GENK

Turun padang bantu golongan kurang bernasib baik

Turun padang bantu golongan kurang bernasib baik



SEAWAL pukul 8 malam, seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Masrin, 63, sudah bersiap dengan memakai baju batik warna biru dan berseluar slack hitam.

Walaupun majlis penyerahan bantuan yang perlu dihadirinya hanya akan bermula pukul 9 malam, namun sebagai pihak yang diraikan, dia lebih suka hadir lebih awal ke dewan bagi mengelak kelewatannya mengganggu perjalanan program.

“Saya sangat gembira apabila banyak pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada orang gelandangan seperti kami.

“Ia membuktikan bahawa anggota masyarakat di negara ini sangat prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik seperti kami.

“Malah, program bantuan seperti ini juga dapat membuka mata anggota masyarakat supaya mereka tidak terus menerus memberi gambaran yang negatif terhadap golongan gelandangan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan bagi program Jejak Gelandangan anjuran Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Jejak Gelandangan ialah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej universiti itu, UCAM Prihatin.

Program Jejak Gelandangan dirasmikan oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin manakala penyerahan bantuan pula disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UCAM, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Rafek Reshidullah.

Masrin merupakan seorang pesara kerajaan yang terpaksa memilih hidup sebagai gelandangan selepas didakwa menjadi mangsa akibat tindakannya menjadi penjamin kepada individu yang ingin mendapatkan pinjaman pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Dia diisytiharkan muflis setelah individu itu gagal menjelaskan hutang tersebut.

Ceritanya, sebagai seorang yang pernah memegang jawatan tinggi di dalam agensi kerajaan dan masih berfikiran waras, dia memilih Anjung Singgah kelolaan YKN di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sebagai penginapan transit memandangkan dia tidak lagi memiliki sebarang harta selepas disita.

Anggun Singgah ialah sebuah pusat intervensi sosial untuk membantu golongan gelandangan di Malaysia.


ZAHIDI (tiga dari kanan), Mohd. Fasiah (dua dari kanan) dan Rafek (dua dari kiri) semasa pelancaran program Jejak Gelandangan UCAM Prihatin di Anjung Singgah, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Mengumpul dana

Dalam pada itu, pengarah program Jejak Gelandangan, Nabilah Mahat berkata, program itu merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) UCAM, Alor Gajah, Melaka yang dijalankan bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat menerusi program UCAM Prihatin.

Ia disertai oleh 40 kakitangan akademik dan pengurusan UCAM selain turut dibantu 10 pegawai perubatan dan jururawat Klinik Kuala Sungai Baru, Melaka yang merupakan panel kesihatan kolej universiti itu.

“Sebenarnya, program Jejak Gelandangan itu telah bermula sejak bulan Mei lalu menerusi pelbagai acara yang dijalankan bagi mengumpul dana untuk menjayakan program ini.

“Antaranya ialah kutipan dana untuk tabung Jejak Gelandangan, pengumpulan pakaian terpakai dan aktiviti busking di beberapa pasar raya Mydin sekitar Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kami bersyukur kerana penganjuran program ini mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak,” katanya dengan memberitahu, pihaknya turut mendapat sumbangan khas RM10,000 daripada RISDA selaku pihak yang memiliki kolej universiti itu.

Jelasnya, antara pihak yang terlibat termasuklah RISDA dan anak syarikatnya, YKN, Pasar raya Mydin, ESPEK Livestock, Syarikat Bekalan Air Melaka, Projek Empire, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn. Bhd. dan Mamee-Double Decker (M) Berhad.

Menghurai lebih lanjut tentang program itu, Nabilah memberitahu, selain sebagai aktiviti CSR, antara objektif utama penganjurannya adalah bagi memberi peluang kepada kakitangan akademik dan pengurusan UCAM untuk mendekati dan memahami dengan lebih mendalam tentang situasi sebenar yang dihadapi golongan gelandangan.

Ia juga dilaksanakan bagi membolehkan semua pihak yang terlibat menginsafi dan bermuhasabah diri terhadap nikmat yang telah dan sedang dinikmati berbanding apa yang sedang dilalui oleh golongan gelandangan.


KAKITANGAN UCAM turut mengadakan aktiviti busking di pasar raya Mydin untuk mengumpul dana bagi menjayakan program Jejak Gelandangan UCAM Prihatin.


Pemeriksaan kesihatan

Jelas beliau, selain mengagihkan bantuan kepada gelandangan di sekitar Anjung Singgah, pihaknya turut menyerahkan bantuan kepada gelandangan yang berada di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Pudu.

“Kami menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuklah mengagihkan pek berisi makanan kering dan keperluan diri seperti berus gigi, ubat gigi, sikat, sabun mandi dan tuala.

“Malah, kami turut menyediakan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan bantuan ubat-ubatan asas yang dikendalikan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru.

“Diharapkan dengan bantuan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh gelandangan di sekitar kawasan ini selain ingin menyampaikan mesej bahawa masih ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka,” katanya.

Dalam pada itu, peserta program yang juga Eksekutif Pemasaran UCAM, Siti Norliana Mohd. Fasiah memberitahu, peluang melibatkan diri di dalam program CSR seperti itu sangat dinanti-nantikan bagi membolehkan dia menyelami kehidupan gelandangan.

Katanya, selepas terlibat dalam program itu, dia menyedari bahawa tanggapannya terhadap gelandangan bahawa golongan itu pengotor selain menjadi beban kepada masyarakat dan negara adalah salah sama sekali.

“Sebenarnya, bukan semua orang gelandangan merupakan mereka yang hidup tanpa tujuan, pengemis dan pengotor, tetapi sebaliknya ramai antara mereka yang menjadi mangsa keadaan.

“Malah, ada antara mereka yang mempunyai azam yang tinggi untuk mengubah kehidupan mereka supaya menjadi lebih baik.

“Sebab itulah, peranan kita sebagai anggota masyarakat adalah dengan memberi bantuan kepada mereka sama ada daripada segi keperluan mahu pun sokongan moral,” katanya.

Latihan

Perkara itu turut diakui oleh Zahidi dengan memberitahu, RISDA sentiasa terbuka untuk membantu golongan gelandangan dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat terutama dalam sektor perladangan.

Malah katanya, pihaknya menerusi UCAM juga bersedia untuk menawarkan pelbagai bentuk latihan kepada golongan tersebut agar mereka dapat keluar daripada kepompong gelandangan bagi membolehkan mereka membina kehidupan baharu.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47