HIBURAN

Saharul Ridzwan mohon maaf

Saharul Ridzwan mohon maaf


Saharul berasa lega apabila bengkak pada bahagian leher anaknya bukan satu penyakit kronik.


SETIAP ibu bapa pasti akan berasa cemas sekiranya tahap kesihatan anak mereka berada dalam keadaan kurang memuaskan atau mengalami sebarang masalah.

Perkara itu turut dilalui oleh pemilik nama Mohd. Saharul Ridzwan Hashim yang terpaksa mengetepikan tanggungjawabnya untuk hadir majlis sidang akhbar drama mini Chor & Chah pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Saharul juga memohon maaf kerana tidak muncul dalam majlis tersebut berikutan membawa anaknya ke Hospital Pusrawi Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.

Sebaik mendapat rawatan, Saharul akhirnya mampu menghela nafas lega apabila doktor memaklumkan cahaya matanya, Muhammad Luth Ali berada dalam keadaan baik.

Kata pelakon berusia 28 tahun itu, masalah bengkak pada bahagian kelenjar leher adalah situasi biasa yang dialami oleh golongan kanak-kanak.

Meskipun doktor memaklumkan bayi berusia sebulan itu tidak menghidapi sebarang penyakit kronik, Saharul bagaimanapun tidak menafikan bahawa dia tetap berasa bimbang akan keadaan tahap kesihatan anaknya.

KOSMO!: Bolehkah Saharul Ridzwan jelaskan mengenai kegagalan anda muncul sewaktu majlis sidang akhbar drama mini Chor & Chah yang berlangsung pada Isnin lalu?

SAHARUL RIDZWAN: Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana membawa anak (Muhammad Luth Ali) ke Hospital Pusrawi bagi mendapatkan rawatan berikutan dia mengalami bengkak pada bahagian kelenjar leher kiri.

Adakah masalah kesihatan tersebut akan mendatangkan kemudaratan kelak?

Alhamdulillah menurut doktor, gejala bengkak kelenjar pada bahagian leher adalah satu situasi biasa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Doktor menasihati agar bayi kerap diberikan susu badan bagi membantu tahap antibodi dan pulih dengan sendiri.

Bagaimanakah anda mula mengetahui akan keadaan bayi yang mengalami masalah bengkak kelenjar pada bahagian leher?

Pada awalnya saya tidak mengesyaki sebarang perubahan sehingga memeriksa pada bahagian lehernya yang kelihatan bengkak sebelah. Disebabkan berasa runsing sekiranya ia akan mendatangkan kemudaratan kelak, saya bergegas membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dalam masa sama, seluruh ahli keluarga terutama isteri turut berasa bimbang sekiranya tahap kesihatan berlarutan.

Sebelum menyedari akan leher Luth bengkak, adakah ada sebarang simptom atau bayi mengalami demam?

Tiada sebarang tanda atau masalah kesihatan dan keadaan bayi juga seperti biasa. Namun, disebabkan ini cahaya mata pertama, jadi saya dan isteri berada risau sekiranya sebarang perkara buruk berlaku ke atas bayi.

Selain daripada bercakap tentang anak, apakah aktiviti seni terkini anda?

Saya sekarang sedang menjalani penggambaran drama mini Chah & Chor selain menunggu keputusan perbincangan mengenai penggambaran dua buah filem. Salah satunya merupakan naskhah seram arahan Osman Ali manakala sebuah lagi kisah berbentuk aksi. Selain itu, bagi menjayakan filem aksi tersebut saya terpaksa menurunkan berat badan sehingga agar kelihatan kurus.

Bolehkah jelaskan apa yang anda lakukan untuk menurunkan berat badan?

Sekiranya bercakap tentang berat badan, tiada banyak perubahan kerana saya banyak memberi fokus kepada bentuk fizikal badan agar kelihatan lebih kurus. Selain itu, cara mudah lain untuk kecilkan badan ialah saya tidak akan pergi ke gimnasium dan kawal pengambilan makanan.

Process time in ms: 62