RENCANA UTAMA

Amni Home Decor tawar 1,000 pilihan kain

Amni Home Decor tawar 1,000 pilihan kain

ABDUL RAMAN ketika melayani pelanggan untuk membeli langsir di kedainya di Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.


Memikirkan kesusahan hidup keluarganya membuatkan Abdul Raman Jaafar nekad berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun.

Walaupun tidak lancar membaca dan menulis, dia masih mampu bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah kedai makan di Masjid Tanah, Melaka yang terletak berdekatan rumahnya.

Hasil pendapatan bulanan sebanyak RM120 hingga RM150, dia menggunakan duit tersebut untuk membantu ibu bapanya membesarkan dan menyekolahkan lapan orang adik-beradik yang lain.

“Disebabkan hidup kami sangat susah, saya mengambil keputusan berhenti sekolah untuk membela nasib adik-beradik yang lain.

“Arwah bapa, Jaafar Abdullah hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu, manakala ibu, Salmah Karim, 78, membantu dengan menjual kerepek secara kecil-kecilan,” kata Abdul Raman, 43, ketika ditemui Kosmo! di Masjid Tanah baru-baru ini.

Kepayahan bekerja ketika usia muda membuatkannya sentiasa beringat untuk berjimat cermat dan menabung.

Pada usia 15 tahun, dia bekerja pula di sebuah kilang sarung tangan di Alor Gajah dengan pendapatan RM450 sebulan.

Rezekinya di kilang tersebut tidak lama apabila dia memutuskan untuk menimba pengalaman baharu dengan bekerja sebagai operator di sebuah kilang kain.

Selama 13 tahun bekerja di kilang tersebut, Abdul Raman bekerja bersungguh-sungguh sehingga dinaikkan pangkat menjadi penyelia.

“Pada masa sama, semasa bekerja di kilang berkenaan saya berjinak-jinak menjual kain-kain ela, cadar, karpet dan langsir dari rumah ke rumah.

“Alhamdulillah, dari situ bermulanya minat saya untuk berniaga,” tuturnya.

Begitupun, akibat tidak lancar membaca dan menulis membataskan peluangnya untuk pergi lebih jauh dalam kerjaya tersebut.

Akhirnya, dia memutuskan untuk berhenti kerja dan meneruskan perniagaan kain dari rumah ke rumah.

Ternyata keputusan tersebut tepat apabila perniagaan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Ketika itu, saya terfikir untuk mempunyai premis sendiri setelah rumah saya tidak boleh menampung stok yang banyak.

“Saya menggunakan duit simpan sendiri dan membuat pinjaman bagi memulakan perniagaan Amni Home Decor pada tahun 2014 yang mengambil sempena nama anak perempuan saya iaitu Nur Amni, 16.

“Perniagaan ini menjual dan menyediakan perkhidmatan seperti tempahan langsir, hiasan bunga, kertas dinding, karpet, sarung perabot, cadar dan selimut.

Import


ABDUL RAMAN (berdiri tengah) bergambar bersama kakitangannya di hadapan kedai Amni Home Decor.


“Setelah hampir tiga tahun beroperasi, saya kini mempunyai 15 orang pekerja dan tukang jahit. Pihak kami kini menawarkan lebih 1,000 jenis pilihan kain fabrik yang diimport khas dari Korea dan China,” katanya yang mempunyai sepasang cahaya mata.

Premis yang terletak di Jalan Masjid Tanah Ria Utama, Masjid Tanah itu turut menawarkan pelbagai jenis kain seperti satin, poliester, kapas dan jacquard yang tidak telus matahari.

“Kain-kain jenis ini sebenarnya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan kerana ia tidak mudah koyak, tidak perlu digosok dan paling penting tidak pudar walaupun terkena cahaya matahari,” katanya.

Selain itu, Abdul Raman memberitahu, harga yang berpatutan dengan kualiti membuatkan para pelanggan bertumpu di kedainya.

Selain itu, tawaran harga serendah RM30 bagi langsir siap jahit berukuran 150 sentimeter (sm) lebar dan 266sm panjang antara tarikan utama kepada para pelanggan Amni Home Decor.

Laman sosial

“Kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai kebiasaannya dari Masjid Tanah dan daerah sekitar Melaka. Selain itu, kami juga ada menerima para pelanggan dari Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Sejak akhir-akhir ini, kami turut menerima tempahan langsir menerusi laman sosial Facebook. Para pelanggan akan memberikan ukuran kepada kami, sebelum dijahit dan diposkan kepada pelanggan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pekerja bahagian perundingan hiasan dalaman Amni Home Decor, Mohd. Salmi Jumaah, 35, berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada pelanggan paten yang sesuai bagi menghiasi tingkap kediaman mereka.

“Kebiasaannya, pelanggan yang ingin menempah langsir akan memilih kain yang mereka suka terlebih dulu. Pada masa sama, kami akan membantu memilih kain mengikut bajet mereka.

“Selepas selesai memilih dan membayar deposit, kami akan datang ke kediaman pelanggan dalam masa tiga hari untuk mengambil ukuran sebenar sebelum pulang semula ke kedai untuk dijahit. Tempahan itu akan siap dalam tempoh tiga hari dan kami akan pergi semula ke rumah pelanggan untuk memasangnya,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama lima tahun dalam bidang tersebut.

Tambah Mohd. Salmi, material dan corak kain dengan edisi terhad yang ditawarkan di premis tersebut membuatkan Amni Home Decor semakin dikenali ramai.

Perkara itu turut diakui oleh salah seorang pelanggan Amni Home Decor, Rukiah Daud, 57, yang merupakan pelanggan tetap sejak ia dibuka.

“Setiap kali menjelang musim perayaan, pasti saya akan datang ke sini bagi memilih langsir baharu untuk ditukar. Kualitinya yang tahan lama, tidak luntur dan ringan antara faktor saya membelinya.

“Selain itu, jahitannya juga kemas, mengikut trend terkini dan memuaskan hati membuat saya sering berkunjung ke kedai ini,” katanya juga merupakan seorang suri rumah.

Sementara itu, Abdul Raman memberitahu, perniagaan yang baru diusahakannya itu juga mampu mengaut keuntungan sehingga RM40,000 hingga RM50,000 sebulan manakala pada musim perayaan pula, ia mencecah sehingga RM80,000 hingga RM90,000.

“Saya bersyukur dengan perniagaan saya yang kini semakin maju dan mendapat sambutan dalam kalangan para pelanggan.

“Insya-Allah, saya berhasrat ingin membuka lagi dua cawangan pada masa hadapan. Satu di Merlimau pada hujung tahun ini dan satu lagi di Alor Gajah pada tahun hadapan,” ujarnya yang sentiasa tersenyum.

Process time in ms: 32