RUANG

Estetika kasual Kopimeo

Estetika kasual Kopimeo

GANTUNGAN bingkai gambar dan poster comel mencipta feature wall di bahagian dinding yang polos.


LAMBAKAN kafe berkonsep hipster di Shah Alam, Selangor ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kafe Kopimeo antara yang boleh dilihat mengambil sedikit konsep tersebut untuk diketengahkan dalam dekorasi premisnya.

Begitu pun, ia ternyata memiliki karakteristik tersendiri yang menjadikannya berbeza daripada kafe-kafe lain. Mengambil inspirasi daripada kafe kecil di Melbourne, Australia, pemilik Kopimeo, Meor Azlan Che Saffry, 38, dan isterinya, Ili Bazliana Razmi, 34, menggarap idea tersebut dengan memberi sentuhan peribadi kepada susun letak ruang premis yang beroperasi sejak tiga tahun dahulu.

“Kami tidak mahu rekaan industri secara keseluruhan kerana ia mungkin kelihatan terlalu maskulin. Daripada perspektif hiasan dalaman, saya dan suami sepakat memilih rekaan yang lebih kasual serta praktikal sesuai untuk semua pelanggan termasuk yang berkeluarga dan mempunyai anak kecil,” kata Ili Bazliana.

Ruang kafe seluas 130 meter persegi itu ternyata memenuhi kriteria tersebut menerusi sebuah sudut mesra kanak-kanak yang menempatkan koleksi beberapa permainan seperti patung lembut dan sebagainya.


SEBUAH sudut di dalam kafe ditata rias dengan hiasan gramofon serta meja dan kerusi berkaki tinggi.


Gramofon

Di bahagian lain, kerusi dan meja makan yang disusun dalam bentuk deretan menguasai ruang. Penataan kerusi berwarna putih bersama meja bercorak chevron yang ditempah khas daripada Lain Furniture memberi karakter kepada keseluruhan konsep.

Di satu sudut, sebuah meja bulat dan kerusi berkaki tinggi dalam rona hitam mencipta kontras kepada gaya penataan perabot.

Di sudut lain, sofa dua tempat duduk dengan hiasan bantal-bantal comel mencipta suasana santai sesuai buat pelanggan yang mahu menjamu selera secara relaks.

Ruang makan di kaki lima kafe tidak dilupakan, malah dihias ringkas dengan hiasan perabot serupa seperti di bahagian dalam premis. Selain itu, dinding bata terakota dengan limpahan cat kuning mencipta kontra sekali gus bertindak sebagai titik tumpu ruang atau feature wall.

Bercerita tentang palet warna yang dipilih, Meor Azlan berkata, dia selesa mengga­rapkan rona hitam, putih dan kuning dalam penataan dekorasi kafe yang mula beroperasi pada April 2015 itu.

Katanya, warna-warna itu diilhamkan daripada warna pada bendera negeri Perak.

“Saya sebenarnya dilahirkan di Selangor tetapi asal usul keluarga dari Teluk Intan. Secara tidak sengaja, ia mempengaruhi pemilihan warna tersebut,” selorohnya.

Memiliki latar belakang dalam bidang hiasan dalaman, Meor Azlan memberitahu, dia dan isteri yang berpengalaman dalam rekaan grafik menata rias kebanyakan item dekorasi di dalam premis tersebut mengikut kreativiti tersendiri.

“Kami guna barang terbuang seperti tin biskut terpakai sebagai perhiasan. Item antik seperti gramofon turut diletakkan di ruang makan bagi menyuntik kelainan.

“Gramofon ini sebenarnya dibeli di Melaka ketika saya dan keluarga bercuti di sana. Kami bertuah kerana berjaya mendapatkannya pada harga rendah kerana nilainya kini mencecah ribuan ringgit.

“Ia masih boleh digunakan, cuma piring hitam untuk gramofon ini tidak banyak dijual dan sukar dicari,” ujarnya.


DINDING bata terakota dengan limpahan cat kuning mencipta kontras sekali gus bertindak sebagai titik tumpu ruang.


Kopi bru sejuk

Selain gramofon, gitar klasik berusia puluhan tahun turut dijadikan item dekorasi dengan digantung pada bahagian dinding kafe.

Menariknya, sesiapa yang berminat untuk membeli gitar tersebut boleh berbuat demikian kerana pemilik kafe boleh mendapatkannya daripada kenalan yang juga pe­ngumpul koleksi gitar terpakai dan klasik.

Ditanya mengenai nama kafe, Meor Azlan memberitahu, ia dicetuskan oleh jenama kopi bru sejuk buatan sendiri.

“Sebelum ada kafe sendiri, saya menjalankan perniagaan menjual kopi bru sejuk dalam botol menerusi jenama Kopimeo secara separuh masa di Instagram. Isteri pula suka memasak dan dari situ saya terfikir untuk membuka kafe bagi meme­nuhi minat kami.

“Meskipun tiada pengetahuan dalam bidang makanan dan minuman, kami belajar daripada pe­ngalaman selain mendapat tunjuk ajar daripada kakitangan yang rata-rata berkelulusan dalam bidang kulinari dan hospitaliti.

“Tanpa mereka, Kopimeo tidak dapat bertahan dan mempunyai pelanggan setia seperti hari ini,” katanya tersenyum.

Mampu memuatkan sehingga 38 orang pelanggan pada satu-satu masa, kafe itu juga sesuai dijadikan ruang acara untuk majlis santai seperti sambutan majlis ulang tahun atau hari lahir.

“Pelanggan boleh mengadakan majlis ringkas sambil menikmati pelbagai jenis makanan enak yang disediakan di restoran ini,” katanya.

Mengetengahkan masakan de­ngan cita rasa Barat dan fusion, Kopimeo terkenal dengan juadah seperti spageti gulai lemak udang, spageti ikan masin pedas dan spageti asam pedas kambing.

Hidangan signatur lain terma­suklah lamb mess atau kam­bing panggang bersama sos madu, biji sawi dan pudina selain menu ­pencuci mulut, french toast yang dihidang bersama aiskrim vanila bermula pada harga RM5 hingga RM60.

Process time in ms: 31