang menjadi menu paling popular di kafe Oh My Soto! di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan.


PELBAGAI jenis makanan tempatan terutamanya yang berasa pedas, masam dan manis mencerminkan identiti serta keunikan masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, sesetengah daripada makanan itu hanya boleh ditemui pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau majlis keraian tertentu.

Namun, kini sesiapa sahaja boleh menikmatinya pada bila-bila masa di kafe Oh My Soto! di Jalan Bayam, Kampung Khatib Ali, Kota Bharu Kelantan.

Sesuai dengan slogan Oh My Soto! Everyone can taste it!, kafe itu menyajikan pelbagai jenis makanan tempatan, antaranya soto, nasi ayam, mi kari, mi rebus, laksa Penang, lontong, nasi air, pasembor dan colek ayam yang pasti menambat selera sesiapa sahaja.

Pemilik kafe, Normah Omar, 40, berkata, soto, nasi ayam dan mi kari antara menu pilihan utama pelanggan tetap yang rata-rata terdiri daripada pekerja kerajaan dan swasta, pelajar sekolah serta orang luar Kelantan yang menetap di negeri itu.

“Soto boleh dinikmati dengan nasi impit, bihun, mi serta kuetiau berserta bergedil dan kuah kicap yang pedas. Ia pasti menambat selera setiap pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan yang terdiri daripada penduduk tempatan lebih gemar menikmati soto bersama bihun.

“Selain daripada itu, laksa Penang dan mi rebus menjadi pilihan kedua pelanggan.


Mi kari turut menjadi pilihan pelanggan.


“Resipi setiap menu merupakan resipi saya sendiri dan semua sajian itu saya masak sendiri hasil bantuan beberapa orang pekerja,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, kafe Oh My Soto! turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan.

“Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp dan minimum pesanan perlu bernilai RM30 ke atas serta radius penghantaran adalah lima kilometer (km) dari kedai.

Harga menu

“Namun, caj perkhidmatan RM2 akan dikenakan bagi setiap kilometer sekiranya melebihi 5km.

“Pelanggan juga digalakkan membuat tempahan awal sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu penghantaran.

“Ini kerana bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang, kami sibuk melayan pelanggan di kafe,” jelasnya.

Kafe Oh My Soto! turut menawarkan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan dan jamuan bagi badan kerajaan atau korporat yang mahu menikmati makanan tempatan dengan pakej yang istimewa.

Harga bagi setiap menu adalah berpatutan iaitu bermula dari RM4 hingga RM5.50.


Soto nasi impit menjadi makanan signatur dalam kalangan pelanggan.


Normah berkata, sebelum membuka kafe ini, dia menjual soto secara kecil-kecilan di bazar Stadium Sultan Muhammad 1V di Jalan Mahmood selama lapan tahun.

“Cabaran berniaga di Kelantan memang perit pada awal pembukaan kafe.

“Ini kerana orang Kelantan memang lebih menggemari nasi berbanding soto tetapi lama-kelamaan mereka boleh terima makanan yang dijual kerana rasanya memang berbeza daripada masakan Kelantan,” katanya.

Ibu kepada enam orang anak yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu telah menetap di Kelantan lebih 10 tahun selain pernah tinggal di Johor Bahru selama enam tahun.

“Ketika menetap di Johor Bahru, saya telah mempelajari cara-cara menyediakan sup daripada seorang kenalan.

“Daripada situ, saya olah ia menjadi resipi saya sendiri. Sebab itulah, makanan utama di kafe ini terdiri daripada makanan tempatan berasaskan sup,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 47