RENCANA UTAMA

Tuas Payar lubuk ikan tenggiri

Tuas Payar lubuk ikan tenggiri

Tenggiri antara spesies ikan yang menjadi buruan kaki pancing di tuas Payar.


SEAWAL pukul 7.30 pagi, Hasbullah Ramli, 35, telah sampai di jeti Pengkalan Abang Yazid yang terletak di Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah.

Sambil menanti kedatangan rakan-rakannya yang lain, dia membawa naik kelengkapan memancingnya di atas sebuah bot yang berada berhampiran jeti tersebut.

Pada hari itu, dia ingin memburu ikan tenggiri di tuas Payar yang terletak di perairan Pulau Payar.

“Jika ada kelapangan, saya dan rakan sekerja gemar memancing ikan tenggiri di tuas Payar.

“Tuas ini menjadi lokasi wajib kami untuk memancing ikan tenggiri. Apa yang boleh saya katakan, kami tidak pernah pulang tangan kosong sepanjang memburu tenggiri di tuas ini,” jelas ayah kepada tiga cahaya mata itu.

Sebaik sahaja rakan-rakan lain sampai, mereka segera menaiki bot untuk ke tuas Payar yang terletak 18 batu nautika dari jeti tersebut.

Perjalanan untuk menuju ke tuas itu mengambil masa sekitar 45 minit hingga sejam.

Sebelum sampai ke lokasi tersebut, tekong bot yang membawa kumpulan pemancing akan berhenti dahulu di tengah laut bagi mencari umpan untuk digunakan memancing tenggiri.

“Umpan yang digunakan untuk memancing tenggiri ialah ikan selar kuning, borek dan kembong. Kami menggunakan teknik unjanan apollo bagi mendapatkan umpan ini.

“Untuk mendapatkan umpan ini bukanlah sesuatu yang sukar kerana setiap kali unjanan apollo ini dilontar pasti akan ada ikan yang meragut mata kail,” jelas Hasbullah.

Tambahnya, untuk memancing tenggiri lebih baik menggunakan umpan ikan hidup kerana ia lebih menarik perhatian tenggiri.

Begitupun, pada hari itu, mereka agak sukar mendapatkan umpan berikutan cuaca hujan dan laut sedikit bergelora.

Setelah umpan mencukupi, tekong bot bergerak menuju tuas Payar.

Seusia sampai ke tuas tersebut tanpa berlengah-lengahkan masa mereka terus melontarkan mata kail.

“Untuk memancing tenggiri ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi, adakalanya dua tiga jam awal langsung tiada umpan diragut atau dimakan ikan jenis lain.

“Kebiasaannya, ikan yang bersaiz kecil selain tenggiri kami akan lepaskannya kembali ke laut,” jelasnya.

Kesabaran menanti berbalas apabila joran salah seorang rakannya diragut dan seekor ikan tenggiri seberat hampir empat kilogram (kg) berjaya dinaikkan.

Selepas mendapat ikan pertama itu, satu demi satu joran diragut ikan.

“Untuk kunjungan kali ini, kami semua amat berpuas hati kerana berjaya menaikkan sebanyak sembilan ekor ikan tenggiri.

“Ikan yang paling besar yang berjaya ditewaskan ialah seberat 10kg,” jelas Hasbullah.

Seorang lagi kaki pancing, Sazuan Saad, 32, menyifatkan tuas Payar merupakan lokasi terbaik untuk kaki-kaki pancing menaikkan ikan tenggiri.

“Berbanding lokasi lain, tuas Payar ini memang tempat yang sesuai untuk kaki-kaki pancing merasai pengalaman joran ditarik oleh ikan tenggiri.

“Di sini ikan tenggiri cukup banyak dan setiap kali datang pasti ada hasil yang kami peroleh,” jelasnya.

Kepuasan


Kaki pancing pasti tidak pulang dengan tangan kosong setiap kali memancing di tuas Payar.


Dia yang minat memancing sejak remaja lagi berkata, bertarung untuk menjinakkan ikan tenggiri memberikan satu kepuasan yang tersendiri.

Sazuan berkata, lagi besar saiz ikan itu lagi sukar untuk ia dijinakkan.

“Menaikkan ikan tenggiri seberat 10kg bukan mudah. Kami ambil masa sekitar 20 hingga 30 minit untuk menaikkannya ke atas bot.

“Ia satu kepuasan apabila dapat memancing ikan tenggiri bersaiz besar kerana bukan mudah untuk mendapatkannya,” jelasnya.

Tambahnya, apa yang lebih menarik memancing di tuas Payar ialah sebaik sahaja pulang ke jeti pasti ada peraih-peraih ikan menunggu untuk membeli hasil yang diperoleh.

Sazuan berkata, jika hasil yang diperoleh banyak mereka akan menjualnya separuh dan selebihnya akan diagih-agihkan kepada rakan-rakan lain.

“Ikan yang dijual kepada peraih itu juga dapat kami gunakan untuk membayar sewa bot,” katanya.

Sementara itu, pemilik tuas Payar dan jeti Pengkalan Abang Yazid, Sayadid Shaffie, 51, memberitahu, dia menjalankan perkhidmatan membawa kaki pancing ke tuas Payar sejak 2014.

Sewaan bot

Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan setiap hujung minggu kebanyakan bot habis disewa oleh kaki-kaki pancing.

“Sehingga kini, kami mempunyai lebih 12 buah bot untuk membawa kaki-kaki pancing ke tuas Payar.

“Harga sewaan sebuah bot ialah RM600 untuk tempoh 11 jam dan ia boleh memuatkan sehingga enam orang. Kebiasaannya, mereka akan keluar ke tuas Payar seawal pukul 7.30 pagi dan pulang pada 6.30 petang,” jelasnya.

Tambahnya, selain itu, kaki-kaki pancing dari luar Kedah seperti Terengganu, Kelantan, Johor dan Melaka juga hadir memburu ikan tenggiri di tuas Payar.

Dalam pada itu, Sayadid berkata, di perairan itu terdapat lebih 11 tuas yang boleh dikunjungi oleh kaki-kaki pancing.

“Saya sengaja membuat 11 tuas bagi memberi pilihan kepada kaki-kaki pancing. Jika tuas yang mereka kunjungi itu tidak ada ikan, mereka boleh pergi ke tuas lain dan jaraknya antara satu sama lain tidaklah terlalu jauh.

“Di tuas ini, saya meletakkan tukun tiruan dalam usaha untuk menggalakkan pembiakan pelbagai spesies ikan di kawasan ini.

“Selepas usaha ini dilakukan spesies ikan semakin bertambah dan ia menjadi satu lokasi yang sering dikunjungi oleh kaki-kaki pancing,” jelasnya.

Tambahnya, bagi mereka yang gemar untuk memancing ikan tenggiri tidak perlu risau kerana spesies ikan itu ada di tuas Payar sepanjang tahun.

Dalam masa yang sama, Sayadid berkata, bagi pemancing yang ingin menjual ikan tenggiri yang dipancing, dia juga membelinya.

Stailo!»

Angkat seni fesyen di rantau Asean

Khampee LAKSANOSURANG (dua dari kanan) dari Thailand ketengahkan rekaan pakaian menggunakan elemen batik selatan Thailand.

Process time in ms: 47