PESONA

Persekitaran kerja ala hotel di Colony

Persekitaran kerja ala hotel di Colony

BILIK mesyuarat boleh memuatkan sehingga lapan orang dalam satu-satu masa.


SEBAIK pintu lif di tingkat satu itu terbuka, Adib Zahran Azham, 27, bergegas masuk untuk meninggalkan ruang legar yang menempatkan kafe Espressolab dan Bold Grains tersebut.

Jarinya pantas menekan butang RF yang merujuk kepada kawasan berbumbung di tingkat 34 bangunan ViPod Residence di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur itu.

Lokasi itu menempatkan sebuah gimnasium dan kolam renang dengan berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Dalam tempoh seminggu, pemuda kelahiran Taman Melawati, Selangor itu pasti akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sekali untuk bersenam sebelum mula bekerja.

Usai bersenam, Adib Zahran kembali pula ke kafe Espressolab untuk menikmati secawan kopi sebelum memulakan pekerjaan.

Berada di dalam ruang pejabat kongsi [email protected] (Colony) bersaiz 1,672 meter persegi itu memberi peluang untuk bertemu ramai golongan eksekutif yang turut berkongsi ruang pejabat dengannya.

“Persekitaran kerja bercirikan gaya hidup moden dan sihat seperti ini membuatkan saya lebih seronok bekerja.

“Saya juga berpeluang untuk membina jaringan kenalan dengan ramai golongan profesional dan pelanggan berpotensi yang turut menyewa ruang pejabat di sini,” ujar Pengarah Kreatif DCG.NET Malaysia Sdn. Bhd. yang ditempatkan di pejabat peribadi bernombor satu itu.

Malah, pemegang sijil Diploma Perniagaan dalam Teknologi Maklumat daripada Kolej YPC, Cheras, Kuala Lumpur tersebut berasakan, persekitaran kerja seperti itu sangat bersesuaian dengan jiwa muda dan keperluan kerja yang menuntutnya untuk sentiasa berfikiran kreatif.

Konservatif


Kafe Espressolab dan Bold Grains turut disediakan di dalam Colony untuk kemudahan penyewa.


“Saya selesa bekerja di pejabat kongsi seperti ini kerana tidak mahu terikat dengan ruang kerja konservatif seperti di kebanyakan pejabat.

“Justeru, setelah membuat perbandingan dengan beberapa pejabat seumpamanya, saya memilih Colony kerana ia menawarkan pelbagai fasiliti menarik pada harga sangat berpatutan,” jelasnya yang menyewa tiga buah pejabat peribadi bernombor satu, dua dan tiga untuk menempatkan seramai enam orang pekerja.

Digelar sebagai konsep pejabat masa hadapan, budaya kerja di pejabat kongsi masih dianggap baharu di Malaysia. Ia mula bertapak di Kuala Lumpur sekitar tahun 2013.

Ruang pejabat kongsi pertama kali diperkenalkan di San Francisco, Amerika Syarikat pada tahun 2005 oleh Brad Neuberg.

Beliau menyediakan satu ruang pejabat kongsi berstruktur dan bersifat komuniti yang boleh disewa oleh orang persendirian atau syarikat.

Beberapa tahun selepas itu, konsep berkongsi pejabat dengan pelbagai organisasi di dalam satu ruang yang sama berkembang ke Asia dan mendapat sambutan hangat di negara yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti China, India, Singapura dan Filipina.

Kebiasaannya, pejabat kongsi akan memuatkan banyak meja dalam sebuah ruang yang besar dan beberapa bilik mesyuarat untuk kegunaan bersama. Ada juga yang menyediakan kafe untuk kegunaan penyewa.

Tidak mahu terikat dengan konsep arus perdana, Colony yang baru sahaja dilancarkan pada 27 Julai lalu tampil kelainan dengan bercirikan moden classy yang seakan-akan hotel mewah.

Ia merupakan alternatif ruang kerja terbaik khususnya syarikat mikro perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baru memulakan perniagaan.

Syarikat perusahaan mikro merupakan sebuah organisasi kecil yang memiliki kurang daripada 10 orang pekerja dan mencatat keuntungan tahunan kurang RM2 juta.

Pengarah Urusan Agensi Pekerjaan Syaf Armada Sdn. Bhd., Ahmad Aiman Mohd. Sobri, 25, berpendapat, bekerja di ruang pejabat kongsi merupakan pilihan terbaik bagi syarikatnya yang baru berusia tiga tahun itu.

“Bagi syarikat yang baru memulakan perniagaan, bekerja di ruang pejabat kongsi sangat relevan, kondusif dan praktikal.

Bayar sewa


Colony turut menyediakan kolam renang di bahagian bumbung ViPod Residence.


“Kami hanya perlu membayar sewa sekali untuk tempoh yang telah dipersetujui. Bayaran itu merangkumi penggunaan fasiliti yang disediakan mengikut pakej, bil utiliti dan internet berkelajuan tinggi,” ujar anak kelahiran Changlun, Kedah yang ditempatkan di pejabat peribadi bernombor tujuh itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Colony, Tomothy Tiah, 33, berkata, idea untuk mewujudkan ruang pejabat kongsi dengan konsep moden classy umpama hotel tersebut tercetus berdasarkan pemerhatiannya sendiri.

“Sejak 20 tahun lalu, gaya hidup masyarakat semakin moden dan membangun tetapi persekitaran kerja masih berada pada takuk lama iaitu konsep pejabat konservatif yang mempunyai akses terhad.

“Justeru, saya terpanggil untuk mewujudkan sebuah ruang kerja yang boleh digunakan secara kongsi oleh organisasi yang berbeza kepakaran dan minat di bawah satu bumbung.

“Bukan sahaja dapat melebarkan jaringan perniagaan masing-masing, bekerja di Colony juga bermaksud mereka tidak perlu mengabaikan tuntutan gaya hidup misalnya bersenam di gimnasium, mendapatkan khidmat urutan, menikmati secawan kopi aroma mewah atau menguruskan anak kerana semua kemudahan itu disediakan di sini,” jelasnya sewaktu ditemui Kosmo! di [email protected], Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Projek yang diusahakan bersama isterinya, Audrey Ooi, 32, itu dimulakan sejak tiga bulan lalu dan menelan belanja kira-kira RM5 juta.

Timothy memilih kawasan berhampiran KLCC dan Pavilion kerana ia merupakan lokasi strategik yang mempunyai akses mudah bagi pengangkutan awam.

Terdapat 50 buah pejabat peribadi bernombor di Colony, ruang kerja terbuka yang mampu memuatkan sehingga 60 orang, tiga bilik mesyuarat dan sebuah ruang acara.

Secara kasar, Colony mampu memuatkan sehingga 263 orang penyewa dalam satu-satu masa.

Penyewa bilik peribadi juga boleh memilih sama ada mahu menghias sendiri pejabat mereka atau mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman pada kadar istimewa.

“Kami berhasrat untuk membuka sekurang-kurangnya dua lagi cawangan Colony dalam tempoh lima tahun akan datang,” kongsi pengasas bersama syarikat Netccentric yang telah memperkenalkan blog berasaskan pengiklanan, Nuffnang itu.

Selain itu, terdapat juga kemudahan lain untuk keselesaan penyewa iaitu dua jenis bilik rehat yang setiap satunya menempatkan hammock dan sofa, bilik menyusu, bilik untuk menjawab panggilan telefon, bilik permainan kanak-kanak, bilik urut, ruang santai dengan beg beanie dan dua buah kafe.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 31