TERKINI

Kastam patah cubaan seludup gading gajah bernilai RM300,000

Kastam patah cubaan seludup gading gajah bernilai RM300,000

17/07/2017 4:27pm


Penyeludupan gading gajah bernilai RM300,000 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan satu cubaan penyeludupan gading gajah bernilai RM300,000 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Hamzah Sundang berkata, hasil risikan dan pemantauan sepasukan pegawainya telah membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Vietnam, 44, yang dikesan membawa masuk gading gajah di Balai Ketibaan KLIA pada pukul 10.30 malam, Jumaat lalu.

"Semasa ditahan, suspek didapati memiliki tiga bagasi dan pemeriksaan imbasan mendapati dua daripada bagasi itu mengandungi 10 bungkusan gading gajah berbentuk semi produk (separuh siap) diproses bernilai RM300,000.

"Pemeriksaan mendapati, kesemua gading gajah dengan berat lebih kurang 36 kilogram (kg) itu diletakkan dalam guni sebelum dimasukkan ke dalam bagasi berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hamzah, berdasarkan siasatan suspek dikesan datang ke Malaysia menerusi penerbangan Ethiopian Airlines dari Addis Ababa, Ethiopi ke Kuala Lumpur sebagai pelancong.

"Ini merupakan kali ketiga suspek datang ke negara ini dan kemungkinan atas tujuan yang sama iaitu membawa masuk bekalan gading gajah yang dilarang pengimportannya.

"Siasatan mendapati, bekalan gading gajah itu dipercayai diperoleh dari negara Afrika untuk dihantar ke Malaysia," katanya lagi.

Tambah beliau, kebanyakan gading gajah yang telah separuh siap diproses itu dipercayai untuk dijual sebagai barang keagaamaan dan perhiasan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali nilai atau maksimun 20 kali ganda daripada nilai barangan yang disita atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - K! ONLINE

Rencana Utama!»

Hanya 100 kes dikesan di seluruh dunia

Lyla-GRACE (kiri) memiliki rambut berwarna perang muda berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pesona!»

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.

Varia!»

Pantai Drini lokasi rehatkan minda

Pantai Drini memiliki satu tebing besar yang membahagikan pantai itu kepada dua sisi.

Process time in ms: 2422