NEGARA

Ribuan terperangkap atas lebuh raya

Ribuan terperangkap atas lebuh raya

Pasukan Hazmat menyembur buih ke arah lori tangki yang terbalik di Kilometer 251.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seremban semalam.


SEREMBAN – Kese­sakan teruk sejauh 16 kilometer (km) menjadi igauan ngeri kepada ribuan pemandu yang menghala ke Johor apabila Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer 251.6 arah selatan dekat sini ditutup kira­kira 12 jam selepas sebuah lori tangki muatan asid terbalik semalam.

Dalam kejadian pukul 3.15 pagi itu, pengguna dari arah selatan juga terperangkap dalam kesesakan tersebut sejauh kira-kira 10km.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori, Surazru Mohamed Saker, 37, maut di tempat kejadian manakala dua wanita berusia 18 dan 19 tahun yang menaiki sebuah kereta Toyota Vios yang turut terlibat dalam insiden tersebut cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori tangki dalam perjalanan dari ibu kota menuju ke Johor hilang kawalan setiba di lokasi kejadian sebelum melanggar penghadang besi pembahagi lebuh raya.

“Ketika kejadian, pemandu­nya dipercayai melompat ke­luar dari lori bagi menyelamatkan diri namun mangsa maut akibat cedera parah pada kepala.

“Toyota Vios yang berada di belakang lori tersebut pula tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan berat itu menyebabkannya berpusing beberapa kali sehingga melanggar penghadang besi pembahagi lebuh raya,” katanya di sini semalam.

Lori tangki 14 tayar yang membawa muatan asid jenis ethyl acetate dipercayai dalam perjalanan menghantar bahan itu ke Singapura.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 78