PESONA

Bahaya virus gigitan anjing

Bahaya virus gigitan anjing


JASAD seorang daripada mangsa virus rabies, Jackson Mazlan, 4, dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Umum Sarawak baru-baru ini.


PADA tahun 2012, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Malaysia bebas daripada penyakit anjing gila atau rabies. Begitupun, status tersebut dilucutkan setelah berlaku wabak membabitkan beberapa ekor anjing di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada tahun 2015.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kematian dua beradik Jackson Mazlan, 4, dan kakaknya, Monica, 6, dari Kuching, Sarawak pada 2 Julai diikuti seorang lagi mangsa Alicesa Lovenna, 5, pada Jumaat lalu.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, penyakit itu disebabkan oleh virus rabies yang berupaya menyerang sistem saraf.

Menurutnya, virus merebak kepada manusia melalui gigitan haiwan yang dijangkiti seperti anjing dan kelawar. Secara amnya, tempoh inkubasi atau tempoh antara gigitan anjing dan permulaan gejala penyakit adalah dari 20 hingga ke 90 hari.

“Ini bergantung kepada saiz luka dan tempat gigitan. Semakin hampir tempat gigitan dengan otak, semakin cepat gejala penyakit akan terjadi.

“Contohnya, seseorang yang digigit pada bahagian kaki akan menunjukkan gejala penyakit dua bulan lebih lewat daripada rakannya yang digigit pada bahagian pipi.

“Ini kerana, virus rabies bergerak secara perlahan melalui urat saraf periferi, kemudian ke saraf tunjang, otak dan organ-organ lain seperti ginjal dan kelenjar liur,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Gejala awal termasuk demam, sakit kepala dan kelesuan. Ini diikuti dengan rasa kebas pada tempat gigitan dan perubahan personaliti. Terdapat pesakit yang mengalami gejala furious rabies iaitu takut pada air, sawan, meracau dan keresahan.

Pesakit juga boleh mencapai klasifikasi paralytic rabies di mana virus itu berupaya menyebabkan lumpuh. Selepas dua minggu, pesakit akan mengalami koma dan majoriti pesakit meninggal dunia walaupun mendapat rawatan sokongan yang maksimum.

Penyakit anjing gila dapat dicegah dengan rawatan awal. Individu yang digigit anjing harus segera mencuci kawasan luka dengan air bersih serta sabun dan segera mendapatkan rawatan doktor.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam USIM, Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, oleh kerana tanda-tanda jangkitan ditunjukkan selepas satu hingga tiga bulan gigitan, mangsa mungkin kelihatan sihat dan bebas melepasi sempadan negara.

“Perkongsian maklumat berkenaan statistik rabies antara negara serantau terutamanya negara jiran adalah perlu. Ini memandangkan jangka masa jangkitan menunjukkan tanda-tanda penyakit mengambil masa yang lama selepas gigitan.

“Pencegahan paling berkesan memberikan vaksin rabies kepada anjing peliharaan supaya tidak mendapat jangkitan rabies daripada anjing liar. Selain itu, kawalan penyakit ini boleh dilakukan dengan mengenalpasti dan memusnahkan anjing yang dijangkiti,” katanya.

Tambahnya, golongan berisiko seperti pengendali pusat jagaan haiwan, petugas yang terlibat dalam kawalan anjing liar serta pekerja pembersihan taman awam yang mungkin terdedah kepada gigitan anjing yang dijangkiti perlu diberi vaksin sebagai langkah berjaga-jaga.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 16