VARIA

Ikatan ukhuwah ahli Mohican

Ikatan ukhuwah ahli Mohican

ACARA memotong kek dianggap sebagai momen kemuncak pada majlis pertemuan semula itu.


TIADA perkara yang lebih menggembirakan selain daripada melihat sahabat-sahabat lama berbual mesra, bergurau dan berswafoto sepanjang Majlis Jamuan Raya Keluarga Mohican yang diadakan di Dewan Flet Sri Labuan, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ukhuwah dan silaturahim yang dijalin masih utuh meskipun ada antara mereka hanya berjumpa kembali selepas kali terakhir berjumpa 20 tahun lalu.

Ternyata, majlis yang diadakan itu berjaya menyatukan semula hati-hati mat motor, sekali gus mengimbau kenangan semasa bekerja sebagai budak penghantar surat di ibu kota suatu ketika dahulu.

Ketua kelab motosikal Mohican, Azahar Hamzah, 47, berkata, majlis itu menjadi medan pertemuan semula ahli-ahli yang berjaya dikumpulkan sejak beberapa bulan lalu.

“Pertama sekali, saya bersyukur kerana majlis ini berjalan lancar meskipun kami hanya mengambil masa beberapa hari untuk membuat persediaan.

“Segala persiapan seperti memasak juadah, menghias dewan, memasang khemah, menyusun kerusi dan meja dilakukan secara bergotong-royong.

“Saya cukup terharu dengan sokongan padu ahli-ahli. Mereka memberikan komitmen yang penuh meskipun masing-masing sibuk bekerja serta mempunyai keluarga.

“Kami turut mendapat kerjasama yang baik daripada ahli-ahli kelab motosikal Jhon yang bertungkus-lumus membantu bagi menjayakan majlis ini.

“Ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa persahabatan yang dijalin sejak 20 tahun lalu tidak ada penghujungnya.

“Selepas ini, kami merancang untuk mengadakan hari keluarga pula. Kami berharap silaturahim yang sama akan terjalin dalam kalangan isteri dan anak-anak kami,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Azahar memberitahu, majlis itu menjadi lebih meriah dengan kehadiran ramai sahabat lama daripada kelab motosikal lain seperti Ranggi, Balbol, Kamikaze, Raden, STP, Loudness, RTC56K, Apache, APC, Big Boss5, Geetes, Ozone, Banderes, Simpsons, Tol dan Rebbel.


SEGALA persiapan termasuk memasak juadah dilakukan secara bergotong-royong.


Dihormati

Keadaan itu membuktikan bahawa Mohican dihormati, sekali gus mempunyai jalinan yang baik dalam kalangan kelab-kelab permotoran yang lain.

“Saya tidak sangka majlis ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan rakan-rakan permotoran yang lain. Kehadiran mereka sedikit sebanyak mengubat kerinduan kami yang terputus hubungan sejak beberapa tahun lalu.

“Kami berharap persahabatan ini akan kekal selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, pengasas kelab motosikal Mohican, Nazaruddin Nasir, 47, yang lebih dikenali sebagai Along Mohican mengakui, dia cukup terharu dengan sambutan yang diberikan rakan-rakan.

“Mohican adalah separuh daripada perjalanan hidup saya dan saya sangat bersyukur kerana dapat mengenali ahli-ahli yang lain.

“Kira-kira 20 tahun lalu, saya mengasaskan kelab ini hanya suka-suka. Kami berkumpul setiap hari bagi mengisi masa lapang selepas selesai melakukan kerja masing-masing.

“Pada hujung minggu atau cuti umum pula, kami akan berkonvoi untuk menghadiri majlis-majlis tertentu di ibu kota atau negeri-negeri lain.

“Saya tidak sangka silaturahim itu akan kekal sehingga ke hari ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menggerakkan semula kelab ini.

“Masih ada beberapa orang lagi ahli yang tidak dapat dikesan dan ada juga yang telah meninggal dunia,” kata Nazaruddin.

Kelab motosikal Mohican diasaskan pada tahun 1994 yang rata-rata ahlinya bekerja sebagai budak penghantar surat di sekitar Lembah Klang.

Mereka sering menghabiskan masa bersama di gerai Nayan di hadapan stesen minyak Shell di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Pada waktu malam, mereka berkumpul di beberapa lokasi lain seperti di Jalan Ampang, Jalan Ipoh dan Jalan Doraisamy manakala pada hujung minggu dan cuti umum, mereka sering mengadakan aktiviti berkonvoi.

Bagaimanapun, persahabatan itu terputus selepas masing-masing mendirikan rumah tangga atau bertukar tempat kerja sebelum kembali bersatu sejak beberapa bulan lalu.

Process time in ms: 46