STAILO

Model cabar standard kecantikan dunia

Model cabar standard kecantikan dunia

Diop (dua dari kanan) bangkit daripada menjadi mangsa buli untuk membuktikan keistimewaannya di hadapan lensa kamera.


Semasa di sekolah menengah dahulu, Nyakim Gatwech menangis sendirian apabila memikirkan nasib dirinya yang tidak cantik dan berkulit sangat gelap.

Siapa sangka, gadis kelahiran Sudan Selatan itu kini menjadi model dan ikon kecantikan dengan hanya menonjolkan keunikan dirinya.

Gadis berusia 24 tahun itu membuka mata banyak pihak dan menjadi inspirasi wanita apabila berani keluar daripada stigma negatif terutamanya warna kulit.

Dia berkongsi rahsia untuk bangkit daripada terus ditertawakan iaitu dengan mencintai diri sendiri.

“Ia memerlukan masa untuk mencintai siapa anda. Yakin dalam apa jua keadaan.

“Jika anda suka dengan diri sendiri, sinar itu akan terserlah dan terpulang kepada orang sekeliling untuk menerima atau berlalu pergi,” tuturnya.

Gatwech mula menjadi viral apabila menyiarkan kisah hidupnya di laman Instagram. Gadis itu memberitahu, seorang pemandu Uber pernah menawarkan khidmat memutihkan kulit dengan bayaran AS$10,000 (RM42, 990)

“Saya hanya ketawa sebaik mendengar soalan pemandu itu dan memberitahunya bahawa saya tidak akan sesekali melakukan perkara tersebut.

“Saya menganggap kulit ini sebagai satu rahmat,” ceritanya.

Sejak itu, Gatwech diberi nama timbangan Queen Of The Dark oleh peminatnya. Dia menjadi inspirasi tidak kira kanak-kanak mahupun golongan dewasa.

“Saya sering memberikan kata-kata semangat kepada orang ramai setiap kali memuat naik gambar seperti ‘saya sangat sayangkan diri dan suka dengan warna kulit ini’.

“Saya katakan pada diri sendiri bahawa saya tetap cantik walaupun kelihatan berbeza daripada majoriti orang di dunia ini,” terangnya.

Memiliki pengikut Instagram seramai 295,000 orang, Gatwech menggunakan kemasyhurannya untuk mencabar piawaian kecantikan Amerika Syarikat (AS).

Gatwech yang menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dalam kalangan orang kulit hitam di Ethiopia dan Kenya tidak pernah berasa diperlekehkan atau dipandang serong sehinggalah dia tiba di AS.

“Saya tidak pernah mempunyai masalah dengan warna kulit sebelum ini sehinggalah berpindah ke AS pada usia 14 tahun.

“Di sekolah, rakan-rakan memandang pelik dan mentertawakan saya,” jelas.

Kini, model itu menjadikan rona kulit gelap sebagai satu cabaran dan mewakili semua orang yang mempunyai warna sama dalam dunia model.

Mangsa buli

Seorang lagi model yang kulitnya kaya dengan melanin, Khoudia Diop turut membuktikan kecantikan di sebalik warna kulit itu.

Model kelahiran Sinegal yang dikenali sebagai Dewi Melanin itu berkata, jika anda bernasib baik untuk menjadi berbeza, jangan pernah berubah.

Akuinya, sebagai wanita berkulit gelap, dia sering berasakan bahawa jika mempunyai kulit putih pasti wajah akan lebih cantik.

Diop, 19, mempunyai pengalaman pahit dibuli ekoran kulitnya yang sangat gelap dan digelar dengan pelbagai kata-kata cacian.

“Mereka menggelar saya gelap dan anak perempuan malam.

“Apabila usia meningkat dewasa, saya tekad untuk berdepan pembuli dengan belajar mencintai diri sendiri setiap hari dan tidak memberi perhatian kepada orang-orang yang negatif,” tuturnya.


RAUT wajah seperti patung Barbie menonjolkan kecantikan Makuey walaupun dia berkulit gelap.


Dia yang kini mencipta nama dalam dunia model mempunyai 528,000 pengikut di Instagram

Tambah Diop, peristiwa yang menimpa itu membuatkan dirinya ingin memberi sinar baharu dan inspirasi kepada wanita berkulit gelap.

“Saya ingin menyampaikan mesej bahawa bagaimana rupa anda tidak penting sebaliknya kamu hendaklah cantik dari dalam.

“Saya akan terus memberi inspirasi kepada wanita muda berkulit gelap dan menyedarkan mereka bahawa kita mampu melakukan apa sahaja yang dihajati sama seperti orang lain,” jelasnya.

Diop yang memulakan kerjaya itu kira-kira dua tahun lalu mahu mengubah persepsi industri peragaan terhadap kecantikan dengan menggalakkan orang ramai yakin dengan diri mereka.

Peraturan

Sementara itu, seorang lagi model kulit hitam yang mengubah persepsi kecantikan sebenar ialah Lolita Makuey.

Walaupun berkulit gelap, raut wajah yang seperti patung itu menjadikan Makuey popular dan digelar Black Barbie.

Dia yang menggelarkan dirinya sebagai black Hannah Montana mempunyai peminat yang sangat ramai dan diikuti oleh 496,000 orang di laman Instagram.

Dia menentang keras penilaian kecantikan yang berat sebelah apatah lagi jika melibatkan warna kulit.

“Saya tidak pernah ikut peraturan berkaitan fesyen atau kecantikan.

“Saya suka apa yang dirasakan cantik pada pandangan mata dan pakai apa yang digemari,” ujarnya.

Keberanian Makuey keluar daripada stigma masyarakat telah memberi inspirasi kepada wanita untuk menyayangi diri mereka dan tidak meletakkan definisi kecantikan terhadap satu aspek sahaja.

Tekanan kepada masalah warna kulit menyebabkan ramai wanita mendapatkan rawatan untuk mencerahkan kulit walaupun menelan kos yang sangat tinggi.

Namun, bagi Makuey kulit gelap bukan suatu kekurangan, sebaliknya ia adalah anugerah istimewa untuk dirinya dan dia sangat berbangga memilikinya.

Berkongsi pengalaman pahit, dia juga pernah menjadi mangsa buli oleh lelaki dan perempuan.

“Saya telah membuang masa dengan memikirkan tentang rambut atau solekan semata-mata untuk memuaskan hati mereka.

“Saya juga cuba meniru orang lain untuk kelihatan cantik kerana tidak berpuas hati sehingga hilang jati diri,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 16