SUKAN

Skuad B-22 negara ada watak juara

Skuad B-22 negara ada watak juara


KIM SWEE (kiri) dan Hamidin ketika bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SKUAD bawah 22 tahun (B-22) negara ada kualiti untuk melakar kejutan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Mereka telah membuktikan peningkatan sejak kebelaka­ngan ini dan perubahan tersebut harus dipergunakan sebaik mungkin untuk mencipta kemenangan demi kemenangan dalam setiap perlawanan yang bakal mereka harungi pada KL2017 nanti.

Esok, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan turun ke gelanggang bagi menghadapi Brunei pada perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan A KL2017 di Stadium Shah Alam.

Kualiti yang ada pada mereka itu harus ditonjolkan agar aksi pertama itu berakhir dengan kemenangan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin optimis bahawa pemain-pemain muda negara mampu melakukannya berdasarkan kualiti yang mereka miliki.

Keyakinan Hamidin itu adalah berdasarkan sejarah pingat emas bagi acara bola sepak pada Sukan SEA yang kebanyakannya dikuasai oleh Thailand dan Malaysia.

Menurut Hamidin, pemenang pingat emas acara bola sepak itu hanya dikuasai dua negara ASEAN sahaja iaitu Thailand dan Malaysia sejak format skuad bawah 23 tahun (B-23) diperkenalkan pada tahun 2001.

Sebelum ini, acara bola sepak Sukan SEA membabitkan penglibatan skuad senior tetapi sejak peraturan baharu menggunakan skuad remaja, Thailand telah muncul juara sebanyak enam kali iaitu pada tahun 2001, 2003, 2005, 2007, 2013, 2015 diikuti Malaysia pada tahun 2009 dan 2011.

Justeru, Hamidin menegaskan FAM yang dipimpin Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berusaha keras untuk terus melahirkan pemain-pemain muda berkualiti, selaras dengan misi untuk memulihkan imej bola sepak negara.

Jelasnya lagi, beliau percaya skuad kendalian Kim Swee akan terus berjuang melakar keputusan positif dalam misi memburu emas pertama di laman sendiri, sekali gus menembus kekecewaan pada edisi 2001 yang me­nyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Thailand.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee mendedahkan, moral skuad kendaliannya berada di tahap terbaik dan bersedia me­lakar kejutan pada KL2017.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kita ingin mengulangi pencapaian pada tahun 1989 dan saya yakin skuad negara mampu me­lakukannya,” jelas Kim Swee semalam.

Bagi menggalas cabaran pada KL2017, Kim Swee menggugurkan empat pemain daripada skuad beraksi pada pusi­ngan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di Bangkok, Thailand bulan lalu.

Empat pemain terbabit terdiri daripada penjaga gol, Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan) dan Sean Eugene Selvaraj (Negeri Sembilan).

Process time in ms: 31