KESIHATAN

Waspada jangkitan penyakit di Tanah Suci

Waspada jangkitan penyakit di Tanah Suci


JEMAAH dinasihatkan supaya tidak terdedah secara langsung dengan unta bagi mengurangkan risiko terkena infeksi virus MERS. – Gambar hiasan


JEMAAH haji berisiko untuk dijangkiti penyakit disebabkan oleh beberapa faktor seperti persekitaran di Tanah Suci (keadaan yang sesak dan cuaca panas) dan keadaan atau penyakit yang menyebabkan lemah sistem imun tubuh seperti diabetes serta lanjut umur.

Penyakit yang disebarkan melalui udara dan sentuhan mudah untuk merebak disebabkan oleh persekitaran yang sesak. Antaranya, jangkitan pernafasan seperti influenza, pneumokokal dan batuk kering.

Jemaah yang datang dari seluruh pelosok dunia boleh menjadi pembawa kepada pelbagai penyakit termasuk penyakit yang jarang ditemui di negara ini seperti meningokokal.

Mengerjakan haji dan umrah dalam keadaan yang sihat menjadi idaman setiap jemaah. Selain berdoa kepada Allah, persiapan rapi perlu dilakukan untuk mencegah penyakit.

Ia dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sebelum berangkat, semasa di sana dan setelah pulang ke tanah air.

Menurut Pakar Mikrobiologi Klinikal, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nurul Azmawati Mohamed, persiapan sebelum berangkat menuntut bakal jemaah untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam dan makan makanan seimbang selain menitikberatkan aspek kesihatan.

“Sebaiknya bakal jemaah melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya tidak sihat.

Vaksin

“Selain itu, bakal jemaah juga perlu mematuhi garis panduan kesihatan yang dituntut oleh kerajaan Arab Saudi iaitu mengambil vaksin sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berangkat,” jelasnya.

Vaksin yang diwajibkan ialah meningokokal manakala vaksin pneumokokal dan influenza disyorkan juga oleh kerajaan Arab Saudi terutamanya untuk warga tua, pesakit diabetes serta pesakit buah pinggang kronik.

Turut bersetuju dengan kepentingan menjaga kesihatan di Tanah Suci bagi melancarkan urusan ibadah seseorang itu ialah Profesor Perubatan (Mikrobiologi) USIM, Prof. Dr. Che Ilina Che Isahak.

Beliau memberitahu, penekanan terhadap kesihatan perlu dipandang serius terutamanya sewaktu berada di sana.

Ini kerana kepadatan umat Islam pada musim haji menyebabkan jemaah terdedah kepada jangkitan kuman.

“Jemaah wanita digalakkan untuk sentiasa memakai topeng muka apabila berada dalam keadaan sesak dan membawa tisu serta pencuci tangan bagi menutup mulut serta hidung ketika bersin dan batuk termasuk membasmi bakteria pada tangan selepas menggunakan tandas.

“Untuk membunuh kuman dan mengelak daripada jangkitan respiratori, jemaah boleh menggunakan ubat kumur atau semburan dengan antiseptik tekak setiap hari,” kongsinya.

Selain itu, cuaca yang panas dan kering juga berpotensi untuk mengakibatkan masalah kulit merekah.

Che Ilina menyarankan jemaah agar sentiasa menggunakan pelembap seperti Vaseline pada siku atau tumit kaki manakala minyak zaitun pula disapu pada badan untuk mencegah kulit merekah.

Jemaah wanita pula disyorkan memakai stoking kaki tebal kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kesakitan tetapi kulit merekah juga berisiko untuk dijangkiti kuman terutamanya bagi pesakit diabetes.

“Elakkan terdedah secara langsung dengan unta bagi mengurangkan risiko terkena infeksi virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS). Ia termasuk menyentuh dengan sengaja atau meminum susu unta segar yang dijual di ladang.

“Bagi jemaah lelaki, dapatkan perkhidmatan tukang gunting atau cukur rambut yang berlesen. Pastikan tukang gunting itu menggunakan pisau pakai buang untuk menggelakkan daripada penyebaran virus hepatitis C yang boleh disebarkan melalui perkongsian pisau cukur,” jelasnya.

Setelah pulang ke tanah air, jemaah disaran menggunakan antiseptik untuk tekak semasa dalam penerbangan pulang bagi mengurangkan penyebaran kuman kepada ahli keluarga sebaik tiba di lapangan terbang.

Jika tidak sihat, elak daripada berjumpa orang lain terutamanya bayi dan orang tua serta dapatkan nasihat doktor dengan kadar segera.

Process time in ms: 16