INFINITI

Produk perubatan di bawah satu bumbung

Produk perubatan di bawah satu bumbung

ANTARA contoh produk yang terdapat dalam laman web Sircure.


Kecuaian ketika memotong ikan menyebabkan jari Rohilah Osman, 48, mempunyai kesan luka yang agak ketara.

Situasi itu memaksa dia untuk mencari produk yang dapat mengurangkan kesan luka tersebut.

Namun, dia tidak menemuinya sehinggalah diperkenalkan oleh seorang rakan dengan minyak daripada buah argan.

Sejak itu, kesan luka tersebut beransur-ansur pulih dan semakin pudar.

Mempercayai minyak itu mempunyai khasiat tersendiri, Rohilah mula membuat beberapa kajian mengenai buah argan yang berasal dari Maghribi.

Pokok Argan atau nama saintifiknya, Argania spinosa ialah sejenis pokok yang tergolong dalam keluarga Sapotaceae. Pokok-pokok itu hidup di kawasan yang agak kering di kawasan barat daya Maghribi.

Minyak argan mengandung vitamin E dua kali ganda lebih banyak daripada minyak zaitun. Vitamin E yang berperanan sebagai antioksidan bermanfaat untuk melawan radikal bebas iaitu salah satu penyebab penuaan kulit.

Mengambil manfaat daripada kebaikan minyak itu, maka Rohilah menghasilkan produk Arganita Oil.

Menurut Pengasas Imanzarr Marketing itu, ramai orang memperkatakan tentang kebaikan minyak argan yang mempunyai manfaat untuk kesihatan dan kecantikan.

“Saya sendiri mendapat manfaat daripada kebaikan minyak argan. Jadi, atas inisiatif itu saya berhenti kerja sebagai akauntan kira-kira setahun lalu dan mula melakukan perniagaan menjual minyak argan ini.

“Permintaan terhadap produk ini sangat menggalakkan. Saya menggunakan medium sosial dan mulut ke mulut untuk mempromosikannya.

“Terkini, saya menyertai laman portal kesihatan Sircure bagi memasarkan Arganita Oil dengan lebih meluas,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada pelancaran portal itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, dengan memilih untuk memasarkan produk itu menerusi portal, dia berharap kebaikan produk tersebut dapat dinikmati oleh ramai pengguna yang mempunyai kekangan untuk membeli di kedai-kedai.

“Sehingga kini belum ada portal kesihatan yang memberi peluang kepada produk seperti ini untuk dipasarkan melalui internet. Saya benar-benar gembira dengan kewujudan Sircure,” ujarnya.

Laman web Sircure merupakan sebuah portal kesihatan yang memasarkan produk dan perkhidmatan perubatan alternatif serta tradisional melalui platform internet.

Ia juga bertindak sebagai pusat sehenti kepada perbincangan mengenai permasalahan kesihatan dan hab informasi mengenai perubatan yang ada pada masa dahulu serta kini.

Ilham

Pengasas Sircure, Abang Afzalurrahman Abang Ahmad, 26, berkata, menggunakan dunia digital untuk memasarkan sesuatu produk dapat memberi kemudahan kepada pengguna selain membantu peniaga menjual produk mereka dengan lebih meluas.

“Saya mendapat ilham untuk menubuhkan Sircure selepas tercari-cari satu hab yang mengumpulkan perubatan tradisional dan alternatif dalam satu medium.

“Agak sukar dan banyak membuang masa ketika saya melakukan satu-satu carian di Google tentang perubatan Islam, Cina mahupun India.

“Akhirnya saya terfikir untuk membangunkan sebuah laman web yang menghimpunkan kesemua perubatan ini di bawah satu bumbung. Maka, lahirlah Sircure pada awal tahun lalu,” tutur anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.

Beliau menambah, perkara yang menguatkan semangatnya untuk membina laman web itu ialah apabila abangnya, Abang Afzaridzwan Abang Ahmad, 29, mempunyai masalah kesihatan.

Sehingga kini, doktor tidak dapat diagnosis apakah penyakit yang dialami oleh abangnya.


ABANG AFZARIDZWAN (berkerusi roda) hadir sama bersama ahli keluarga yang lain sempena pelancaran portal berkenaan.


Atas usaha bersama keluarga, Afzalurrahman mencuba dan mencari pelbagai rawatan tradisional serta alternatif lain yang dapat membantu menyembuhkan penyakit abangnya. Situasi itu juga menjadi pemangkin kepada penubuhan Sircure.

Mengulas lanjut mengenai laman web berkenaan, Sircure berfungsi sebagai ‘orang tengah’ kepada produk-produk perubatan yang ada di negara ini.

“Ketika ini, Sircure mempunyai tujuh vendor dan 40 produk. Vendor-vendor ini adalah pemilik kepada produk yang mereka pasarkan.

“Pengguna yang membuat tempahan melalui Sircure perlu melakukan pesanan terus kepada vendor dan syarikat-syarikat itu akan menguruskan pengeposan barangan yang ditempah,” ujarnya.

Tambahnya, Sircure juga berfungsi sebagai platform kepada vendor-vendor tersebut.

Sircure akan membantu memasarkan produk-produk itu dengan lebih meluas. Malah, bagi sesetengah produk yang masih belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka sedia membantu dengan menyediakan saluran yang betul.

“Ini kerana semua produk yang dipasarkan melalui portal ini harus mempunyai sijil halal dan mendapat kelulusan daripada KKM.

“Dengan adanya jaminan ini, produk yang dipasarkan benar-benar mempunyai kredibiliti dan berkualiti untuk digunakan masyarakat,” jelasnya sambil memaklumkan, ketika ini mereka hanya memberi fokus untuk memasarkan produk-produk lokal.

Setiap produk akan disertakan dengan maklumat fungsi ubat, kelebihan, amaran dan nombor pendaftaran daripada KKM.

Perkhidmatan

Menyentuh mengenai kaedah tempahan, Afzalurrahman menjelaskan, pengguna hanya perlu memilih produk yang ingin dibeli dan menekan butang carta. Jika urusan memilih sudah selesai, hanya klik pada butang checkout dan pembayaran boleh dilakukan.

Kesemua produk yang dibeli akan di pos dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Berhubung pelan akan datang, Sircure juga ada menyediakan perkhidmatan seperti spa, urutan selepas bersalin atau bekam.

“Kami sedang mengenal pasti beberapa senarai ejen di seluruh negara. Semuanya akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Malah, kami juga bercadang untuk mendapatkan produk kesihatan dari seluruh dunia bagi dipasarkan melalui Sircure,” tuturnya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Herba, Prof. Dr. Fadzilah Adibah Abdul Majid berkata, Sircure merupakan satu laman web yang berada di landasan tepat bagi membantu ramai pengguna yang ingin mendapatkan produk perubatan dan servis kesihatan.

“Setiap produk yang dibuat dan dipasarkan oleh Sircure dapat membantu masyarakat yang sedang tercari-cari kaedah bagi rawatan kesihatan.

“Sesuai dengan saranan kerajaan yang menyokong Tradisional Complementary Medicine, penubuhan Sircure juga membantu mengumpulkan pengusaha, pengamal dan pengguna di bawah satu bumbung,” terangnya.

Process time in ms: 16