HORIZON

Kembara halal di hotel Al Meroz

Kembara halal di hotel Al Meroz

HOTEL Al Meroz terletak berhampiran dengan pusat-pusat tumpuan pelancong utama di Bangkok.


SEJAK dahulu lagi, Thailand memang terkenal sebagai destinasi tumpuan pelancong yang tertarik dengan kemeriahannya seperti barangan murah dan aneka makanan tempatan.

Ia juga terkenal dengan rumah-rumah ibadat agama Buddha yang kebanyakannya menjadi mercu tanda pelancongan utama.

Justeru, ramai yang menganggap Thailand sebagai sebuah destinasi yang hanya sesuai untuk penganut Buddha. Begaimanapun, ramai yang tidak mengetahui bahawa Thailand juga mempunyai sisi yang mampu menambat hati pengunjung Muslim.

Mungkin ada yang menyangka bahawa percutian bercirikan halal adalah sesuatu yang sukar atau tidak mungkin dapat dilakukan di Thailand. Penulis berasa cukup bertuah kerana dapat menjadi tetamu di bumi Gajah Putih ini sewaktu menginap di hotel Al Meroz, Bangkok baru-baru ini.

Hasil mata ganjaran terkumpul daripada keahlian penulis dalam kelab gaya hidup dan kembara WorldVentures, pada April lalu, penulis berpeluang menikmati penginapan percuma tiga hari dua malam di Al Meroz.

Al Meroz yang membawa maksud warisan atau tinggalan berharga dalam bahasa Arab, mungkin merupakan satu-satunya hotel halal di kota Bangkok pada masa ini.

Walaupun menaruh harapan yang tinggi memandangkan pelbagai ulasan positif yang telah penulis baca mengenainya, namun penulis masih berasa kagum sebaik sahaja melangkah masuk ke Al Meroz, terutamanya hiasan dan rekaan dalamannya yang anggun.

Memandangkan lokasi hotel tersebut di luar pusat bandar, penulis mendapati suasana persekitarannya amat tenang dan mendamaikan. Ia juga agak kurang sesak berbanding hotel-hotel lain di Bangkok.

Walaupun Al Meroz merupakan hotel empat bintang, tetapi keselesaan dan saiz bilik serta segala kemudahan yang ada, memberikan nilai lebih daripada itu. Selain itu, tahap perkhidmatan dan penginapan yang ditawarkan juga adalah setaraf pusat peranginan lima bintang.

Ruangan khas


ANTARA kemudahan yang terdapat di hotel Al Meroz ialah kolam renang yang terletak di tingkat paling atas.


Sebagai sebuah hotel halal, tiada sebarang minuman alkohol dijual, manakala kolam renang dan gimnasium di tingkat paling atas mempunyai jadual masa berasingan untuk kegunaan lelaki dan wanita.

Segala kemudahan penginapan, restoran dan istirahat di hotel tersebut direka secara khusus untuk tetamu Muslim dan bukan Muslim. Bangunan hotel pula memuatkan 242 bilik dan suite, tiga buah restoran, sebuah kolam renang tertutup bersaiz besar, gimnasium dan bilik-bilik mesyuarat.

Dalam pada itu, semua bilik juga mempunyai arah kiblat dan sejadah serta satu salinan mushaf al-Quran. Bagi tetamu wanita yang datang berseorangan, pihak hotel memperuntukkan keseluruhan ruang di salah satu aras khas untuk digunakan secara eksklusif lengkap dengan kakitangan wanita.

Selain itu, perkhidmatan dan kemudahannya yang unggul, para tetamu juga tidak boleh melepaskan peluang untuk mengunjungi Diwan. Ia sebuah restoran buat seisi keluarga yang menyajikan hidangan lazat sepanjang hari dalam suasana persekitaran penuh eksklusif.

Keseluruhan menu yang ditawarkan pastinya direka khusus oleh Al Meroz untuk para tetamu Muslim yang turut merangkumi pelbagai rangkaian sajian asli Thai dan negara-negara serantau.

Jika tetamu yang ingin makan di luar hotel pula, terdapat sebuah restoran Thai terkenal bernama Sophia yang terletak di hadapan hotel berkenaan. Ia merupakan sebuah restoran keluarga yang menyajikan keenakan cita rasa masakan Muslim Thai serta pelbagai hidangan China dan Eropah yang kesemuanya halal.

Penulis juga tidak berasa khuatir dan kekok berada di negara ini kerana rakyat Thailand terkenal di seluruh dunia dengan kemesraan dan kehalusan tradisi budaya mereka.

Penulis begitu tersentuh semasa bertemu dengan sekumpulan Muslim Thai yang memiliki keperibadian sopan dan mesra.

Kebanyakan orang Muslim di Bangkok mempunyai keturunan yang berasal dari selatan Thailand. Ibu kota tersebut juga telah menjadi tempat kediaman orang Islam yang datang dari segenap rantau seperti Muslim Cham (Kemboja), Iran, Arab, Pakistan, Afghanistan, India dan Myanmar.


PENULIS makan malam bersama rakan-rakan di sebuah restoran di kota Bangkok.


Walaupun majoriti penduduk Bangkok terdiri daripada penganut Buddha, namun mereka dan orang Islam hidup dengan aman dan damai. Justeru, membuktikan keharmonian antara agama yang diamalkan di Bangkok.

Walaupun mempunyai jadual yang sibuk, penulis masih berpeluang memperuntukkan masa bagi menikmati urutan Thai yang amat melegakan di Bangkapi Mall.

Peluang untuk menikmati urutan Thai adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan semasa di Thailand. Selepas menjalani sesi urutan yang melegakan, penulis menikmati pula makanan pencuci mulut kegemaran iaitu pulut mangga dengan santan.

Sungguh memuaskan! Pasti ia merupakan satu lagi perkara yang mesti dikecapi oleh pengunjung yang datang ke Thailand kelak.

Justeru cuaca di Bangkok antara 26 hingga 35 darjah Celsius sepanjang tahun amat sesuai bagi percutian pendek.

Process time in ms: 16