SUKAN

Ghaddar tidak mengecewakan

Ghaddar tidak mengecewakan


GHADDAR (dua dari kanan) menjaringkan gol kedua JDT pada aksi menentang Sarawak di Larkin malam kelmarin.


PENYERANG skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Ghaddar tidak pernah mengecewakan.

Setiap kali diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan itu, dia akan tampil dalam kelas tersendiri.

Pada aksi menentang Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin, dia sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila meledak dua gol ketika mereka menewaskan pasukan Bujang Senang 2-1.

Pemain sensasi kelahiran Lebanon yang kini sudah menjangkau usia 33 tahun itu telah menunjukkan kemampuan sebenar, sekali gus tidak menghampakan lebih 10,000 penyokong skuad Harimau Selatan yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Pada aksi malam kelmarin, Ghaddar dianggap wira apabila meletakkan JDT di hadapan seawal minit ke-11.

Gol kedua Ghaddar pada perlawanan tersebut hadir pada minit ke-75 setelah mudah menyem­purnakan hantaran pemain gantian, Muhd. Safawi Rasid.

Gol ketiga JDT dihadiahkan Muhd. Safawi yang menggantikan Gabriel Guerra pada minit ke-77.

Skuad Bujang Senang pula memperoleh gol sagu hati menerusi Nur Shamje Iszuan Amin pada minit ke-69.

Ketika mengulas perlawanan tersebut, jurulatih JDT, Ulisses Morais berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya apabila berjaya meraih tiga mata penuh, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta liga.

“Kemenangan malam ini (kelmarin) sangat berharga buat pasukan kerana meletakkan sasaran untuk terus meraih mata dalam baki saingan liga.

“Kami juga tidak meletakkan pasukan berada dalam keadaan selesa walaupun setakat ini JDT telah mengutip 39 mata. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik dan terus mengutip mata,” kata Morais ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam kelmarin.

Menurutnya lagi, beliau juga berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan Ghaddar pada perlawanan tersebut yang bijak mengambil peluang untuk menghasilkan gol.

“Ghaddar semakin menunjukkan keserasian dengan pemain lain dalam pasukan dan ini perkembangan yang bagus. Saya harap dia terus konsisten dalam misi membantu JDT mengekalkan gelaran juara Liga Super,” ujarnya lagi.

Untuk aksi akan datang, Morais berkata, beliau akan membuat sedikit rombakan dalam kese­belasan utama kerana jadual perlawanan nampak semakin padat.

“Kami perlu merehatkan beberapa pemain utama,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31