SUKAN

‘Saya tak pernah berhenti berharap’

‘Saya tak pernah berhenti berharap’

FEDERER (kiri) dan Garbine Muguruza masing-masing memegang trofi kejuaraan Terbuka Wimbledon pada Majlis Makan Malam di The Guildhall, London semalam.


LONDON – Pemain tenis No. 3 dunia, Roger Federer mengakui tidak pernah berhenti untuk merealisasikan impiannya dalam misi memecah rekod sebagai pemain lelaki tertua yang berjaya menjulang Terbuka Wimbledon selain meraih gelaran kelapan peribadi susulan kejayaan menewaskan Marin Cilic 6-3, 6-1, 6-4 dalam aksi final kelmarin.

Atlet kelahiran Switzerland berumur 36 tahun itu berjaya memecah rekod Arthur Ashe yang berusia 32 tahun yang memenangi trofi tersebut pada edisi 1975, sekali gus meraih kemenangan Grand Slam ke-19 peribadinya.

“Saya melalui tempoh yang panjang untuk meraih kembali trofi ini selepas kali terakhir memenanginya pada kejohanan edisi 2012. Kemudian, saya mengharungi beberapa detik mengecewakan termasuk tewas dua kali di pentas final kepada Novak Djokovic.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah berhenti berharap bahawa saya mampu kembali berada di puncak karier dan perkara tersebut yang memberi motivasi kepada saya untuk meneruskan impian ini,” kata Federer.

Dalam perkembangan sama, pemenang pingat emas Sukan Olim­pik 2008 itu mengakui beliau perlu lebih banyak masa untuk berehat seperti yang dilakukan selepas meraih kemenangan Grand Slam pada Terbuka Australia, Januari lalu.

“Saya masih lagi kepenatan dan tidak salah sekiranya saya akan berehat semula selama enam bulan kerana situasi tersebut nyata membuahkan hasil buat saya tahun ini,” jelasnya.

Federer kini dijangka menjadi pilihan utama untuk meraih gelaran pada kejohanan terakhir Grand Slam musim ini pada Terbuka Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung Ogos depan.

– AFP

Process time in ms: 31