RENCANA UTAMA

Tonton lebar sayap ke Brunei

Tonton lebar sayap ke Brunei



KEMAJUAN internet yang wujud sejak tahun 1990-an tidak hanya membuka jaringan komunikasi dan teknologi maklumat tanpa sempadan, bahkan lebih menarik lagi ia menjadi platform hiburan mudah alih buat pengguna masa kini.

Revolusi internet turut membuka dimensi baharu terhadap dunia penyiaran digital apabila wujudnya perkhidmatan penstriman video yang kini menjadi prospek baharu kepada stesen televisyen di Malaysia.

Sebagai salah sebuah gergasi penyiaran tanah air, langkah drastik turut diambil Media Prima Berhad apabila menggunakan kaedah sama dalam meluaskan empayar Tonton kepada pengguna negara luar.

Selepas kerjasama dengan Singtel TV Singapura pada Jun lalu, aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun menerusi Play Store dan App Store terus melangkah setapak ke hadapan.

Terbaharu, aplikasi popular tersebut meluaskan jaringan penonton ke Brunei apabila menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi terbesar di negara berkenaan iaitu DSTCom Sdn. Bhd.

Kerjasama tersebut sekali gus menjadikan Brunei sebagai negara kedua selepas Singapura yang menawarkan perkhidmatan aplikasi Tonton bagi mendapatkan kandungan hiburan terkini dari Malaysia.

Kerjasama

Menurut Pengurus Kanan Barangan Pengguna DSTCom Sdn. Bhd., Suzana Ahmad, pihaknya meletakkan sasaran pertumbuhan sebanyak lima peratus bagi jumlah pengguna pada setiap tahun impak daripada kerjasama tersebut.

Katanya, gabungan antara organisasi telekomunikasi dan penyiaran tersebut secara tidak langsung dapat mengubah landskap pemikiran pengguna yang sebelum ini hanya menggunakan perkhidmatan DST sebagai medium telekomunikasi.

Tambahan, kemudahan aplikasi Tonton juga dapat memberikan kefahaman kepada pengguna tentang jumlah penggunaan data internet. Ia sekali gus membantu pengguna agar tidak terbeban dengan caj tersembunyi atau penggunaan data berlebihan disebabkan paparan iklan ketika sedang melayari internet.

“Kolaborasi ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna sedia ada termasuk menarik lebih ramai lebih rakyat tempatan (Brunei) untuk menjadi sebahagian daripada keluarga DST, “ katanya ketika ditemui pada Karnival Mini Easi DST Ulang Tahun ke-18 di Amphitheatre Jerudong Park, Bandar Seri Begawan, Brunei pada 12 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Suzana turut mengharapkan aplikasi Tonton dapat memenuhi permintaan peminat Brunei terhadap drama rantaian dan filem terbitan Malaysia dengan penawaran kandungan hiburan terkini.

“Meskipun sistem pendidikan di Brunei mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris, tetapi mereka tetap gemar menonton drama rantaian dan filem keluaran Malaysia.

“Sambutan menggalakkan yang diterima telah menjadi inspirasi buat kami untuk menjalin kerjasama dengan Media Prima Berhad sekali gus meneruskan hubungan baik antara dua negara,” jelasnya optimis.

Ekspres

Menyambut baik respons rakyat Brunei terhadap kandungan hiburan Malaysia, Pengarah Tonton dan Pelesenan & Pembarangan Media Prima Berhad, Airin Zainul, berkata, pihaknya berusaha memastikan perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti dan berbaloi.

Pengguna dapat menonton program kegemaran mereka menerusi aplikasi Tonton yang disiarkan dalam format definisi tinggi (HD) dengan hanya mengenakan bayaran serendah BND$2 (RM6.28).

Sebagai kelebihan istimewa kepada pelanggan Tonton di Brunei, mereka berpeluang menjadi penonton pertama yang dapat menyaksikan barisan drama popular Malaysia enam bulan lebih awal sebelum ditayangkan di kaca televisyen tanah air.

“Terdapat sebahagian kandungan sama di kedua-dua buah negara manakala selebihnya akan menjadi eksklusif dan ekspres buat pengguna Brunei iaitu disiarkan awal enam bulan sebelum siaran di Malaysia.

“Namun, terdapat juga kandungan yang disiarkan menerusi aplikasi Tonton Malaysia tidak akan ditayangkan buat pengguna negara lain,” terangnya mengenai perbezaan tayangan program Tonton.

Antara kandungan menarik khusus untuk peminat Tonton pada masa depan, mereka berpeluang menyaksikan filem J Revolusi dihasilkan dalam bentuk drama rantaian.

Bakal ditayangkan pada tahun depan, langkah tersebut merupakan salah satu tarikan baharu buat pengguna Tonton.

Inovasi


MAJLIS menandatangani memorandum kerjasama syarikat telekomunikasi terbesar Brunei, DST dan Media Prima Berhad.


Impian untuk meluaskan pengaruh hingga ke peringkat global pastinya menjadi sasaran warga Tonton di samping mengukuhkan kedudukan berada sebaris dengan aplikasi penstriman antarabangsa popular seperti Netflix dan iflix.

“Kami pastinya mempunyai perancangan masa depan untuk terus melangkah ke hadapan dan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada lebih tujuh juta pengguna berdaftar.

“Setiap minggu kami menerima lebih 20,000 pengguna baharu. Sambutan sebegitu menuntut kami menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam memberikan kandungan hiburan terbaik buat pelanggan.

“Kami tidak hanya ingin memberi tumpuan kepada kandungan bahasa Melayu, sebaliknya memberi penekanan terhadap kandungan dalam bahasa Mandarin,” ujar Airin panjang lebar.

Menyasarkan pasaran di Asia Tenggara, Tonton bagaimanapun memilih untuk memberi fokus terhadap negara berhampiran Malaysia sebelum meneroka arena global pada masa akan datang.

Selain itu, pelantikan wajah Tonton yang terdiri daripada usahawan kosmetik tersohor, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida, pelakon Ayda Jebat dan Redza Rosli juga berperanan besar dalam memperhebatkan penjenamaan Tonton.

Pengaruh yang dimiliki para selebriti itu secara tidak langsung menarik peminat untuk mendekati perkhidmatan aplikasi Tonton.

Ratu Tonton

Merupakan salah seorang pengguna aplikasi Tonton, pelantun lagu I Am Me yang turut mesra disapa sebagai DSV itu nyata teruja apabila sekali lagi diberi peluang menjayakan promosi jenama yang diwakilinya itu ke Brunei, selepas di Singapura, Ramadan lalu.

Berperanan sebagai Ratu Tonton, Vida juga sanggup melanggan perkhidmatan berkenaan sebelum ini bagi memenuhi keinginannya menonton naskhah drama secara online.

“Disebabkan kekangan waktu, saya memilih untuk melanggan aplikasi Tonton bagi mendapatkan bahan hiburan dengan mudah dan selesa biar di mana sahaja berada.

“Tambahan saya sendiri gemar menonton drama dan adakala ketinggalan untuk menyaksikan di kaca televisyen.

“Oleh itu, saya mengambil pendekatan menonton secara atas talian menerusi Tonton,” kata DSV yang turut mempunyai program sendiri di Tonton bertajuk Casa Mewah Dato Seri Vida.

Program tersebut memaparkan koleksi barangan mewah di kediaman peribadi beliau yang belum pernah dipertontonkan kepada umum.

Menceburkan diri dalam lapangan seni bukan bertujuan untuk meraih populariti, namun bagi Vida cara tersebut mampu membuka ruang baharu buat dirinya mengembangkan perniagaan dan membina pengaruh lebih luas.

“Sebagai ahli perniagaan, saya sentiasa berfikir tentang peluang bisnes. Setiap peluang yang ada akan digunakan sebaik mungkin bagi meluaskan perniagaan,” tutur beliau bersungguh-sungguh.

Selain meluaskan pasaran dan pengaruh ke Brunei, kunjungan delegasi Tonton yang juga dihadiri oleh Ayda dan Redza turut diserikan dengan kehadiran maskot Ejen Ali daripada animasi paling popular di saluran berkenaan.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 47