TERKINI

RUU Kahwin Cerai tidak libatkan pasangan Islam - Jamil Khir

RUU Kahwin Cerai tidak libatkan pasangan Islam - Jamil Khir

13/08/2017 10:30pm


Gambar hiasan.


TASEK GELUGOR - Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis lepas tidak melibatkan pasangan suami isteri beragama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, undang-undang itu hanya terpakai untuk pembubaran perkahwinan bagi pasangan bukan Islam yang dahulunya perkahwinan mereka didaftarkan di Mahkamah Sivil dan kemudiannya seorang daripada mereka memeluk agama Islam.

"Selama ini kita melihat apabila berlakunya kemasukan seseorang kepada Islam, jalan pembubaran (perkahwinan) itu tidak berlaku dan keadaan apabila pembubaran ini tidak dapat dilakukan ia akan menyakitkan semua pihak.

"Kadang-kadang kefahaman yang lain pula melihat bahawa kesalahan itu diletakkan pada Islam sedangkan satu pihak tidak dapat pergi ke mahkamah sivil untuk melakukan pembubaran perkahwinan asal dan satu pihak lagi tidak dapat datang ke mahkamah syariah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Beliau berkata, justeru, pindaan dibuat bagi menambah baik kelompangan tersebut selepas pandangan semua pihak diteliti dan diambil kira. - Bernama

Process time in ms: 31