PESONA

Tatang kucing bagai anak sendiri

Tatang kucing bagai anak sendiri



DARI dalam sangkar, si comel berwarna hitam keperangan bernama Dang Anum dan Dang Sari itu tampak tenang biarpun suasana di pusat beli-belah Sunway Velocity, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi penganjuran Festival Kebangsaan Meow Royal Canin 2017 tersebut agak sesak dengan kehadiran pengunjung.

Kedua-dua haiwan itu merupakan antara peserta yang berentap pada pertandingan kucing anjuran Kelab Meow United Malaysia.

Sesekali pemiliknya, Hisyamuddin Jamaludin, 40, dan Siti Hajar Abd. Aziz, 40, mengusap mesra kucing baka maine coon itu.

"Kucing yang masing-masing berusia enam dan tujuh bulan ini bertanding dalam kategori anak kucing. Sebenarnya, ini kali pertama ia menyertai acara seperti ini.

"Kami turut mempunyai enam ekor kucing daripada baka yang sama di rumah,” ujar Hisyamuddin ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pasangan suami isteri yang datang dari Alor Gajah, Melaka itu tertarik untuk memelihara kucing daripada baka tersebut kerana sifatnya yang manja dan gemar berada di samping pemilik.

Ia juga bertubuh besar, panjang dan mempunyai bulu yang lebat.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, kucing-kucing tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.

Selain dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang, kucing itu turut dibiar bebas berkeliaran di dalam rumah.

"Kami memberikan makanan basah seperti daging dan ayam rebus serta tidak bergantung 100 peratus kepada makanan proses seperti biskut kucing. Ia bertujuan untuk membina otot yang kuat dan sihat.

"Sesekali saya sendiri akan menyediakan adunan puri yang diperbuat daripada lobak dan buah terpilih untuk bekalan nutrien tambahan mereka,” jelasnya.

Bilik khas


FESTIVAL Kebangsaan Meow Royal Canin 2017 menarik penyertaan 200 ekor kucing daripada 120 orang pemilik


Sementara itu, Shamsul Ngasian, 41, berkata, tugas memelihara kucing bukan suatu perkara yang boleh dipandang ringan dan dilakukan sambil lewa.

Dia dan isterinya, Suriyati Senin, 40, sanggup membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk menyediakan sebuah bilik khas yang agak selesa untuk menempatkan lapan ekor kucing baka campuran domestik serta Parsi jagaan mereka.

"Dahulu, ia ditempatkan di luar rumah dan menjadi masalah apabila ruang itu ditumbuhi fungus (kulat).

"Apabila mereka sakit, kami berasa susah hati. Mereka tidak ubah seperti anak sendiri,” tutur pengusaha khidmat pengangkutan pelancongan itu.

Bagi pencinta kucing sepertinya, tidak menjadi satu pembaziran untuk berhabis wang setiap bulan bagi memastikan haiwan kesayangan mereka dapat menjalani kehidupan dengan baik dan sempurna.


MOHD. JEFFREY mendukung salah seekor kucingnya yang bernama Megaswara daripada baka maine coon.


Mohd. Jeffrey Mohamad Ali, 32, yang turut bersetuju dengan pandangan itu berkata, kos penjagaan enam ekor kucing miliknya dari hujung kepala hingga hujung ekor boleh mencecah sehingga RM1,500 sebulan.

Ia meliputi barangan penjagaan diri seperti syampu, pasir kucing dan pembiayaan perubatan. Daripada aspek dietnya, kucing turut diberi makan daging mentah untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan bulu selain makanan kering seperti kibble.

Mohd. Jeffrey selaku Pengasas MJMA Cats Motel & Spa yang menawarkan perkhidmatan merias dan merapikan kucing menambah, ia bukan masalah besar jika pemilik haiwan kesayangan ikhlas untuk melakukannya.

"Ia satu pelaburan yang berbaloi apabila anak bulu kesayangan mereka dapat membesar dengan sihat dan cantik,” ujarnya yang turut membawa dua kucingnya bernama Mahardeecaa dan Megaswara pada pertandingan tersebut.

Anugerah


AWALUDDIN (tengah) merupakan salah seorang daripada panel hakim yang bertugas pada hari pertama dan kedua pertandingan itu.


Anak jati Kuala Lumpur itu kini boleh berbangga apabila kucing peliharaannya sering memenangi pelbagai anugerah.

Menurutnya, dari segi ranking, seekor daripada kucingnya pernah menduduki tangga ke-16 terbaik Asia tahun lalu.

Pengiktirafan itu diperoleh daripada Cat Fanciers Association (CFA) di Chiang Mai, Thailand dengan skor melebihi 90 markah.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Meow United Malaysia, Whan Airil Yusuf berkata, penganjuran pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk memupuk semangat mencintai kucing dan mendekati peminat haiwan tersebut.

Selain mengetengahkan baka popular utama seperti maine coon, munchkin, Bengal dan British shorthair, pihaknya turut menonjolkan baka domestik seperti Malaysian bobtail dan Malaysian muchkin bagi menyemarakkan rasa bangga terhadap baka kucing tempatan.

"Pertandingan itu menarik penyertaan 200 ekor kucing yang melibatkan 120 orang pemilik. Bagi setiap baka yang dipertandingkan, baka asal turut dipamerkan.


KUCING dinilai daripada aspek fizikal, teknik berhias dan kesihatan.


"Ia bertujuan memberi informasi berkaitan garis panduan sistem pembiakan kucing, ciri-ciri fizikal serta maklumat baka yang diketengahkan. Dalam hal ini, ada antara baka asal berharga mencecah belasan ribu ringgit.

"Selain itu, ia juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui situasi sebenar dan cara penjagaan kucing seperti teknik berhias, kesihatan, kebersihan dan kualiti bagi memperbaiki kemahiran serta prestasi pengurusan kucing mereka pada masa akan datang,” katanya.

Program itu turut disertai Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan yang mengadakan promosi pemasangan mikrocip kepada haiwan peliharaan pada harga serendah RM12.

Pemasangan itu bukan bertujuan menjejak kedudukan haiwan peliharaan, sebaliknya ia berfungsi seperti kod identiti bagi menjamin hak pemilikan dan keselamatan pemakai.

"Sekiranya berlaku kecurian, kucing yang hilang boleh ditentukan pemiliknya menerusi mikrocip yang bertindak seperti nombor pengenalan yang disimpan dalam data komputer,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 15