TERKINI

JDT juara Liga Super 2017, catat sejarah pertahankan gelaran kali keempat berturut-turut

JDT juara Liga Super 2017, catat sejarah pertahankan gelaran kali keempat berturut-turut

05/08/2017 11:34pm


Barisan pemain dan pegawai pasukan JDT menunjukkan isyarat empat selepas berjaya melakar sejarah baharu menjadi pasukan pertama memenangi gelaran Liga Super empat kali berturut-turut.


SELAYANG - Meskipun tewas 1-2 kepada Selangor tetapi ia tidak menghalang Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Kejayaan pasukan Harimau Selatan itu hadir selepas menyaksikan pencabar terdekat, Kedah kecundang kepada Pahang di Kuantan.

Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, pasukan bimbingan Ulisses Morais membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah berbisa, Natxo Insa pada minit ke-39.

Bagaimanapun, Gergasi Merah menyamakan kedudukan hasil jaringan bekas penyerang JDT, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-59 sebelum pemain sayap lincah Selangor, Andik Vermansyah meledak gol kemenangan pada minit ke-77.

Di Stadium Darul Makmur, impian Kedah untuk terus menekan JDT memburu kejuaraan Liga Super buat kali pertama sejak 2008 lebur selepas tewas 1-2 kepada Pahang.

Penyerang import skuad Tok Gajah, Yamil Romero menjaringkan gol pertama buat pasukan tuan rumah (min-64), bagaimanapun Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan pada minit ke-78.

Begitupun, kelebihan skuad Hijau Kuning itu tidak bertahan lama apabila Matheus Alves menjaringkan gol kemenangan berselang dua minit kemudian sekali gus perjuangan mereka untuk menghambat JDT terkubur.

JDT dinobatkan juara Liga Super lebih awal selepas meraih 45 mata daripada 19 perlawanan, mengatasi Kedah dengan kelebihan 11 mata. - K! ONLINE

Process time in ms: 32