VARIA

Ulang tahun pertama Starbucks Signing Store

Ulang tahun pertama Starbucks Signing Store

Tidak lengkap sambutan ulang tahun tanpa acara memotong kek dengan simbol satu yang melambangkan ulang tahun pertama Starbucks Signing Store.


SEMUA manusia adalah sama dan layak untuk mendapat keistimewaan setara termasuklah orang kelainan upaya (OKU).

Hakikat sebenarnya tidak sebegitu apabila kebanyakan pekerja OKU hanya ditempatkan di bahagian tertentu premis perniagaan.

Namun, persepsi itu tidak menghalang Muhammad Aizad Ariffin untuk berjaya dalam kerjayanya. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang bermula sebagai kru di Starbucks cawangan Berjaya Times Square pada tahun 2012 kini diiktiraf sebagai seorang barista.

Minat pemuda berusia 29 tahun itu terhadap penyediaan kopi mendapat perhatian majikan, sekali gus mengasuhnya menjadi barista yang berkebolehan.

“Laluan saya sebagai seorang barista tidak mudah. Bertugas di cawangan yang dikunjungi ramai pelanggan terutamanya pelancong asing adalah sangat mencabar kerana kemahiran berbahasa Inggeris saya tidak begitu bagus manakala mereka pula tidak memahami bahasa isyarat. Saya juga seorang yang agak pemalu.

“Pada masa itu, saya juga tidak tahu untuk membezakan jenis kopi kerana tidak biasa melakukannya,” kongsinya kepada Kosmo! menerusi seorang penterjemah

Dia ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama Starbucks Signing Store di Bangsar Village 2, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbangga


Empat orang pakar kopi bertauliah berjaya dilahirkan oleh Starbucks Signing Store iaitu Yap Yee Lin (kiri), Mohd. Akmal Abdul Khalid (dua dari kiri), Nur’Aizad Mohd. Rosli (tiga dari kanan) dan Muhammad Aizad (kanan).


Memahami konsep kesaksamaan antara hubungan manusia dan mengambil kisah barista OKU seperti Muhammad Aizad, Starbucks Malaysia melangkah setapak ke hadapan apabila memperkenalkan kafe pertama di dunia yang dikendalikan hampir sepenuhnya oleh golongan cacat pendengaran pada 20 Julai 2016.

Kini, selepas setahun beroperasi, cawangan yang dikenali sebagai Starbucks Signing Store itu mampu berbangga apabila masyarakat dunia khususnya penggemar kopi mula membuka mata akan kemampuan pekerja OKU dalam memenuhi cita rasa mereka terhadap kopi.

Menariknya, pelanggan juga berpeluang untuk mempelajari dan memahami beberapa bahasa isyarat mudah seperti cara mengucapkan terima kasih daripada pekerja cacat pendengaran yang mesra dan terlatih.

Bukan itu sahaja, projek perintis yang membariskan majoriti pekerja OKU itu juga berjaya melahirkan pengurus syif pertama iaitu Muhammad Aizad.

Malah, anak muda berjiwa besar itu turut diberi pengiktirafan sebagai pakar kopi bertauliah pertama oleh Starbucks termasuk tiga orang barista pekak lain.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Bhd., Sydney Quays, keunikan yang terdapat di cawangan tunggal yang menerapkan medium komunikasi menggunakan bahasa isyarat itu ialah pelanggan berpeluang untuk menyelami dunia mereka yang cacat pendengaran dengan lebih baik.

“Kebanyakan mereka (golongan pekak) cenderung mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan perasaan malu menebal disebabkan kekurangan yang dimiliki.

“Justeru, ingin saya tegaskan bahawa ini bukan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Starbucks kerana kami melihat mereka sebagai pekerja biasa dan setara dengan yang lain.

“Kami ingin mencipta platform untuk mereka membina kerjaya, membentuk personaliti dan meningkatkan keyakinan diri agar dapat bersaing secara sihat dengan rakan lain yang sempurna pancaindera,” jelasnya.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh agensi media luar negara itu, beliau memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menambah cawangan lain seumpamanya pada masa hadapan ekoran sambutan hangat yang diberikan oleh pelanggan.

Process time in ms: 47