GENK

Bakat luar biasa remaja autisme

Bakat luar biasa remaja autisme

NOORHASHIMAH (kiri) merupakan individu yang banyak membantu Jamila terutama dalam memberi sokongan moral.


PERTEMUAN dengan penghidap autisme, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 15, di kediaman keluarganya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini berjalan lancar meskipun remaja itu tidak banyak berbicara.

Seperti mana penghidap autisme yang lain, Wan Jamila yang lebih mesra disapa Jamila kelihatan tebal dengan sifat pemalu tatkala sesi temu bual dimulakan.

Pun begitu, di sebalik raut wajahnya yang mulus, Jamila sentiasa menguntum senyuman sementelah mengetahui kisah tentang dirinya bakal disiarkan di akhbar untuk dikongsi dengan para pembaca.

“Saya memang sukakan lukisan. Saya akan lukis apa sahaja yang saya suka,” kata Jamila ringkas sambil sepasang matanya tertumpu pada hasil seni terbaharunya manakala tangan kanannya terus ligat mewarnakannya.

Dia ditemui di dalam sebuah studio mini yang diwujudkan khas untuknya. Bagaikan empayar seni, remaja itu juga memiliki galeri di dalam rumahnya yang dipenuhi ratusan lukisannya.

Disebabkan karakter Jamila yang kurang berbicara, sesi temu bual tersebut berjalan dengan bantuan ibunya, Noorhashimah Mohamed Noordin, 56, yang merupakan seorang bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Jamila memang sedikit pemalu dengan orang, lebih-lebih lagi mereka yang baru dikenalinya.

“Tetapi, dia sebenarnya sangat seronok apabila ada pihak yang ingin mengenali dirinya terutama mereka yang ingin melihat hasil seninya,” kata Noorhashimah memulakan bicara.

Diagnosis

Menurut Noorhashimah, Jamila yang merupakan anak keempat daripada lima beradik dikesan menghidap autisme ketika berusia empat tahun selepas menjalani diagnosis di sebuah hospital swasta. Noorhashimah sebelum itu menyedari anaknya itu mengalami kesukaran dalam berkomunikasi dan hubungan sosial dengan orang di sekelilingnya.

Kata wanita itu, walaupun Jamila mempunyai perwatakan yang berbeza dengan anak-anaknya yang lain, namun remaja itu mempunyai keistimewaan tersendiri apabila mula memperlihatkan bakatnya dalam bidang seni lukis.

Jelasnya, dari awal penglibatan Jamila dalam bidang seni, dia dilihat kerap melukis watak manusia dengan interpretasi perasaan gembira, sedih atau marah. Kesemua lukisan yang dihasilkan menggambarkan keadaan sebenar yang dilalui oleh seorang manusia berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya sendiri.

“Sewaktu mengikuti persekolahan peringkat rendah di Sekolah Rendah Sri Acmar, Klang, Jamila dimasukkan ke dalam kelas pendidikan khas.

“Bermula dari situ, minatnya terhadap lukisan makin terserlah apabila dia banyak melukis perkara yang berlaku di dalam kelas atau di persekitaran sekolahnya di dalam buku tulis.

“Malah, sewaktu terlibat dalam persembahan tarian, dia turut melukis semula pergerakan yang perlu dilakukan oleh setiap peserta melalui lukisan,” katanya.

Noorhashimah yang kini merupakan seorang arkitek profesional berkata, ketika Jamila berusia 10 tahun, remaja itu mula meneroka kaedah melukis menggunakan teknik digital apabila memuat naik sendiri sebuah perisian di dalam gajet miliknya.

Lebih memeranjatkan kata wanita itu, apabila anaknya mampu menghasilkan lukisan yang baik dan kemas menyerupai bentuk lukisan yang kerap dilukis di atas kertas walaupun tidak pernah mendapat tunjuk ajar tentang kaedah menggunakan perisian tersebut.


JAMILA menunjukkan sebahagian koleksi lukisannya yang dipamerkan di ruang galeri dirumahnya di Shah Alam, Selangor.


Disebabkan ingin memberi sepenuh tumpuan bagi membimbing Jamilah, kata Noorhashimah, dia mengambil keputusan untuk bersara daripada menjadi pensyarah UiTM pada Disember 2015.

“Bermula Januari lalu, saya telah mendapatkan bantuan daripada seorang pelukis tempatan, Khalid Mohd. Sapari untuk membimbing Jamila selama dua jam seminggu.

“Kini, hasil lukisannya menjadi semakin kemas dan cantik. Malah, minatnya terhadap lukisan semakin meningkat apabila melihat kekemasan hasil seninya sendiri,” kata wanita itu.

Mengulas mengenai corak lukisan yang diminati anaknya itu, Noorhashimah memberitahu, Jamila amat menggemari tema wanita berambut panjang menyerupai watak animasi Repunzel.

Jamila juga kerap menghasilkan lukisan berinspirasi watak pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines, bentuk periuk dan cawan, penari dan model peragaan selain fesyen, bunga-bungaan dan ikan.

“Kebanyakan lukisan Jamila menggunakan kertas dan pen berwarna serta menggambar tiga wanita berambut panjang. Ia mungkin kerana pada kebanyakan masa, dia ditemani oleh saya dan adiknya, Wan Jemima terutama ketika melancong dan bersiar-siar,” katanya dengan memberitahu lukisan tersebut diberi tema ‘3 ladies’ atau ‘Triple Erato’.

Jana pendapatan

Ketika ditanya tentang penglibatan Jamila di dalam pameran seni, wanita itu memberitahu, sejak Mac hingga Julai lalu, remaja berkenaan telah menyertai enam pameran lukisan anjuran pelbagai pihak di sekitar Kuala Lumpur.

Pameran pertama yang disertai anaknya ialah pada program ‘Independant Arts, Converge and Connect’ anjuran Telekom Malaysia di ibu negara pada 18 dan 19 Mac lalu.

Malah, Jamila juga pernah dijemput menjadi tetamu bagi program Nasi Lemak Kopi O yang disiarkan oleh TV9 selain terlibat dalam seminar memperkasa golongan penghidap autisme di Klang, Selangor.

“Baru-baru ini, sebuah syarikat perbankan telah membeli 12 hasil karya Jamila untuk dijadikan koleksi seni mereka.

“Alhamdulillah, dengan bakat luar biasanya, Jamila kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri yang sudah mencecah puluhan ribu ringgit menerusi penjualan hasil karyanya kepada beberapa pihak,” katanya.

Walaupun jumlah pendapatan yang diraih anaknya itu dianggap agak tinggi, namun kata Noorhashimah, ia akan disimpan dan digunakan khusus untuk tujuan pendidikan Jamila sehingga dia dewasa.

“Saya sudah mempunyai perancangan khusus untuk Jamila. Saya ingin melihat dia memiliki diploma dalam bidang seni halus,” katanya.

Sementara itu, Khalid memberitahu, ketika pertama kali dihubungi ibu Jamila, dia pada mulanya agak keberatan untuk menerima tawaran berkenaan memandangkan dia tidak mengetahui cara mengajar seorang kanak-kanak autisme teknik lukisan.

Namun katanya, pandangannya terhadap penghidap autisme berubah selepas dia melihat sendiri lukisan Jamila di studio peribadi remaja itu.

“Malah, saya sangat terkejut apabila ibu Jamila menunjukkan koleksi ratusan lukisan yang dihasilkannya sejak kecil.

“Dari situlah saya berpendapat Jamila mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang seni.

“Dia mempunyai daya ingatan dan imaginasi yang sangat luar biasa dan dengan teknik melukis yang betul, Jamila mampu menghasilkan lukisan yang sangat unik,” katanya.

Khalid juga percaya suatu hari nanti Jamila mampu menjadi pelukis terkenal tanah air walaupun ditakdirkan menghidap autisme.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 63