PESONA

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.


KANAK-KANAK berusia empat tahun yang mengenakan baju-T rona merah jambu dan rambut diikat satu itu kelihatan ceria berlari-lari anak sambil diperhatikan ibu dan bapanya.

Tangan kanan Zara Syakira Mohd. Afzanizan atau lebih mesra dipanggil Zara itu pula kelihatan memegang sepotong epal. Sesekali dia akan menggigit hirisan epal tersebut sambil bermain.

Ibunya, Nurul Syahida Abdul Rahman, 32, memberitahu, dia gemar membekalkan anak tunggalnya itu dengan hirisan buah-buahan menggantikan snek apabila keluar dari rumah dalam tempoh yang panjang.

“Zara memang suka makan buah terutama pisang dan epal serta jenis sayur berwarna-warni seperti lobak merah.

“Syukur, saya tidak pernah menghadapi masalah besar untuk memintanya memakan buah dan sayur,” ujarnya yang ditemui sewaktu siri jelajah pertama Kebaikan Buah-Buahan Harian Marigold Peel Fresh di pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Akui Nurul Syahida, dia tidak menetapkan kuantiti tertentu terhadap pengambilan buah-buahan atau sayur-sayuran dalam diet anaknya, namun akan memastikan Zara mendapat khasiatnya setiap hari.

“Seperti kebanyakan kanak-kanak lain, Zara juga tidak begitu gemarkan rasa sayur hijau.

“Justeru, untuk memujuk Zara makan sayur, saya akan selang-selikan dengan makanan lain yang digemarinya misalnya agar-agar atau potongan kiub buah-buahan,” kongsi wanita yang menetap di Kajang, Selangor itu.

Turut ditemui pada acara yang sama ialah Wan Rabiah Wan Mohammad Roslan, 33, yang kelihatan sedang menggendong anak bongsunya berumur 10 bulan.

Corak pemakanan

Kongsi ibu kepada tiga orang anak masing-masing berumur tujuh dan dua tahun serta 10 bulan tersebut, kesemua anaknya mempunyai corak pemakanan berbeza terhadap sumber serat utama itu.

Justeru, sebagai ibu, dia perlu sentiasa bereksperimentasi dengan selera dan keperluan nutrisi anak-anak.

“Anak sulung saya tidak suka makan sayur melainkan apabila dipaksa. Anak kedua pula sangat gemarkan makanan berasaskan puri sama ada buah-buahan atau dicampur dengan sedikit sayur-sayuran.

“Sementara itu, anak bongsu saya pula sangat sukakan makanan berbentuk jejari,” katanya.

Akui Wan Rabiah, sebelum mendapat anak kedua, dia tidak begitu menekankan aspek pengambilan sayur-sayuran kepada anak sulungnya. Hal tersebut telah menyebabkan murid tahun satu itu sangat liat untuk memakan sayur sehingga kini.

Belajar daripada kesilapan lalu, Wan Rabiah mula memberikan makanan puri kepada anak keduanya.

Sesekali apabila Wan Rabiah tidak sempat membuat sendiri puri tersebut, dia akan membelinya daripada pengedar makanan bayi yang banyak terdapat dalam pasaran. Secara peribadi, dia lebih gemar membeli produk makanan bayi daripada pengusaha tempatan kerana ia lebih segar.

Sementara itu, bagi anak ketiga, Wan Rabiah mula menggunakan kaedah mengukus dan memotong dalam bentuk jejari terutama sayur-sayuran yang agak keras untuk kanak-kanak seperti lobak merah.

“Melalui pengalaman sendiri, saya dapati apa yang seorang ibu makan sewaktu sedang mengandung sedikit sebanyak akan mempengaruhi pola pemakanan anak itu apabila lahir kelak. Misalnya, sewaktu mengandungkan anak sulung saya gemar memakan makanan segera dan itulah yang terjadi kepada anak sulung kini,” kata wanita yang berjaya menyempurnakan kesemua empat permainan kelolaan Marigold Peel Fresh pada hari tersebut.

Turut ditemui pada hari tersebut ialah duta jenama Marigold selama tiga tahun berturut-turut iaitu selebriti wanita terkenal, Lisa Surihani.

“Kanak-kanak ini sifatnya suka mengikut, sama ada melalui perbuatan atau percakapan. Sebagai ibu, saya akan menunjukkan contoh yang baik dengan memakan buah dan sayur di hadapan mereka untuk dijadikan teladan,” ujar ibu anak dua itu.

Serat tinggi

Mengupas lebih mendalam dari sudut pemakanan, Pensyarah Sains Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Aminah Abdullah menjelaskan bahawa pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai kandungan serat tinggi sangat baik untuk badan.

Menurutnya, sebaik-baik pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran ialah yang terdiri daripada kumpulan warna berbeza kerana setiap warna itu melambangkan kandungan antioksida di dalamnya.

“Apabila dibekalkan dengan manfaat antioksida yang pelbagai, secara tidak langsung ia menyediakan lapisan pertahanan terhadap tubuh daripada ancaman radikal bebas yang banyak terdapat di persekitaran.

“Sebagai contoh, tembikai merupakan antara buah yang digemari kanak-kanak kerana ia lembut dan berjus. Namun hakikatnya, ia juga padat dengan antioksida semula jadi. Antioksida ini bergerak melalui badan dan meneutralkan radikal bebas.

“Warna merah pada tembikai pula disebabkan oleh kandungan likopena iaitu sejenis karotenoid yang mampu memperbaiki fungsi kardiak. Ia dapat membantu mengurangkan kolesterol dan memelihara kesihatan jantung,” jelasnya.

Selain itu, Aminah juga menyarankan suspek dan pesakit demam denggi untuk kerap meminum jus jambu batu merah yang kaya dengan likopena bagi menaikkan jumlah platlet dalam darah.

Menurutnya, ibu bapa khususnya perlu bijak menarik minat anak-anak untuk mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet harian mereka. Antaranya dengan membuat kombinasi warna dan menghias makanan dengan menarik.

“Saya perhatikan, kesedaran masyarakat terhadap pengambilan sumber serat dalam diet harian mereka semakin meningkat, namun ia masih tidak mampu membentuk gaya hidup sihat kerana penyediaan yang salah.

“Misalnya, memasak sayur terlalu lama dengan alasan lebih mudah dimakan atau mendedahkan anak-anak terlalu awal dengan makanan yang diproses. Perkara sedemikian bukan sahaja membuatkan tubuh kehilangan zat yang diperlukan, malah berpotensi menjejaskan fungsi sedia ada,” jelasnya.

Aminah juga menggalakkan masyarakat untuk makan mengikut cara Islam iaitu mengambil buah dahulu sebelum menikmati hidangan utama bagi mengelakkan makan berlebihan.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 32