GENK

Visi Hwei Xian dalam sukan dodgeball

Visi Hwei Xian dalam sukan dodgeball


Sukan telah memberi peluang kepada Hwei Xian menjelajah banyak negara di dunia.


SUKAN dodgeball boleh dianggap antara sukan bertaraf dunia yang baru bertapak di negara ini.

Sejak diperkenalkan hampir 10 tahun lalu, sukan itu sudah mula berkembang terutama dalam kalangan orang muda khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.

Sukan dodgeball dimainkan dengan dua pasukan saling membaling bola ke arah lawan sambil mengelak daripada terkena bola.

Walaupun baru berusia setahun jagung, namun pasukan dodgeball kebangsaan telah mencapai kejayaan yang sangat membanggakan apabila berjaya muncul antara pasukan terbaik dunia.

Lebih membanggakan apabila pasukan dodgeball wanita negara kini menjadi pasukan terbaik dunia selepas menjuarai Kejohanan Dodgeball Dunia 2016 pada Oktober tahun lalu di Melbourne, Australia manakala pasukan lelaki negara mengungguli tangga kedua terbaik dunia.

Namun, kejayaan itu tidak datang bergolek jika tiada kesungguhan daripada semua pihak terutama pemain. Perkara itu diakui sendiri oleh ketua pasukan dodgeball wanita negara, Chong Hwei Xian, 25.

Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kulinari dari Universiti Taylor, Subang Jaya, Selangor berkata, sejak merangkul gelaran terbaik dunia, pasukannya terpaksa bekerja keras bagi memastikan takhta itu kekal untuk jangka masa yang lebih lama.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama tonggak pasukan dodgeball wanita kebangsaan itu bagi menyingkap penglibatannya dalam sukan berkenaan.

1. Bilakah anda mula menceburi sukan dodgeball?

Segalanya bermula selepas saya melanjutkan pengajian di peringkat diploma di Kolej INTI Subang Jaya, Selangor pada tahun 2011.

Saya memang seorang yang aktif bersukan dan ketika di bangku sekolah lagi, saya sudah terlibat dalam pelbagai jenis sukan seperti bola keranjang, futsal dan bola baling selain olahraga.

Ketika di Kolej INTI, seorang rakan telah memperkenalkan sukan dodgeball kepada saya dan selepas melibatkan diri dengan sukan berkenaan, saya terpilih menganggotai pasukan kolej untuk bertanding dalam pertandingan dodgeball peringkat liga.

2. Bagaimana pula dengan penglibatan anda dalam pasukan kebangsaan?

Saya mula mewakili negara selepas pasukan kolej saya menjuarai kategori wanita liga dodgeball kebangsaan pada tahun 2013.

Ketika itu, saya mewakili Universiti Taylor selepas melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian itu.

Apabila muncul juara, pasukan saya telah dipilih secara automatik untuk mewakili negara ke Kejohanan Dodgeball Dunia 2013 yang ketika itu berlangsung di New Zealand.

Pada tahun 2014, pasukan saya sekali lagi terpilih untuk mewakili negara ke kejohanan dunia di Hong Kong selepas menjuarai liga kebangsaan tahun tersebut.

3. Sudah berapa lama anda terpilih mewakili negara dan apakah pencapaian terbaik pasukan anda?

Saya sudah menjadi pemain dodgeball kebangsaan sejak tahun 2013 lagi. Cuma, pada tahun 2015, saya tidak terpilih mewakili negara kerana pasukan saya gagal menjuarai liga kebangsaan, sekali gus menyebabkan saya juga tersingkir.

Namun, bermula tahun lalu, Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) telah menggunakan kaedah baharu dalam pemilihan pemain untuk pasukan kebangsaan dengan melakukan penilaian pemain berdasarkan kelayakan dan kemahiran individu.

Oleh itu, saya kembali terpilih untuk menyertai pasukan dodgeball kebangsaan selain turut dilantik menjadi kapten pasukan dalam mengharungi cabaran kejohanan dunia yang diadakan di Australia.

Pada kejohanan dunia tahun 2013, pasukan dodgeball wanita negara menduduki tempat keempat manakala pada tahun 2014 dan 2015, pasukan wanita negara menduduki tempat ketiga bagi dua tahun berturut-turut.

Namun pada tahun lalu, pasukan dodgeball wanita mula meniti puncak apabila menduduki tempat pertama dalam kejohanan berprestij itu sekali gus menjadi pasukan dodgeball terbaik dunia pada masa ini.


Kenangan manis dilakar skuad dodgeball wanita negara apabila muncul johan Kejohanan Dodgeball Dunia di Australia tahun lalu.


4. Apakah persediaan pasukan anda dalam menghadapi kejohanan sama pada tahun ini?

Memandangkan Kejohanan Dodgeball Dunia 2017 akan berlangsung pada Oktober ini di Toronto, Kanada, kami telah mula melakukan persiapan dengan melakukan latihan intensif secara berpusat di Taman Ekstreme, Puchong, Selangor setiap hari Selasa.

Selebihnya, setiap pemain akan melakukan latihan tambahan bersama pasukan atau komuniti masing-masing bagi meningkatkan stamina dan kemahiran.

Saya sendiri akan berlatih bersama pasukan milik saya yang dikenali sebagai Zephyrs di Subang Jaya sekiranya tidak mengikuti latihan berpusat bersama pasukan kebangsaan.

Sasaran kami adalah untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pasukan dodgeball wanita terbaik dunia.

5. Apakah perancangan masa depan anda dalam sukan dodgeball?

Memandangkan sukan ini masih belum begitu dikenali ramai, MAD telah merancang untuk memperluaskan sukan dodgeball ke peringkat sekolah-sekolah.

Sebagai pemain kebangsaan, kami turut terlibat dalam membantu memperkenalkan dodgeball kepada golongan muda dan pelajar termasuklah memberi latihan asas dan tunjuk ajar kepada mereka mengenai sukan ini.

Saya berharap agar suatu hari nanti Malaysia akan mempunyai ramai pelapis pemain dodgeball yang berkaliber dan bertaraf dunia, sekali gus menjadi pasukan yang terus digeruni.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47