HIBURAN

Prinsip seni Syafiq Kyle

Prinsip seni Syafiq Kyle

JADI BUALAN - Membawa watak Jemy dalam drama Mencintaimu Mr Photographer, piawaian lakonan Syafiq dilihat semakin memberangsangkan.


JIKA diikutkan gerak jiwanya suatu ketika dahulu, barangkali kelibat Syafiq Kyle sebagai pelakon tidak dapat ditonton oleh peminatnya di layar kaca pada hari ini.

Bukan disebabkan kurangnya rasa minat terhadap bidang lakonan, tetapi, perasaannya pada waktu itu sedikit terganggu dengan bakat lain sehingga menerbitkan keinginan untuk berputus asa.

“Ketika awal kemunculan sebagai pelakon dan melihat pelakon sedia ada dalam industri, mental saya tidak cukup kuat untuk bersaing. Saya berasa kurang yakin dan sering bimbang dengan keupayaan sendiri.

“Pernah beberapa kali saya mahu menyerah kalah dan mengundurkan diri daripada bidang lakonan. Namun, saya berasa sangat bersyukur kerana perkara tersebut tidak berlaku. Hal ini kerana, ramai individu yang berada di belakang saya tidak putus-putus memberikan semangat dan memujuk untuk saya terus melakar nama sebagai pelakon,” ujar Syafiq membuka membicara.

Menurut Syafiq, tiada siapa yang mampu untuk mengubah prestasi sebagai seorang pelakon melainkan dirinya sendiri.

“Bagi saya, seorang pelakon itu tidak perlu melihat keupayaan orang lain sebagai satu perkara yang menakutkan.

“Ia boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk melipat gandakan usaha, selain memperbaiki kelemahan diri.

“Apa yang penting, kita perlu yakin dengan diri sendiri,” katanya lagi.

Perhatian

Memulakan kerjaya sebagai anak seni selepas mengikuti pertandingan Hero Remaja 2012, helaian muka surat portfolio seni pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak itu dilihat lambat menebal.

Berbanding beberapa finalis Hero Remaja 2012 yang lain seperti Fattah Amin dan Saharul Ridzwan, graf popularitinya dalam kalangan peminat dilihat sedikit di belakang.

Jika ada sekalipun yang mengenali, jejaka berusia 25 tahun itu hanya sekadar diingati menerusi watak lakonannya iaitu Johan menerusi drama berunsur Islamik, Tanah Kubur.

Terus mencuba dalam beberapa naskhah drama komersial lain seperti Isteri Separuh Masa dan Married Tapi Benci, usaha Syafiq untuk berada di hadapan masih kurang berhasil.

Sehingga sekitar awal tahun lalu, namanya mula menjadi sebutan selepas menjayakan watak Izz Haikal dalam drama bersiri berjudul Suamiku Paling Sweet.

Kini, namanya hangat diperkatakan apabila drama lakonan terbaharunya, Mencintaimu Mr Photographer menjadi bualan.

Watak Jemy yang dimainkan Syafiq disifatkan semakin matang, sementelah bersama gandingannya, pelakon baharu dari Singapura, Hana Delisha sebagai Aira Qaisara mencetuskan jalinan kimia yang baik.

Biar meraih pelbagai respons mengenai lakonan terkininya, Syafiq enggan mengeluh. Dia menerima fakta tersebut dengan jiwa terbuka. Syafiq berkata, dia tidak kisah jika dilabel sebagai pelakon yang lambat panas kerana baru sekarang namanya disebut-sebut.

“Keberadaan setiap pelakon dalam dunia lakonan sentiasa berubah-ubah. Sekitar lima tahun lalu, saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada diri saya hari ini. Begitu juga dengan jangkaan lima tahun lagi, tiada siapa yang akan tahu,” katanya.

Menurut Syafiq, selain tuah, dia juga selalu percaya tentang limpahan rezeki dan kerja keras.

“Setiap kejayaan terhasil kerana usaha yang tidak putus. Rezeki itu hanya datang jika kita tidak berhenti mencarinya.

“Sejujurnya, saya berasa bersyukur. Sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan, rezeki dan tawaran berlakon tidak pernah putus,” katanya sambil tersenyum.

Melanjutkan bicara mengenai kariernya yang semakin cemerlang, Syafiq berkata, dia cuba untuk menjaga apa yang ada agar kemudinya dalam industri hiburan sentiasa lancar dan tanpa sebarang masalah.

“Sebagai seorang pelakon, kita perlu ada visi dan misi untuk mengukuhkan jangka hayat kita dalam bidang seni.

“Sebagai contoh, peminat sekarang lebih cenderung menggunakan media sosial sebagai platform berhubung. Jadi, saya perlu ambil peluang tersebut untuk mengekalkan pengaruh sebagai pelakon,” katanya yang gemar berbual dengan peminat menerusi balasan tweet dalam akaun Twitternya.

Mata

Mengulas mengenai cara untuk mengekalkan momentum kariernya yang semakin diberi perhatian, Syafiq selesa untuk tidak mengikuti mana-mana kelas lakonan secara teori.

Katanya, dia lebih cenderung untuk mempelajari tentang bidang lakonan menerusi pengalaman dan perkongsian daripada individu yang lebih senior.

“Bagi saya, kelas lakonan terbaik adalah kedua-dua bola mata saya. Menerusi penglihatan, kita dapat mempelajari banyak perkara, baik dari segi teori mahupun praktikal.

“Jika ada masa terluang, saya akan duduk dan bertanya dengan mereka yang lebih berpengalaman,” tuturnya yang banyak menghabiskan masa dengan pengarah dan penerbit drama bagi bertukar-tukar pendapat dan pengalaman.

Biarpun proses pembelajaran tidak formal pilihannya berlaku dalam kadar perlahan, tetapi pengacara rancangan Bila Bujang Masuk Dapur itu tetap positif dengan impak yang bakal diperoleh.

“Benar, saya akui pembelajaran yang saya pilih ini akan berlangsung dalam tempoh yang lama.

“Namun, saya percaya belajar daripada pengalaman itu lebih berkesan berbanding duduk dalam kelas dan rasanya lebih mahal,” ujar Syafiq yang menyamakan proses pembelajarannya itu dengan kematangan usia dalam bidang lakonan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Syafiq sempat berpesan supaya melihat kerjaya lakonannya terlebih dahulu sebelum paras rupa dan penampilan.

“Tidak nafikan bahawa paras yang tampan merupakan satu bonus dalam bidang lakonan. Namun, lebih bagus jika pakej yang ada disertakan dengan gaya lakonan yang berkualiti.

“Saya mahu orang lihat saya lebih daripada seorang pelakon bernama Syafiq Kyle yang berwajah kacak,” tutup Syafiq.

Rencana Utama!»

Kuasa trending, kualiti drama Melayu

PENONTON pada masa kini mula disajikan dengan banyak karya bersifat ringan atau santai, berbanding sarat nilai kehidupan seperti yang pernah terjadi sekitar tahun 90-an dahulu.

Varia!»

Fatihah Frozen Food semakin dikenali ramai

FATIHAH bersama anak-anaknya, Hamizah (kanan) dan Hazirah ketika berbincang mengenai perancangan syarikat milik mereka.

Process time in ms: 31