VARIA

Kembalikan kegemilangan permainan gasing

Kembalikan kegemilangan permainan gasing

PARA peserta beradu kemahiran pada Pertandingan Gasing Pangkah 2017 yang berlangsung di pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PERMAINAN gasing bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini. Permainan tradisional sejak turun-temurun itu sering dimainkan selepas musim menuai padi.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gasing bermaksud alat permainan pelbagai bentuk dan berpaksi yang dipusing menggunakan tali.

Terdapat pelbagai jenis gasing di Malaysia seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.

Malangnya, gasing semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya generasi muda. Permainan itu disisihkan kerana dianggap kurang menarik selain kemunculan internet dan permainan video.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Persatuan Gasing Malaysia (Pegama) terpanggil untuk menganjurkan Pertandingan Gasing Pangkah 2017 (PGP2017).

Pertandingan memasuki kali kelima itu berlangsung di gelanggang gasing terbuka pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Ogos lalu.

Ketua Pengarah JKKN, Norliza Rofli berkata, pertandingan itu bertujuan untuk memastikan permainan gasing tidak hilang ditelan zaman sambil mencungkil bakat baharu.

Katanya, permainan tradisional masyarakat Melayu Nusantara itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan hanya pemain mampu menilai kepuasan bermain gasing.

“Sebagai salah sebuah jabatan yang memartabatkan permainan tradisional, kami bertanggungjawab untuk mempertahankan permainan ini supaya tidak pupus ditelan zaman.

“Generasi muda tidak kira di kampung atau bandar perlu mengenali permainan ini kerana ia merupakan salah satu budaya masyarakat Melayu,” kata ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pulangan lumayan


SEORANG pelancong asing teruja melihat permainan gasing.


Tambah Norliza, bermain gasing membolehkan seseorang menerima pulangan lumayan terutamanya apabila menyertai pertandingan dan diundang mengadakan persembahan.

Katanya, pihak JKKN berasakan, satu kerugian andai golongan muda tidak mahu mengambil peluang mendalami permainan tradisional itu.

“JKKN sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah kepada permainan tradisional dalam usaha menjadikannya pemangkin perkembangan seni budaya tanah air,” katanya.

PGP2017 disertai sebanyak 26 kumpulan yang mengambil bahagian dalam kategori remaja dan terbuka dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 176 orang dari seluruh negara.

Setiap kumpulan bersaing merebut hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM20,000 untuk dibawa pulang.

Menariknya, para peserta diwajib menggunakan gasing polimer dalam pertandingan itu.

Pengerusi Pegama, Kassim Isop berkata, salah satu perubahan yang dialami oleh gasing adalah bahan asas pembuatan daripada kayu kepada polimer.

Katanya, walaupun berbeza dengan gasing kayu yang dimainkan sejak dahulu, bentuk permainannya masih dikekalkan.

“Penggunaan gasing polimer yang diperkenalkan dalam pertandingan ini memberi banyak faedah kepada permainan.

“Dahulu, apabila kami masih menggunakan gasing kayu, pengadil terpaksa mengenal pasti saiz dan berat gasing digunakan pemain sama ada sesuai atau tidak untuk pertandingan.

“Namun kini, semua pemain telah menggunakan gasing polimer. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa tetapi tidak mudah pecah dan selamat dimainkan,”, katanya.

Kejohanan selama tiga hari ini dimulakan dengan saringan antara kumpulan dari setiap negeri yang turut disertai Brunei dan Singapura.

Para pengunjung juga dihidangkan dengan demonstrasi pembuatan tali gasing, jualan gasing polimer dan gasing kayu, persembahan permainan gasing oleh kumpulan jemputan khas dari Terengganu.

Pertandingan PGP2017 juga berjaya menarik perhatian para pelancong luar negara untuk melihat dan mempelajari cara-cara permainan gasing.

Para penggiat dan peminat seni budaya tanah air boleh mengunjungi laman sosial rasmi JKKN di Facebook, Instagram dan Twitter atau laman web, www.jkkn.gov.my.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 78