RENCANA UTAMA

Pameran kopi terbaik dari Indonesia

Pameran kopi terbaik dari Indonesia


ILHAM (kiri) menghulurkan secawan kopi Aceh untuk dicuba pengunjung yang datang.


INDONESIA cukup terkenal sebagai sebuah negara pengeluar kopi yang bermutu tinggi.

Menduduki tangga keempat bagi pengeluar kopi terbesar di dunia selepas Brazil, Vietnam dan Colombia, biji kopi yang ditanam di Indonesia mempunyai karakter tersendiri, menjadikan ia unik dan digilai penggemar dari seluruh dunia.

Tanah Indonesia menghasilkan dua jenis biji kopi utama dunia iaitu arabika dan robusta.

Antara jenis kopi popular dari Indonesia termasuklah arabika Aceh Gayo, Mandheling Sumatra, Lintong, Java dan Bali Kintamani.

Bagi mengumpulkan peminat kopi Indonesia, negara itu menganjurkan Indonesian Specialty Coffee Exhibition 2017 yang bertempat di pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Pameran kopi yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu hingga hari ini itu mengumpulkan ramai pengusaha kopi dari seluruh Indonesia.

Pengunjung turut diberi peluang untuk merasai sendiri keenakan biji kopi yang dijual, selain belajar sendiri kaedah penyediaan kopi yang betul daripada pakar-pakar kopi negara tersebut.

Pelbagai tekstur

Semasa ekspo itu berlangsung, kru Jurnal berpeluang mencuba sendiri kopi NA Coffee Premium yang merupakan salah satu jenama kopi paling terkenal di Banda Aceh, Sumatera.

Barista jenama itu, Ilham Maulana, 29, mencapai dua bungkus kopi dan meminta kru Jurnal untuk menghidu dan memilih bau yang disukai untuk dibuat minuman.


ANTARA jenis kopi daripada jenama Kopiku yang dijual di pameran Indonesia Specialty Coffee Exhibition 2017.


Sambil menunggu kopi disiapkan, lelaki berkaca mata itu kemudian membuka bicara tentang minatnya terhadap penghasilan kopi sehinggalah berjaya mengusahakan kafe sendiri di Aceh.

“Saya dilahirkan di Aceh yang cukup terkenal sebagai antara lokasi penanaman kopi yang terkenal di Indonesia. Dahulu, bagi saya, kopi hanya mempunyai satu rasa sahaja iaitu pahit dan saya tidak gemarkan rasa itu.

“Begitu pun, saya kemudian berminat untuk mendalami cara penghasilannya dan daripada situ, saya mula sedar bahawa kopi sebenarnya mempunyai pelbagai rasa di dalamnya, menjadikan setiap campuran yang dihasilkan itu unik dan istimewa.

Dibancuh secara manual

“Antara rasa kopi yang cukup popular termasuklah rasa buah-buahan, karamel, vanila dan rempah,” ujar Ilham yang baru-baru ini menjuarai pertandingan V60 Manual Brewing Competition yang mengumpulkan semua barista hebat seluruh Aceh.


TIDAK lokek berkongsi ilmu, Ilham memberitahu, kopi haruslah dibru pada suhu 90 darjah Celsius bagi mendapatkan rasa terbaik.


Tambah Ilham, kopi yang dibancuh secara manual tanpa menggunakan mesin espreso menghasilkan rasa lebih ringan dan tidak pahit.

“Kopi jenis ini tidak diminum dengan campuran gula dan susu kerana rasanya sendiri sudah unik dan enak.

“Kaedahnya mudah sahaja, panaskan air sehingga suhu 90 darjah Celsius dan rendamkan serbuk kopi sekitar lima minit, tapiskan serbuk tersebut dan sedia dihidang,” ujarnya.

Jelasnya, air yang dipanaskan hingga 90 darjah Celsius merupakan suhu terbaik untuk mengeluarkan rasa daripada biji kopi.

Berkongsi pendapat sama, Indra Wiryawan, 31, yang merupakan pemilik jenama biji kopi Kopiku di Bandung, Jawa Barat berkata, tambahan gula dan susu pada kopi akan sedikit sebanyak menghilangkan rasa asli minuman itu.

“Kopi jenis ini bukanlah tidak boleh dicampur gula atau susu, tetapi ia lebih enak diminum begitu sahaja bagi mendapatkan rasa dan aroma aslinya,” ujarnya.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 4406