GENK

Warga UniMAP tabur bakti di Kemboja

Warga UniMAP tabur bakti di Kemboja


MOHD. FO’AD (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada wakil penduduk sempena Kembara Khidmat Masyarakat UniMAP di Kemboja baru-baru ini.


SELEPAS kejayaan Kembara Khidmat Masyarakat di Thailand tahun lalu, mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali lagi merangka program sama tahun ini di Kemboja.

Program tahunan anjuran Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) Kampus Uniciti Alam itu berlangsung selama empat hari di sekitar bandar raya Phnom Penh pada 4 hingga 7 Julai lalu.

Delegasi seramai 30 peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan UniMAP itu diketuai oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Mohd. Fo’ad berkata, program itu bertujuan untuk membentuk semangat setia kawan di antara warga UniMAP dan masyarakat ASEAN menerusi program khidmat masyarakat.

“Program ini membolehkan kita membantu golongan yang memerlukan di samping merasai pengalaman hidup di sana.

“Selain itu, peserta yang terlibat juga berpeluang mempelajari budaya dan kehidupan masyarakat setempat dengan lebih dekat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohd. Fo’ad, program khidmat sosial universiti (USR) itu juga turut mendedahkan peserta dengan kemahiran kepimpinan dan insaniah melalui aktiviti kemanusiaan yang diadakan.

Secara tidak langsung, katanya, ia juga dapat mendidik mereka untuk mengenal erti kepayahan kehidupan di samping sentiasa bersyukur atas nikmat yang diterima.

Sementara itu, Penolong Pengetua, Kolej Kediaman Kampus Uniciti Alam, Mohd. Syamril Akmar Chek Kassim, berkata, para peserta dibawa melawat Abubakar Al-Islamiah High School, Kampung Chnang.

“Biarpun berbeza budaya dan latar belakang namun keakraban di antara peserta dan para pelajar sekolah jelas terpancar.

“Selain mengadakan sambutan Aidilfitri, turut diadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan pelajar sekolah berkenaan,” katanya.

Menurut Mohd. Syamril, hari kedua program pula sarat dengan aktiviti di dalam kelas yang melibatkan tiga kumpulan pelajar iaitu pelajar prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sesi komunikasi dalam bahasa Inggeris, membuat binaan menggunakan barangan terpakai dan tip keselamatan serta kebersihan diri.

“Selain itu, mereka juga berpeluang mengabadikan kreativiti masing-masing pada kain rentang gergasi yang disediakan oleh UniMAP.

“Kemuncaknya, aktiviti gotong-royong menyediakan juadah Aidilfitri di samping pemberian sumbangan wang tunai, al-Quran, muqaddam, buku, alat tulis dan peralatan kesihatan kepada pengurusan sekolah,” katanya.

Seterusnya, katanya, peserta turut dibawa melawat Kampung Chnok Trou yang merupakan perkampungan air di Tasik Tonle Sap.

“Misi utama ialah menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak, garam, muqaddam, baju dan juga peralatan perubatan,” katanya.


PESERTA bergotong-royong mengutip sampah dan membersihkan kawasan sekitar bandar raya Phnom Penh.


Kesedaran

Ujarnya, pada hari terakhir, peserta turut melakukan aktiviti mengutip sampah dan membersihkan kawasan sekitar Phnom Penh.

“Itu misi kita untuk meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat setempat di samping mendidik peserta untuk lebih prihatin terhadap alam sekitar.

“Kami juga sempat melawat Toul Sleng Genocide Museum yang merupakan tempat bersejarah yang melihatkan kekejaman pemerintahan Pol Pot pada tahun 1975-1979.

“Sebelum pulang ke Malaysia, satu sesi perjumpaan rasmi telah diadakan bersama Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek,” katanya.

Seorang peserta, G. Srirajeswary, 22, berkata, dia teruja menyertai program berkenaan kerana menyedari kepayahan dan kesukaran hidup yang dilalui masyarakat di sana khususnya yang beragama Islam.

“Walaupun berbeza negara dan budaya, namun tidak bermakna kita tidak boleh menceriakan mereka di samping menghulurkan bantuan.

“Pengalaman berada di sana sememangnya menginsafkan kerana rata-rata mereka terpinggir daripada arus pembangunan selain kekurangan peralatan untuk pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Jelasnya, biarpun begitu dia kagum dengan semangat masyarakat di sana yang tidak pernah mengenal erti putus asa untuk mengubah kehidupan.

“Biarpun tanpa kemudahan asas seperti elektrik dan air bersih namun mereka tetap tabah menjalani kehidupan harian.

“Apa yang membuatkan saya kagum, biarpun baru bersua muka, mereka tetap menyambut dengan senyuman dan tangan terbuka,” katanya.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47