DUNIA

Harga petrol di Korea Utara lebih RM12 seliter

Harga petrol di Korea Utara lebih RM12 seliter


AP - GAMBAR fail bertarikh 1 April 2016 menunjukkan kenderaan berbaris di sebuah stesen petrol di Pyongyang, Korea Utara.


SEOUL – Harga petrol dan diesel di Korea Utara melonjak naik beberapa minggu selepas syarikat minyak negara China menggantung penjualan bahan api ke negara terasing itu, menurut data yang disemak oleh agensi berita Reuters dan temu bual dengan seorang pembelot Korea Utara.

Syarikat milik pemerintah, China National Petroleum Corp menghentikan jualan diesel dan petrol kepada Korea Utara sejak sebulan atau dua bulan lalu berikutan tekanan antarabangsa untuk mengekang program nuklear dan perluru berpandu Pyongyang, demikian menurut laporan eksklusif Reuters pada 28 Jun lalu.

Hubungan komersial China de­ngan jirannya itu terus diawasi de­ngan ketat selepas ujian peluru berpandu balistik antara benua pertama Korea Utara dua minggu lalu.

Harga jualan petrol di Pyongyang dan bandar sempadan seperti Sinuiju dan Hyesan di utara negara itu melonjak kepada AS$2.92 (RM12.50) seliter setakat 5 Julai lalu, kenaikan 50 peratus berbanding bulan sebe­lumnya, demikian menurut analisis Reuters ke atas data yang dikumpulkan oleh laman web Daily NK.

Daily NK dikendalikan oleh pembelot-pembelot Korea Utara yang mengumpulkan maklumat harga petrol dan diesel melalui panggilan telefon dengan pedagang minyak di Pyongyang.

Seorang pembelot itu, Kang Mi-jin, berkata, kenaikan tinggi harga minyak itu disebabkan oleh khabar angin yang kemudian disahkan bahawa China telah menyekat penghantaran petrol dan diesel ke Korea Utara.

Sebahagian besar bekalan minyak Korea Utara datang dari China dengan sebahagian lagi dari Rusia. – Reuters

Process time in ms: 31