DUNIA

Wanita Rohingya adu kekejaman tentera Myanmar

Wanita Rohingya adu kekejaman tentera Myanmar


REUTERS - SARBEDA bercakap kepada pemberita di Kampung Kyar Gaung Taung, negeri Rakhine,utara Myanmar pada Jumaat lalu.


KYAR GAUNG TAUNG, Myanmar – Wanita Islam daripada etnik Rohingya beratur untuk mengadu tentang kehilangan suami, ibu dan anak mereka kelmarin ketika media antarabangsa pertama kali dibenarkan memasuki sebuah kampung di negeri Rakhine, utara Myanmar yang dicemari keganasan sejak Oktober tahun lalu.

“Anak lelaki saya bukan pengganas. Dia ditangkap ketika bercucuk tanam,” kata seorang ibu muda, Sarbeda.

Pada minggu ini, Kementerian Maklumat Myanmar mengiringi lebih 12 wartawan asing dan tempatan yang mewakili media antarabangsa termasuk Reuters masuk ke kawasan berkenaan di bawah pengawasan pasukan Polis Kawalan Sempadan.

Kumpulan wartawan itu meluangkan masa hampir dua hari di Buthidaung, sebuah pekan di daerah Maungdaw, negeri Rakhine di mana mereka dibawa ke lokasi yang didakwa dicemari oleh aktiviti militan.

Wartawan-wartawan itu memasuki Kampung Kyar Gaung Taung, salah satu daripada tiga kawasan penempatan etnik Rohingya yang mereka minta untuk dilawati.

Sarbeda, 30, yang merupakan penduduk kampung berkenaan, dibenarkan melawat anak lelakinya, Nawsee Mullah, 14, di sebuah kem polis di mana dia ditahan berasingan dengan tahanan dewasa.

Menurut Reuters pada Mac lalu, seramai 13 budak lelaki di bawah usia 18 tahun ditahan semasa operasi keselamatan oleh tentera Myanmar. Mereka termasuk dalam senarai 423 orang yang ditahan kerana menyertai dan membantu kumpulan pemberontak.

“Sekurang-kurangnya 32 orang dari Kampung Kyar Gaung Taung ditangkap dan 10 lagi dibunuh,” kata seorang guru di kampung itu.

Menurut sumber, hampir separuh daripada 6,000 penduduk kampung itu telah melarikan diri semasa operasi pembersihan oleh tentera.

Seorang lagi penduduk kampung, Lalmuti, 23, menunjukkan sebuah longgokan abu di mana dia menemui mayat bapanya.

Wanita itu berkata, bapanya diikat dan dicampakkan ke dalam sebuah rumah dan dibakar hidup-hidup.

Pada November tahun lalu, tentera Myanmar menggeledah kampung-kampung Rohingya di Maungdaw untuk menghapuskan kumpulan pemberontak.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 75,000 orang melarikan diri ke negara jiran Myanmar, Bangladesh.

Pasukan penyiasat PBB yang menemu bual pelarian Rohingya berkata, pasukan keselamatan Myanmar dipercayai melakukan jenayah kemanusiaan termasuk rogol beramai-ramai, membakar kediaman dan membunuh etnik Rohingya. – Reuters

Rencana Utama!»

Hanya 100 kes dikesan di seluruh dunia

Lyla-GRACE (kiri) memiliki rambut berwarna perang muda berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pesona!»

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.

Varia!»

Pantai Drini lokasi rehatkan minda

Pantai Drini memiliki satu tebing besar yang membahagikan pantai itu kepada dua sisi.

Process time in ms: 32