SUKAN

PDRM pantau aktiviti judi KL2017

PDRM pantau aktiviti judi KL2017




POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau aktiviti perjudian membabitkan perlawanan bola sepak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bakal membuka tirainya esok.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa (gambar) berkata, pemantauan akan dilakukan bersama Jawatankuasa Integriti Bola Sepak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, mereka yang didapati terlibat dalam pertaruhan boleh ditahan dan dikenakan hukuman denda dan penjara di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

“Setakat ini tiada kes, namun kami tidak menolak kemungkinan berlaku­nya pertaruhan. Pertaruhan atau perjudian itu kebiasaannya menggunakan modus ope­randi secara online,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengarah Ins­titut Jenayah Kriminologi Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar berkata, KL2017 pastinya membuka ruang dan menarik kaki judi untuk terbabit dalam aktiviti mengatur keputusan perlawanan.

“PDRM perlu melakukan pemantauan. Kami bimbang ia akan menjadi sindiket besar seperti yang terjadi pada Piala Eropah sebelum ini.

“Sekiranya penguatkuasaan tidak proaktif, kegiatan itu boleh melibatkan sindiket antarabangsa,” kata Akhbar.

Beliau berkata, PDRM perlu mengenal pasti markas aktiviti perjudian yang menumpukan kepada pertaruhan perlawanan bola sepak di setiap premis yang dikesan berpotensi menjadi pusat judi.

“Kegiatan pertaruhan bola sepak boleh meraih keuntungan jutaan ringgit,” katanya.

Process time in ms: 31