RENCANA UTAMA

Riang ria berkubang dalam lumpur

Riang ria berkubang dalam lumpur


Reaksi seorang wanita yang diliputi lumpur semasa Festival Boryeong di Pantai Daicheon, Korea Selatan baru-baru ini.


Bagaikan bermandi kekotoran, puluhan ribu pengunjung berkubang dalam lumpur di pantai Daecheon, Boryeong, Korea Selatan baru-baru ini semasa meraikan Festival Lumpur Boryeong baru-baru ini.

Festival tahunan kali ke-20 itu disambut selama kira-kira dua minggu dari 21 hingga 30 Julai lalu.

Tidak menghiraukan rupa yang disaluti lumpur, para pengunjung bahkan melakukan pelbagai aksi di dalam kolam lumpur di tepi pantai itu. Mereka bergusti, berguling dan menyimbah lumpur antara satu sama lain.

Kolam lumpur itu dibina penganjur dengan mengangkut lumpur dengan trak dari kawasan-kawasan tertentu di Boryeong dan dihimpunkan ke tepi pantai itu.

Untuk menjadikan ia festival berskala besar, bukan sahaja kolam lumpur diwujudkan bahkan pelbagai permainan lain berasaskan lumpur turut dibina seperti gelungsur dan ski lumpur.

Festival itu diadakan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kosmetik dan penjagaan kulit berasaskan lumpur. Boryeong yang terletak 200 kilometer dari Seoul merupakan antara kawasan utama pengeluar produk kecantikan berasaskan lumpur.

Lumpur dikatakan kaya dengan mineral yang mempunyai manfaat untuk kecantikan kulit.

Festival ini telah dimulakan sejak tahun 1998 dan pernah menarik kehadiran sehingga 2.2 juta pelancong pada tahun 2007.

Process time in ms: 47