DUNIA

Duterte umum ganjaran bunuh polis khianat

Duterte umum ganjaran bunuh polis khianat


REUTERS - DUTERTE memeriksa perbarisan kehormat sebaik tiba pada majlis Ulang Tahun ke-116 Perkhidmatan Polis di bandar Quezon, Manila kelmarin.


MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kelmarin mengumumkan ganjaran hidup atau mati bernilai AS$40,000 (RM172,000) bagi setiap anggota polis yang didapati membantu ahli politik terlibat dengan dadah.

Duterte berkata, beliau lebih suka jika anggota polis peng­khianat berkenaan dibunuh berbanding ditangkap hidup-hidup.

Seruan bagi memerangi anggota polis yang terbabit membunuh rakan sejawat mereka itu merupakan kenya­taan kontroversi terbaharu Duterte dalam kempen menentang dadah.

Duterte membuat tawaran tersebut ketika berucap di ibu pejabat polis kebangsaan de­ngan menawarkan ganjaran untuk jumlah anggota yang tidak ditentukan. Mereka didakwa membantu datuk bandar yang terbunuh dalam operasi antidadah pada 30 Julai lalu.

“Saya mengumumkan ganjaran dua juta peso bagi setiap anggota polis yang boleh membawa kepala mereka dan anda bebas untuk memburu mereka,” kata Duterte kepada para pegawai polis yang hadir.

Tambah Duterte, ganjaran itu akan dibayar selepas anggota polis tersebut ditemui sama ada hidup atau mati.

Katanya, anggota polis tidak dikenali telah bekerja dengan Reynaldo Parojinog, Datuk Bandar di selatan Filipina, Ozamiz yang terbunuh dalam serbuan sebelum Subuh bersama isteri, adik dan 13 yang lain.

Polis berkata, mereka terpaksa membunuh 16 orang untuk mempertahankan diri, tetapi peguam Parojinog menegaskan Datuk Bandar dan mereka yang lain tidak melawan ketika ditahan.

Duterte menuduh Parojinog sebagai pengedar dadah besar Filipina. – AFP

Process time in ms: 140