GENK

Pelajar UUM tabur bakti di Pendang

Pelajar UUM tabur bakti di Pendang


KEMESRAAN jelas terpancar pada wajah peserta dan penduduk kampung, terutamanya ketika melakukan aktiviti senamrobik.


BAK kata pepatah, jauh berjalan, luas pemandangan. Begitulah pengalaman yang dilalui seramai 40 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai program Bakti Siswa (Baksis) anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Universiti Utara Malaysia (Permata UUM) baru-baru ini.

Bertemakan Seutus Kasih Seerat Jalinan, program yang diadakan di Kampung Hujung 30, Pendang, Kedah itu berlangsung selama tiga hari dua malam.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah peserta kerana berpeluang menyelami suasana kehidupan di desa berbanding di negeri kelahiran mereka.

Malah, mereka juga berpeluang merasai pengalaman menetap bersama keluarga angkat di samping melihat budaya masyarakat setempat secara lebih dekat.

Penasihat Permata UUM, Suhaimi Ismail berkata, program itu mendedahkan tentang aktiviti sosial dan kemasyarakatan kepada peserta.

Katanya, golongan itu perlu didedahkan dengan dunia realiti di samping pembelajaran di dalam bilik kuliah bagi membentuk modal insan holistik dan personaliti unggul di dalam diri.

“Menerusi program ini, pelajar bukan sahaja tinggal bersama keluarga angkat tetapi melakukan pelbagai aktiviti bersama.

“Disebabkan rata-rata pelajar berasal dari Terengganu, kesempatan ini membolehkan mereka mengenali corak dan kehidupan masyarakat di negeri ini secara lebih dekat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul.

Tambah Suhaimi, program itu padat dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pelajar dan masyarakat setempat.

“Khidmat komuniti yang dijalankan secara tidak langsung ini membentuk semangat tolong-menolong, bekerjasama, berdisiplin, berbudi bahasa serta menghormati sesama insan.

“Semua pengalaman ini penting untuk membina jati diri dalam diri peserta sebagai insan terdidik, sekali gus membolehkan mereka menempuh alam kehidupan yang serba mencabar pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah program, Sharifah Maizatul Akmal Tuan Yim berkata, pelbagai aktiviti menarik dirangka sepanjang program itu.

Antaranya, pemeriksaan kesihatan, gotong-royong, senamrobik, malam kebudayaan dan penyampaian sumbangan kepada keluarga angkat.

“Program kemasyarakatan yang dijalankan ini berupaya membangunkan sahsiah diri peserta di samping penerapan ilmu teori dan praktikal,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan itu.

Sikap positif


PELBAGAI aktiviti yang diadakan pada program Baksis ini meninggalkan kenangan manis kepada para peserta.


Pelajar berusia 22 tahun itu berkata, pengalaman tinggal bersama keluarga angkat juga sedikit sebanyak mengubat kerinduan peserta kepada keluarga di kampung.

“Biarpun saling tidak mengenali sebelum ini, kemesraan jelas terjalin antara peserta dan keluarga angkat masing-masing.

“Selain turut dilayan seperti anak sendiri, peserta juga berpeluang merasai keenakan pelbagai makanan tradisi di sini,” ujarnya.

Rakannya, Muhammad Yusof Mohd. Shauffi, 23, berkata, program itu memberi pendedahan kepada peserta untuk menyokong aktiviti kemasyarakatan di samping mempromosikan gaya hidup yang membentuk sikap positif dalam melaksanakan tugas.

“Ada ilmu tinggi sahaja tidak mencukupi, sebaliknya mahasiswa perlu berakhlak mulia serta sentiasa bersedia berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Bercerita tentang pengalamannya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat itu memberitahu, dia cukup teruja melihat panorama sawah padi yang menghijau dan suasana desa yang jauh daripada hiruk-pikuk kota.

“Apa yang saya perhatikan, ikatan sesama penduduk juga sangat rapat dan secara tidak langsung memberi kesedaran kepada kami bahawa silaturahim amat penting dalam menyatukan masyarakat.

“Semua aktiviti dilakukan secara bersama, berpakat dan semangat berkumpulan bagi memastikan ia berjalan lancar.

“Misalnya, ketika jamuan barbeku bagi meraikan kami, ia dilakukan secara bergotong-royong dengan melibatkan penduduk tanpa mengira pangkat dan usia,” jelasnya.

Mengulas mengenai aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan, peserta turut membantu penduduk membersihkan kawasan masjid, menebas dan mengutip sampah.

Katanya, program itu juga menjadi pengalaman berharga kepada peserta, selain memberi impak positif dalam membina kemahiran sosial di samping mencungkil kemahiran insaniah.

“Program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang agar dapat menimba pengalaman berharga dan berharap hubungan yang terjalin ini tidak terhenti di sini,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 62