GENK

Jiwa murni Mohd. Daud menyantuni masyarakat dunia

Jiwa murni Mohd. Daud menyantuni masyarakat dunia


Kepakarannya dalam bidang kedoktoran telah digunakan sebaik mungkin bagi membantu masyarakat dunia yang kurang bernasib baik.


SITUASI tidak menentu yang berlaku di seluruh dunia pada ketika ini telah menuntut banyak pihak campur tangan bagi melaksanakan pelbagai tindakan.

Daripada kekacauan atau konflik yang berlaku di sesebuah negara hinggalah bencana alam, kesemuanya telah menyebabkan jutaan penduduk dunia menanggung kesengsaraan.

Atas dasar perikemanusiaan, Malaysia merupakan antara negara yang terkedepan dalam menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak yang memerlukan sama ada menerusi kerajaan ataupun badan-badan sukarelawan.

Berbicara tentang aktiviti kesukarelawanan, Dr. Mohd. Daud Ismail, 52, bukanlah individu yang asing dalam dunia tersebut kerana beliau telah lama mengabdikan diri untuk membantu pihak yang memerlukan.

Beliau yang kini merupakan Presiden Malaysian Relief Agency (MRA) juga mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang kesukarelawanan sementelah terlibat di dalam aktiviti tersebut sejak di bangku sekolah iaitu ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang bermula tahun 1978.

“Ketika di MRSM, saya banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan ia diteruskan selepas saya menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Mara di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1983.

“Semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia pula, saya pernah dilantik menjadi pemimpin pelbagai kelab termasuk menjadi jawatankuasa perwakilan pelajar bagi Fakulti Perubatan.

“Di UKM juga, saya banyak melibatkan diri dalam program bakti siswa anjuran universiti terutama dalam program-program khidmat masyarakat bagi membantu penduduk setinggan dan komuniti Orang Asli di sekitar Lembah Klang,” katanya yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Perubatan (Dalaman) dari universiti berkenaan masing-masing pada tahun 1990 dan 1997.

Kini, beliau bertugas sebagai Pakar Kardiologi di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Misi bantuan

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam misi kemanusiaan terutama di peringkat antarabangsa, kata Mohd. Daud, segalanya bermula ketika beliau menyertai misi di bawah kelolaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Peace Mission Malaysia (GPM) pada Oktober 2001.

“Ketika itu, saya dilantik sebagai ketua koordinator pasukan perubatan bagi misi kemanusiaan di utara Pakistan dan Afghanistan untuk membantu pelarian perang di sana.

“Bermula dari situ, saya terus melibatkan diri dalam pelbagai misi kemanusiaan peringkat antarabangsa bersama GPM selama lapan tahun dan telah menjejakkan kaki ke pelbagai negara,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Jelas Mohd. Daud, antara misi yang pernah disertai bersama GPM termasuklah membantu mangsa bencana tsunami di Banda Acheh, Indonesia pada Disember 2004, bencana gempa bumi di Balakot, Pakistan (November 2005), gempa bumi di Jogjakarta, Indonesia (Mei 2006) selain menyertai misi bantuan makanan kepada mangsa jenayah perang di Gaza, Palestin pada Januari 2009.

Menurutnya, disebabkan kesungguhan yang tinggi dalam membantu masyarakat dunia, beliau bersama beberapa rakan lain telah menubuhkan MRA pada tahun 2009 yang berfungsi sebagai sebuah NGO baharu untuk menawarkan bantuan kemanusiaan di Malaysia dan di seluruh dunia.

Katanya, walaupun dilantik menjadi Setiausaha Agung dan terpaksa menguruskan pelbagai perkara berkaitan pentadbiran, namun ia tidak menjadi penghalang kepadanya untuk terus turun padang bagi menghulurkan khidmat kepada pihak yang memerlukan.


WALAUPUN kini merupakan Presiden MRA, Mohd. Daud masih turun padang bagi menyertai misi kemanusiaan di serata dunia.


Ia terbukti apabila bermula tahun 2009 sehingga 2015, beliau masih memikul tanggungjawab sebagai ketua koordinator bagi pasukan perubatan kecemasan dalam pelbagai misi kemanusiaan MRA.

Antaranya ialah misi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia yang berlaku pada September 2009, kejadian ribut Haiyan di Pulau Bantayan, Filipina (November 2013), banjir besar di Kelantan (Disember 2014) dan gempa bumi yang berlaku di Katmandu, Nepal pada April 2015.

Mohd. Daud berkata, MRA turut terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan membantu komuniti Orang Asli di beberapa buah lokasi di Semenanjung Malaysia terutama dalam meningkatkan kemudahan asas selain bantuan pemeriksaan kesihatan.

Beliau bersyukur kerana isterinya, Prof. Dr. Normalina Mansor dan dua anak mereka, Dr. Mohd. Syafiq, 25, dan Mohamad Syamil, 21, sangat memahami tugasnya sebagai sukarelawan terutama ketika terpaksa meninggalkan keluarga untuk tempoh yang panjang bagi menyertai misi kemanusiaan.

Isterinya kini merupakan pakar mata dan memiliki sebuah klinik sendiri di Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur. Mohd. Syafiq pula merupakan seorang doktor yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan manakala Mohamad Syamil adalah pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian.

Modul latihan

Mohd. Daud juga berbangga apabila kepakaran dan penglibatannya dalam misi kemanusiaan mendapat penghargaan dan pengiktirafan dunia apabila beberapa kali diundang menyertai Persidangan Kemanusiaan Sedunia yang dikelolakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Jepun, Switzerland dan Turki masing-masing pada tahun 2014, 2015 dan 2016.

“Bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan ini, seseorang itu bukan sahaja perlu memiliki sikap keprihatinan yang tinggi, tetapi juga perlu mempunyai kemahiran tertentu yang boleh digunakan untuk membantu orang lain terutamanya mangsa dalam sesuatu kejadian.

“Sebab itulah di MRA, kami sangat mementingkan soal pengetahuan asas dalam bidang bantuan kemanusiaan agar setiap sukarelawan yang terlibat dapat memainkan peranan masing-masing bagi membantu mengawal situasi,” katanya yang dilantik sebagai Presiden MRA bermula Januari lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kata Mohd. Daud, MRA sendiri telah membangunkan modul latihan kesukarelawanan untuk diterapkan kepada lebih 3,000 sukarelawan yang berdaftar dengannya.

Tegas beliau, pengetahuan asas mengenainya sangat penting bagi membolehkan sesuatu misi bantuan kemanusiaan yang disertai mampu mencapai objektif yang ditetapkan. Selain itu, ia bagi memastikan mangsa kejadian benar-benar mendapat bantuan yang diperlukan.

“Apabila pasukan bantuan dihantar ke sesebuah lokasi bencana, setiap daripada sukarelawan yang terlibat mempunyai peranan masing-masing.

“Menerusi modul latihan yang telah dilalui, mereka mampu melakukan tugas dengan baik bagi membolehkan pasukan tersebut berfungsi pada tahap maksimum walaupun dengan kelengkapan dan kemudahan yang minimum,” katanya.

Ketika ditanya mengenai aktiviti terkini MRA, Mohd. Daud memberitahu, pihaknya sedang menjalankan misi kemanusiaan bagi membantu penduduk di Yemen.

Misi tersebut katanya telah bermula pada tahun 2015 dengan penghantaran bantuan kecemasan seperti makanan dan perubatan.

“Misi terbaharu MRA di Yemen ialah kami dalam proses untuk membina dua unit telaga air bawah tanah yang akan dioperasikan menggunakan tiub dan tenaga solar.

“Kedua-dua telaga air berkenaan yang bernilai RM500,000 bakal memberi faedah kepada 10,000 penduduk di sekitar daerah Sabwah selain untuk kegunaan empat buah masjid dan sebuah sekolah di kawasan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, namun MRA akan tetap meneruskan misi bagi membantu lebih ramai masyarakat dunia yang memerlukan.

Process time in ms: 16