RENCANA UTAMA

Diskriminasi darah campur di Korea Selatan

Diskriminasi darah campur di Korea Selatan


Han remaja kacukan Nigeria merupakan model kulit hitam pertama di Korea Selatan.


MODEL remaja lelaki yang dikenali sebagai Han Hyun-Min mempunyai kaki panjang dan aura mempesona membuatkan dia menjadi bintang bersinar di pentas peragaan Korea Selatan.

Pun begitu, remaja tersebut bakal menghadapi masalah di negara yang mempunyai etnik homogen kerana dia berkulit gelap.

Han, 16, merupakan anak hasil perkahwinan campur. Bapanya berketurunan Nigeria dan ibunya pula berketurunan Korea Selatan.

Masyarakat di negara tersebut mengamalkan diskriminasi yang sangat meluas terhadap mereka yang berkahwin campur yang dirujuk sebagai mongrel.

Menurut ejen sebuah agensi model, Youn Bum, model berkulit gelap seperti Han tidak pernah ada di negara itu dan keputusan yang diambil oleh pihaknya merupakan perjudian besar.

“Kini, nama Han semakin menonjol dan meningkat naik apabila dia menjadi model kulit hitam pertama di negara ini, malah wajahnya banyak menghiasi majalah terkemuka,” jelas Youn.

Korea Selatan sudah sekian lama berusaha untuk memupuk imej sebuah negara moden, sofistikated dan berteknologi tinggi.

Gelombang K-pop pula telah membantu menyebarkan imej itu ke seluruh Asia.

Di sebalik perkembangan ekonomi yang kukuh, wujud budaya perkauman yang sangat tinggi terhadap pendatang.

Walaupun sejak dua dekad yang lalu jumlah warga asing meningkat tetapi populasi mereka hanya empat peratus sahaja.

Diejek

Kebanyakan pendatang asing itu berasal dari China dan Asia Tenggara yang merupakan pekerja asing atau wanita berkahwin dengan orang luar kerana sukar mencari pasangan rakyat tempatan.

Diskriminasi terhadap mereka sangat kuat. Ramai yang suka mengejek secara terbuka.

Mereka enggan menaiki pengangkutan awam, memasuki restoran atau menggunakan tandas awam kononnya kotor atau busuk.

Tinjauan kerajaan pada tahun 2015 menunjukkan bahawa 25 peratus warga Korea Selatan tidak ingin pendatang asing sebagai jiran.

Angka tersebut lebih tinggi berbanding di Amerika Syarikat (AS) sebanyak 5.6 peratus dan China 10.5 peratus.

Kanak-kanak yang mempunyai darah campuran akan menjadi mangsa buli di sekolah dan sentiasa diejek dengan penggunaan bahasa kesat.

Anak-anak hasil perkahwinan campur sering mengadu mereka mempunyai masalah kekurangan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah kesukaran untuk bersosial, mendapatkan pekerjaan dan pasangan.

Dalam hal ini, Han tidak terkecuali dan keperitan itu dirasainya sejak kecil.

“Ketika saya bermain-main dengan rakan-rakan di sekolah, beberapa orang ibu menjauhkan anak mereka daripada saya,” cerita Han.

Dia sering dipandang pelik ketika berada di khalayak ramai dan seorang wanita tua pernah bertanya kepadanya apa yang dia buat di negara orang.

“Saya mahu menjadi halimunan agar diri ini tidak kelihatan.

“Saya sangat benci diri ini yang berbeza berbanding orang lain,” katanya.

Rentetan daripada peristiwa pahit yang dialaminya, remaja itu menemui jalan keluar menerusi bidang fesyen.

Han mengambil bahagian dalam pertandingan pencarian model serta meraih perhatian di laman sosial sehingga potensinya disedari Youn.

Selepas melihat keunikan wajah dan kemampuannya berjalan di atas pentas, Youn segera melamar Han menjadi model.

“Menjadi model membantu membina keyakinan diri dan merasa sangat hebat.

“Kini, saya seronok berada di hadapan orang ramai berbanding dahulu sering dimalukan sehingga merasa rendah diri,” jelasnya.

Remaja itu berharap kejayaannya dapat menjadi contoh kepada kanak-kanak berbilang kaum yang lain.

“Saya mahu menjadi lebih berjaya bukan hanya untuk diri sendiri tetapi mewakili orang lain yang merupakan warga kacukan,” tuturnya. – AFP

Rencana Utama!»

Hanya 100 kes dikesan di seluruh dunia

Lyla-GRACE (kiri) memiliki rambut berwarna perang muda berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pesona!»

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.

Varia!»

Pantai Drini lokasi rehatkan minda

Pantai Drini memiliki satu tebing besar yang membahagikan pantai itu kepada dua sisi.

Process time in ms: 31