RENCANA UTAMA

Saulak tradisi bakal pengantin suku Mandar

Saulak tradisi bakal pengantin suku Mandar


UPACARA Saulak dilakukan oleh seorang wanita yang digelar sebagai passili dan perlu diwarisi secara turun-temurun.


SEORANG wanita memakai tudung berusia separuh abad dilihat menyusun kuntuman bunga ke dalam sebuah dulang yang berada di atas lantai.

Selepas bunga-bungaan itu siap disusun, dia mengambil beberapa batang setanggi diperbuat daripada buluh dan dibalut dengan daun kembiri yang dicampur dengan minyak.

Sebelum waktu upacara tradisi itu dimulakan, setanggi dibakar. Amalan tradisi itu diketuai oleh Lilik Dahlia atau digelar passili merupakan upacara adat yang dilakukan oleh suku Mandar yang tinggal di Banyu­wangi, Jawa Timur, Indonesia.

“Saya menjadi passili selepas diwarisi oleh ibu secara turun-temurun,” ujar Lilik.

Upacara yang dikenali sebagai Sulak itu harus dilakukan ke atas pasangan yang bakal berkahwin dengan salah seorang pengantin adalah daripada keturunan suku Mandar.

Pengeras

Sebelum Saulak dimulakan, keluarga kedua-dua belah pihak pe­ngantin akan menyediakan beberapa pengeras seperti tiga jenis bunga, setanggi yang telah dibakar, kain, semangkuk kecil tumpeng (nasi kukus) dan pisang yang dile­takkan di atas dulang.

Menurut Lilik, barang-barang yang disediakan itu termasuklah beberapa jenis minyak yang disediakan oleh wanita yang telah putus haid.

Bakal pengantin perempuan kemudian akan dipanggil dan di­suruh untuk baring di tengah sambil dikelilingi keluarga dan saudara-mara yang hadir semasa adat Saulak dilakukan.

Sekaki payung kemudiannya dibuka tepat di atas bakal pe­ngantin perempuan yang berba­ring, manakala sebilah tombak pula dipegang bersebelahan payung.

Lilik seterusnya membaca mantera, memegang telur yang dilumur dengan minyak dan menggolek-golekkan telur itu pada beberapa bahagian badan termasuk dahi, tengkuk, tangan, perut dan kaki.

Selepas itu, kain diletakkan di atas muka bakal pengantin dan dipegang secara bergilir-gilir oleh kerabat yang hadir dan seterusnya melakukan upacara serupa dengan menggunakan dulang berisi bunga dan setanggi.


BAKAL pengantin akan dibaringkan dan dikelilingi oleh sanak saudara semasa upacara Saulak dilakukan.


Akhir sekali, nasi kukus dan pisang kemudian diletakkan di atas perut selepas dipusing sebanyak tiga kali mengelilingi gadis tersebut.

Sejurus sahaja upacara terakhir itu selesai, passili cuba untuk me­ngangkat dulang yang diletakkan di atas perut gadis itu, namun tidak boleh diangkat seolah-olah sangat berat.

“Baca selawat dulu tapi jangan diangkat, cuma digeselkan sahaja,” ujar passili kepada bapa bakal pe­ngantin perempuan semasa diminta untuk mengangkat dulang tersebut.

Permintaan

Ternyata bapa bakal pengantin perempuan gagal untuk melakukannya sebelum passili meminta ibu gadis itu untuk melakukan perkara sama sebelum dulang itu berjaya diangkat.

“Syukur akhirnya berjaya juga diangkat.

“Mujur tidak diminta yang bukan-bukan,” ujar Lilik sambil tersenyum.

Menurut Lilik, biasanya terdapat beberapa syarat yang diminta sebelum dulang itu berjaya diangkat dari atas perut bakal pengantin perempuan seperti menyediakan cincin atau barang lain.

Malah, terdapat juga permintaan yang menyuruh individu yang lalu di hadapan rumah untuk mengangkatnya walaupun orang itu tidak dikenali.

Selepas selesai upacara Saulak dilakukan ke atas bakal pengantin perempuan, perkara yang sama turut dibuat ke atas bakal pengantin lelaki.

Menurut tokoh suku Mandar, Samsul Arifin yang juga merupakan bapa kepada bakal pengantin perempuan, upacara Saulak adalah salah satu upacara adat yang masih dikekalkan oleh masyarakat Banyuwangi berketurunan Mandar.

Hari ini, terdapat kira-kira 500 orang penduduk berketurunan suku Mandar menetap di Banyuwangi dan majoritinya tinggal di kawasan pesisir pantai.

“Ini adalah adat dan sampai bila pun kami tetap akan lakukan dan wariskan kepada keturunan Mandar yang ada di Banyuwangi,” katanya.

Process time in ms: 63