RENCANA UTAMA

Beli komputer pertama pada usia 60 tahun

Beli komputer pertama pada usia 60 tahun


Wakamiya telah membuktikan kepada orang ramai bukan semua orang tua takutkan teknologi.


KECEWA dengan industri teknologi yang kurang melibatkan warga tua, Masako Wakamiya yang berasal dari Jepun mengambil inisiatif mempelajari kod komputer.

Sebelum ini, dia pernah meminta pemaju perisian untuk membuat lebih banyak aplikasi untuk warga tua tetapi tidak mendapat tindak balas sewajarnya.

Apa yang membezakannya dengan wanita lain di negara Matahari Terbit berkenaan, dia telah membuktikan yang umur bukan penghalang kepada sesuatu kejayaan.

Menurut laporan RocketNews24, Wakamiya menghabiskan masa 43 tahun hidupnya di Jepun dan hanya mula menggunakan komputer pada usia 60 tahun.

Bagaimanapun, dia telah membuktikan kepada orang ramai bahawa bukan semua orang tua takut kepada teknologi.

Katanya, dia perlu terus mempelajari kemahiran terbaharu untuk menggalakkan hidupnya terus lincah.

“Apabila anda semakin berusia, anda akan kehilangan banyak perkara seperti suami, pekerjaan, rambut dan penglihatan namun jika anda belajar sesuatu yang baharu ia akan menyuntik semangat diri.

“Sebaik sahaja anda telah mencapai kehidupan profesional yang dimahukan, anda tidak perlu kembali ke sekolah namun, berbeza dengan era internet, jika anda berhenti belajar, anda akan ketinggalan,” katanya ketika diwawancara AFP di rumahnya di Tokyo.

Dia mula tertarik pada komputer sekitar tahun 1990-an selepas bersara sebagai kerani bank.

Wakamiya membeli komputer pertamanya pada usia 60 tahun dan menyertai sebuah kelab komputer dalam talian untuk menjadi lebih serasi dengan teknologi tersebut. Walaupun baru sahaja menyertai kelab komputer berkenaan, dia pandai menyambung komputer ke talian internet dengan sendiri tanpa bantuan orang lain.

Setelah mempelajari lebih mendalam tentang komputer, Wakamiya mampu menghasilkan sebuah karya seni dengan corak berwarna-warni menggunakan Excel.

Wakamiya mengambil masa enam bulan untuk menubuhkan sistem pertamanya, bermula dengan mesej Sistem Papan Buletin, sebelum membina kemahirannya menggunakan Microsoft dan kemudian Mac dan iPhone.

Dia mempelajari asas-asas pengekodan dan mengembangkan aplikasi Hinadan yang diilhamkan daripada festival Hinamatsuri sebagai salah satu permainan aplikasi yang boleh dimuat turun di iTunes secara percuma.

“Saya ingin mencipta aplikasi yang menyeronokkan bagi golongan warga emas yang berminat dengan telefon pintar,” ujarnya.

Aplikasi berkenaan pada dasarnya mengajar orang ramai tentang cara yang tepat dan betul untuk mempamerkan anak patung tradisional Hinamatsuri.

Caranya, pengguna perlu menggabungkan kata-kata Hina yang bermaksud anak patung dan kata makna. Pengguna aplikasi diminta meletakkan 12 anak patung dalam posisi masing-masing pada paparan standard dengan empat peringkat.

Hinamatsuri


APLIKASI Hinadan yang dihasilkan Wakamiya.


Permainan itu akan selesai selepas pengguna menyusun anak patung di tempat yang betul.

Jika pemain meletakkan anak patung di tempat yang salah, aplikasi itu akan memainkan bunyi Boo tetapi jika betul, pemain akan mendengar bunyi Pon dan gendang.

Aplikasi yang buat masa ini hanya tersedia dalam bahasa Jepun dan telah dimuat turun sebanyak 42,000 kali dengan ratusan komen positif daripada pengguna.

Walaupun angka tersebut kecil berbanding aplikasi Jepun yang lain tetapi Hinadan telah membuktikan ia cukup popular sehingga Wakamiya merancang untuk membuat aplikasi tersebut dalam bahasa Inggeris, Cina dan Perancis sebelum perayaan tahun depan.

Mengenai Hinamatsuri, patung berkenaan berasal daripada pemerintahan Hein. Hinamatsuri atau Hari Patung adalah festival yang disambut pada setiap 3 Mac di Jepun.

Dahulunya, anak patung yang dibuat daripada jerami diletakkan di dalam perahu dan dihanyutkan ke sungai yang menghala ke laut. Ramai mempercayai bahawa roh jahat atau bermasalah akan mengikut anak patung itu hanyut ke laut.

Tradisi tersebut terpaksa dihentikan apabila ramai nelayan mengadu anak patung tersebut mengganggu aktiviti menangkap ikan malah, banyak yang tersekat di jaring.

Kini anak patung berkenaan disusun dalam bekas khas di samping beberapa perhiasan seperti pokok berdaun hijau. Turut ditempatkan dua lampu berdiri iaitu bonbori, kertas atau sutera dikenali hibukuro dan pokok ceri berbunga.

Selain itu, set berkenaan turut dilengkapi aksesori pasu yang ditempatkan di antara dua figura yang dikenali sebagai sanbo kazari. Susunan figura itu pula diletakkan mengikut gaya tradisional Kansaidi dengan lelaki di sebelah kanan, sementara gaya Kanto moden di sebelah kiri.

Bangga


KEJAYAAN Wakamiya telah menarik perhatian Cook.


Kejayaan Wakamiya itu telah berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap warga tua. Kajian menunjukkan bahawa dia melakukan perkara betul terutamanya dalam mengelakkan risiko kesihatan.

Satu pasukan dari Klinik Mayo di Arizona telah melakukan kajian dalam menghubungkan pelbagai aktiviti daripada kuasa otak dalam kalangan orang tua dan mendapati ia kelihatan berkesan.

Klinik Mayo menghabiskan masa selama empat tahun menjejaki hampir 2,000 warga tua yang berusia lebih daripada 70 tahun.

Kajian di Amerika pula mendapati, mereka yang menggunakan komputer sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu adalah 42 peratus kurang mendapat kecacatan kognitif ringan yang sering menjadi tanda amaran untuk demensia berbanding mereka yang tidak menggunakan komputer.

Kejayaan wanita ini telah mendorongnya sehingga ke pentas dunia teknologi. Walaupun bagi sesetengah syarikat di Jepun usia 40 tahun itu sudah dianggap tua, tetapi syarikat teknologi antarabangsa telah mula perlahan-lahan menerima hakikat usia hanya sekadar angka.

Masakan tidak, Wakamiya telah membuktikan perkara itu lebih-lebih lagi apabila dia berpeluang bertemu dengan Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook.

Apple telah menjemput Wakamiya untuk mengambil bahagian dalam Persidangan Pemaju Aplikasi Seluruh Dunia yang berprestij, sebagai warga tertua mencipta aplikasi.

“Beliau bertanya kepada saya apa yang telah saya lakukan untuk memastikan bahawa orang tua boleh menggunakan aplikasi ini.

“Saya menjelaskan bahawa saya berfikir tentang perkara ini dalam pengaturcaraan hidup saya bahawa orang tua mungkin sudah hilang keupayaan untuk bekerja namun jari kami masih boleh berfungsi dengan baik.

“Cook kemudian memuji saya sambil menambah, saya merupakan sumber inspirasi bagi semua peringkat umur,” katanya bangga.

Pada persidangan itu, Wakamiya diminta berucap dan berkongsi pengalaman dalam menghasilkan aplikasi berkenaan.

“Saya berasa amat gementar. Saya boleh rasakan yang peluh membasahi muka,” ujarnya.

Wakamiya bukan sahaja bergelar seorang pemaju aplikasi malah dia mempunyai blog yang dikongsikan melalui bahasa Jepun dan Inggeris mengenai perjalanannya menghasilkan aplikasi berkenaan. Dia juga mengajar orang ramai bagaimana Excel dapat digunakan untuk membuat seni digital.

Di Jepun, lebih daripada satu per empat penduduknya berusia 65 tahun ke atas dan keadaan itu dijangka meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2055. Kerajaan Jepun juga sedang berjuang untuk memastikan penduduknya tetap aktif dan sihat.

“Kini saya sangat sibuk setiap hari sehingga tidak mempunyai masa untuk mencari penyakit,” kata Wakamiya menutup bicara.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47