STAILO

Pahit, manis bergelar pereka baharu

Pahit, manis bergelar pereka baharu



MEMASANG cita-cita sebagai pereka fesyen membuatkan Chee Choo Yee Arun, 22, tekad berhijrah ke Kuala Lumpur seawal usia 16 tahun untuk mendalami bidang tersebut.

Dek kerana berbakat besar dan minat yang mendalam terhadap bidang fesyen, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu diterima bekerja oleh seorang pereka fesyen di Cheras, Kuala Lumpur.

“Saya mempunyai visi untuk menjadi pereka termuda maka, demi mengejar impian tersebut, saya terpaksa berkorban dan tinggal berjauhan dengan keluarga. Mereka di Kuantan manakala saya di Kuala Lumpur.

“Persekolahan berjalan seperti biasa di Kuala Lumpur dan sebaik pulang dari sekolah sekitar pukul 2 petang saya akan bekerja di butik,” katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Akui anak sulung daripada tiga beradik itu, keputusan tersebut pada awalnya dibantah oleh ibunya kerana risaukan masa hadapannya.

Namun, melihat kepada kesungguhan yang ditunjukkan oleh anaknya membuatkan si ibu akhirnya akur.

Dia yang lebih dikenali sebagai Arun Chee, bijak membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan, malah sangat aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.

Maka, tidak hairanlah anak kacukan India dan Cina ini memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran dan disayangi guru-guru.

Ujar Arun Chee, di butik itu dia menimba banyak ilmu termasuklah menjahit, mereka pakaian dan mencari material terbaik untuk menghasilkan busana.

Pada usia 17 tahun, pemuda itu telah mengikuti pelbagai pertandingan di dalam mahupun luar negara dan berjaya menempa namanya tersendiri.

Pencapaian yang cemerlang itu telah menarik perhatian City University, Petaling Jaya, Selangor untuk menawarkan biasiswa penuh kepadanya.

Ia sekali gus, memberi peluang kepada Arun Chee untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang rekaan fesyen pada usia 19 tahun.

Selain itu juga, kejayaan Arun Chee juga telah memberi peluang kepadanya untuk diterima menjadi ahli Malaysia Official Designers’ Association (MODA).

“Saya banyak belajar dengan pereka-pereka yang berpengalaman dalam persatuan itu dan tidak malu bertanya untuk mengutip ilmu daripada mereka.

“Oleh itu, ia mematangkan saya untuk menghasilkan rekaan-rekaan terbaik,” jelasnya yang turut berbakat mereka kasut.

Antara pencapaian yang pernah diraih oleh anak muda ini ialah juara Sungei Wang Young Designer Award 2014 selain juara Malaysia Footwear Design Competition dan naib juara bagi International Footwear Design Competition yang diadakan di China pada tahun 2014.

Melukis


AIN SALLEH (kiri) dan Arun Chee ingin mencipta nama dalam bidang rekaan feysen di dalam dan luar negara.


Cerita Arun Chee, minat terhadap fesyen telah berputik sejak berusia 14 tahun. Ketika itu dia suka melukis.

“Saya sangat suka melukis dan pada suatu hari saya telah menonton rancangan realiti televisyen dari luar negara, Project Runaway.

“Saya kagum dengan hasil rekaan pereka-pereka yang ditunjukkan dalam program tersebut lantas menarik minat untuk turut bergiat aktif dalam bidang ini,” tuturnya yang juga merupakan bekas penari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Selangor.

Pun begitu, kerjaya sebagai pereka fesyen bukanlah mudah, apatah lagi jika masih hijau dan nama tidak dikenali ramai. Namun, berkat kesabaran setiap halangan berjaya ditempuh dengan berlapang dada.

Setelah mengharungi onak dan duri, kini Arun Chee mempunyai jenama sendiri iaitu dikenali sebagai Arun Sayfull yang diusahakan bersama seorang rakan kongsi, Saiful Izham Ahmad, 30, sejak tiga tahun lalu.

“Kami mengetengahkan konsep busana mewah dan membuat rekaan untuk pakaian pengantin, gaun malam, tempahan dan sedia dipakai.

“Pelanggan pula terdiri daripada kerabat diraja, orang kenamaan, artis dan juga golongan pertengahan,” jelasnya yang meminati warna biru dan gaya santai.

Setiap momen pertandingan yang diharunginya tersimpan kemas dalam ingatan dan ia merupakan kenangan manis bagi diri Arun Chee.

Sementara itu, seorang lagi pereka baharu, Nur Ain Mohamad Salleh, 28, atau lebih dikenali sebagai Ain Salleh tidak menyangka akan menceburi bidang ini memandangkan dia merupakan seorang pelajar Ijazah Undang-undang, Universti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

“Ketika belajar saya menjual pakaian serta tudung kerana rakan-rakan amat meminati apa yang dipakai oleh saya.

“Lantas mereka mencadangkan agar saya mengusahakan perniagaan pakaian. Siapa sangka ia mendapat sambutan yang sangat baik,” ceritanya.

Bertitik tolak daripada itu, Ain Salleh mula tertarik dalam bidang ini dan perniagaan tersebut berterusan selama lima tahun sehinggalah dia menamatkan latihan dalam kamar.

Memandangkan dia lebih meminati bidang fesyen berbanding guaman, anak keenam daripada tujuh beradik itu mengambil keputusan untuk tidak menjadi seorang peguam sebaliknya beralih arah kepada fesyen.

“Pada tahun 2014 saya bergiat aktif sebagai pereka fesyen dan menubuhkan Mourissa Concept bersama suami, Megat Noor Irwan Megat Noor Ishak, 28.

“Sedar akan kekurangan ilmu dalam bidang fesyen dan ingin maju dalam kerjaya ini, saya mengikuti beberapa program seperti Program Pembangunan Usahawan Pereka bersama Sheikha Hub, MARA In Fashion (MiF) dan Malaysia Fashion Week,” ujarnya yang dilahirkan di Kuching, Sarawak.

Platform

Program-program tersebut membimbing usahawan yang menceburi bidang rekaan fesyen dari segi menerbitkan inspirasi, menghasilkan lakaran, membuat pakaian, memperagakan koleksi dan memasarkannya.

Ain Salleh menduduki kelompok lima terbaik ketika mengikuti MiF. Malah, hasil rekaannya juga dihantar ke London, Britain untuk penilaian pasaran.

“Rekaan saya berkonsepkan fesyen Muslimah yang memberikan keyakinan kepada wanita, minimalis, sopan dan tampil bergaya.

“Sasaran pasaran adalah pelajar dan wanita bekerjaya,” katanya yang suka memasak dan mengembara pada masa lapang.

Baginya, Malaysia Fashion Week dan MiF merupakan platform terbaik Ain Salleh untuk ke pasaran antarabangsa sehingga ada beberapa negara telah menghubunginya bagi memasarkan koleksi tersebut seperti Britain, Belanda dan Australia, Singapura dan Brunei.

Terang Ain Salleh, untuk sampai ke tahap ini bukan mudah kerana dia perlu bersaing dengan mereka yang mempunyai nama. Kerana bukan berlatarbelakangkan pendidikan fesyen juga, dia pernah berdepan detik-detik sukar untuk mendapatkan keyakinan orang.

“Berbanding pereka yang memiliki latar belakang fesyen, saya juga perlu meneliti satu per satu dan belajar melalui sampel pakaian. Ia memang mencabar.

“Ada kalanya rasa seperti mahu berputus asa namun terus berusaha sehingga berjaya,” katanya.

Ain Salleh membuktikan dengan berbekalkan minat dan cita-cita yang tinggi segalanya dapat direalisasikan.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31