RENCANA UTAMA

Bolt ucap selamat tinggal kepada olahraga

Bolt ucap selamat tinggal kepada olahraga



"SAYA telah melihat ramai atlet yang mengambil keputusan untuk bersara membuat kemunculan semula. Itu hanya memburukkan lagi keadaan dan memalukan diri sendiri.

"Saya tidak mahu menjadi salah seorang daripada mereka,” kata Usain Bolt, 30, ketika ditanya sama ada dia akan menarik balik keputusan untuk bersara itu baru-baru ini.

Pelari pecut kelahiran Jamaica itu membuat keputusan untuk bersara selepas menyertai Kejohanan Olahraga Dunia 2017.

Bolt menegaskan, kejohanan yang berlangsung di London, England itu menjadi medan terakhirnya sebelum bersara, sekali gus menafikan dakwaan akan beraksi pada Sukan Komanwel 2018 di Australia.

Pada penampilan terakhir di London itu, semua orang menjangkakan dia akan mengakhiri karier dengan penuh gilang-gemilang.

Namun Bolt sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara kegemaran, 100 meter (m).

Dia melalui hari-hari yang suram apabila mengalami kecederaan ketika mewakili Jamaica di peringkat akhir acara 4x100m pada kejohanan yang sama.

"Kejohanan ini tidak akan mengubah apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Selepas tewas dalam acara 100m, seseorang berkata kepada saya, ‘Muhammad Ali juga kalah dalam pertarungan terakhirnya, jadi usah tertekan’


BOLT (kiri) menoleh sambil tersenyum ke arah kamera ketika menamatkan larian dalam acara 100m pada Sukan Olimpik 2018 di Rio de Janeiro, Brazil.


.

"Saya telah berusaha sehabis baik sepanjang karier dan kekalahan pada perlumbaan terakhir ini tidak akan mengubah apa yang telah saya kecapi dalam sukan ini,” jelasnya.

Bolt yang merangkul lapan pingat emas pada Sukan Olimpik menegaskan, dia tidak menyesal dengan keputusan untuk bersara daripada dunia olahraga kerana sudah mengecapi semua yang diinginkan dalam sukan itu.

"Saya sudah melakukan apa yang saya mahukan dalam sukan ini.

"Saya bertanya kepada Michael Johnson (bekas pelari pecut Amerika Syarikat) soalan yang sama, kenapa anda mahu bersara ketika berada di puncak karier?

"Dia (Johnson) memberitahu perkara yang sama bahawa dia sudah lakukan apa yang dia mahukan.

"Jadi, tiada sebab untuk terus kekal dalam sukan itu. Sekarang saya faham apa yang dia maksudkan,” kata Bolt kepada agensi berita Reuters ketika menghadiri Anugerah Sukan Dunia Laureus di Monaco, Februari lalu.

Persaingan


BOLT mencatatkan rekod dunia dalam acara 100m dengan catatan masa 9.58s pada Kejohanan Olahraga Dunia 2009 di Berlin, Jerman.


Sementara itu, seorang lagi jaguh dunia, Justin Gatlin dari Amerika Syarikat berkata, persaingan acara larian pecut akan menjadi lebih menarik selepas persaraan Bolt.

Namun, dia tetap yakin Bolt akan membuat kemunculan semula pada masa akan datang.

Gatlin mengakui, sesuatu yang sukar buat pencabarnya itu untuk hidup tanpa olahraga.

"Mengapa tidak? Dia mempunyai mentaliti seperti bintang rock. Dia boleh menjelajah ke seluruh dunia, berseronok dan berparti.

"Saya tidak terkejut jika selepas ini dia bercakap, ‘saya mahu kembali sekali lagi dengan serius’.

"Dia mempunyai peluang untuk kembali. Sebaik bersara, dia mungkin boleh berehat selama setahun dan berkata, saya tidak boleh terlalu awal meninggalkannya kerana begitu mencintai trek,” kata Gatlin.


LATIHAN keras yang dilakukan membantu Bolt mengecapi kejayaan yang milikinya ketika ini.


Bolt boleh dianggap sebagai antara bintang sukan yang terkenal pada abad ini selain meraih pendapatan tertinggi dalam tempoh satu dekad.

Menurut laporan Fobres, Bolt meraih pendapatan sebanyak AS$34.2 juta (RM146 juta) tahun ini, sekali gus menjadikannya atlet ke-23 yang menerima bayaran tertinggi di dunia.

Bolt masih lagi dianggap sebagai manusia terpantas di muka bumi kerana rekod dunia dalam acara 100m yang dilakukannya belum berjaya diatasi oleh mana-mana atlet dalam acara tersebut.

Rekod dunia pertama dalam acara itu dicatat di New York pada tahun 2008 dengan catatan masa 9.72 saat (s).

Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China, Bolt mencatatkan rekod baharu dalam acara itu (9.69s).

Pada Kejohanan Olahraga Dunia di Berlin, Jerman setahun kemudian, dia sekali lagi memperbaharui rekod itu dengan catatan masa 9.58s.

Malah, Bolt juga diiktiraf sebagai pelari pecut paling berjaya dalam sejarah Sukan Olimpik apabila memenangi lapan pingat emas sepanjang tiga edisi berturut-turut bermula pada 2008 di China, 2012 (London) dan 2016 (Brazil).

Bakat


KEDUA-DUA ibu bapa Bolt banyak memberi sokongan dan dorongan dalam sukan yang diceburinya.


Dilahirkan pada tanggal 21 Ogos 1986 di Sherwood Content iaitu sebuah bandar kecil di Tralawny, Jamaica, masa kecil Bolt banyak dihabiskan dengan bermain kriket dan bola sepak jalanan.

Anak kepada pasangan Wellesley dan Jennifer Bolt itu tidak pernah memikirkan perkara lain seharian selain daripada aktiviti sukan sejak kecil lagi.

Bakatnya sebagai atlet pecut mula terserlah ketika mendapat pendidikan di Waldensia Primary selepas dia menyertai acara sukan tahunan di sekolah itu.

Semasa menuntut di Sekolah Tinggi William Knibb Memorial, Bolt banyak memberi tumpuan pada sukan kriket, namun dia dinasihatkan supaya mencuba acara trek dan balapan selepas jurulatih melihat potensi yang ada pada dirinya.

Bekas pelari pecut Olimpik, Pablo McNeil dan jurulatih, Dwayne Jarrett mendesaknya supaya memberi tumpuan pada acara olahraga.

"Sekolah saya mempunyai sejarah dalam sukan olahraga. Ramai bekas pelajar termasuk pelari pecut Michael Green berjaya mencipta nama.

"Saya memenangi pingat pada kejohanan tahunan pertama sekolah tinggi tahun 2001 apabila merangkul pingat perak dalam acara 200m dengan catatan masa 22.04s,” jelas Bolt.

Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2002 yang berlangsung di Kingston, Jamaica memberi peluang kepada Bolt untuk membuktikan kehebatannya di pentas dunia.

Pada usia 15 tahun ketinggiannya mencecah 1.96 meter dan dia merupakan atlet yang paling menonjol dalam kalangan rakan-rakan.

Pada kejohanan itu, Bolt telah memenangi acara 200m dengan catatan masa 20.61s, sekali gus membolehkannya muncul sebagai pemenang pingat emas termuda pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia.

Dia juga pernah dianugerahkan Pingat Austin Sealy sebagai atlet paling cemerlang dan Anugerah Raising Star pada Anugerah Persekutuan Olahraga Antarabangsa 2002.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 47