TERKINI

Kampung baharu perlu pembangunan berlainan untuk terus kekal

Kampung baharu perlu pembangunan berlainan untuk terus kekal

12/08/2017 10:07pm


Corak pembangunan kampung-kampung baharu yang berbeza dapat mengekalkan kewujudkan kawasan berkenaan daripada ditelan arus pemodenan. - Gambar hiasan


ALOR GAJAH - Corak pembangunan yang berlainan dan lebih berdaya saing dalam pelbagai aspek perlu dibangunkan untuk kampung-kampung baharu bagi terus mengekalkannya pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah itu bukan sahaja untuk menarik minat golongan belia supaya terus menetap di kampung baharu malah mengekalkan kewujudkan kawasan berkenaan daripada ditelan arus pemodenan.

Beliau berkata, antara pendekatan yang perlu diberi perhatian dalam membangunkan kampung baharu termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang mampu menarik minat generasi muda untuk bersama membangunkan kawasan berkenaan dengan lebih maju lagi.

"Kebanyakan masyarakat di kampung baharu khuatir atau prihatin tentang beberapa aspek khususnya dari segi pembangunan ekonomi dan kebanyakan mereka mengharapkan kerajaan membuat persediaan yang lebih awal untuk berdepan dengan cabaran hidup masa hadapan.

"Kita perlu menjamin kesinambungan dari segi pembangunan khususnya bagi kelangsungan kampung baharu kerana ia telah melalui satu jangka masa yang agak panjang kira-kira enam dekad dan sudah banyak perubahan termasuk proses urbanisasi yang agak pantas sehinggakan ada antara kampung berkenaan telah menjadi bandar," katanya di sini hari ini. - Bernama

Process time in ms: 47