RENCANA UTAMA

Trauma kekasihku perempuan sakit jiwa

Trauma kekasihku perempuan sakit jiwa


ADA waktu Ainul lebih gemar bersendirian dan menangis tanpa sebab. – Gambar hiasan


PENGALAMAN hampir mati dibunuh kekasih sendiri cukup meninggalkan kesan mendalam buat diri Farid (bukan nama sebenar), 32, dalam satu kejadian yang berlaku hampir dua tahun lalu.

Siapa sangka, wanita yang dilihat lemah lembut dari segi ­luaran itu hampir meragut nyawanya de­ngan sebilah pisau selepas mereka bertengkar akibat salah faham.

Lebih mengejutkan, rahsia mengenai wanita yang menjadi kekasihnya selama setahun itu terbongkar apabila dia pernah menjalani rawatan mental suatu ketika dahulu dan masih bergantung pada ubat sehingga ke hari ini.

Menurut Farid, dia berkenalan dengan wanita yang dikenali sebagai Ainul (bukan nama sebenar), 32, itu melalui laman sosial Facebook.

“Daripada teman biasa kami menjadi semakin rapat dan akhir­nya memutuskan untuk menjadi pasangan kekasih,” jelas lelaki yang berasal dari Pantai Timur itu.

Menurut Farid, dia mengakui Ainul merupakan seorang wanita yang cantik ditambah pula dengan sifatnya yang lemah-lembut serta sopan.

Memandangkan Ainul tinggal bersama keluarganya, Farid kerap berkunjung ke rumah apabila keluarga wanita itu sudah mengena­linya dan senang menerima keha­diran Farid.

Sepanjang tempoh mereka menjadi pasangan kekasih, Farid tidak mengesyaki apa-apa masalah tentang Ainul.

Ubat-ubatan

Cuma apa yang diperhatikan, Ainul merupakan seorang yang mudah menangis dan ada masanya perasaan wanita itu turut berubah menjadi seorang yang panas baran dan pemarah walaupun disebabkan hal remeh-temeh.

“Cuma apabila perangainya begitu, saya tidak akan mengganggunya kerana menganggap ia perkara normal yang dilalui wanita,” jelas Farid.

Suatu hari, ketika mereka keluar menonton wayang, Farid telah membuka beg tangan Ainul untuk meminjam alat pengecas telefon bimbit semasa wanita itu ke tandas.

Dakwa Farid, dia menemui di dalam beg tangan teman wanita­nya pelbagai jenis ubat serta kad kesihatan hospital, namun ketika itu dia langsung tidak terfikir perkara yang bukan-bukan.

Apabila ditanya kepada Ainul, wanita itu memberitahu, ia cuma ubat demam serta gastrik dan menasihati Farid supaya tidak terlalu bimbang tentangnya.

Farid pernah diberitahu oleh ibu kepada Ainul supaya dia dapat menerima seadanya kekurangan wanita itu dan berjanji akan me­nyayangi anaknya.

Pada masa itu, Farid cuma meng­anggap itu hanyalah nasihat biasa seorang ibu kepada lelaki yang menjadi kekasih kepada anak pe­rempuannya dan berusaha untuk menjaga hubungan tersebut.

Namun, semuanya berubah apabila Farid dan Ainul bergaduh pada suatu hari. Dengan tidak semena-mena wanita itu menuduh Farid mempunyai wanita lain.

“Wanita yang dimaksudkan itu cuma rakan sekolah dan kami berjumpa secara kebetulan sahaja,” jelas Farid.


FARID pernah menemui ubat dalam jumlah yang banyak di dalam beg tangan teman wanitanya, namun dia tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk.


Ditikam

Gara-gara kejadian itu, Ainul tiba-tiba sahaja mengamuk. Perlakuannya yang lemah lembut hilang serta-merta dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Farid.

Oleh kerana kejadian itu berlaku di rumah keluarga Ainul, kelakuan wanita itu dapat ditenteramkan oleh ibunya yang meminta dia supaya bertenang dan bersabar.

“Dengan tidak semena-mena, tiba-tiba Ainul mengambil pisau di dapur dan cuba menikam saya.

“Mujur saya sempat melarikan diri ke kawasan luar rumah dan segera beredar dari situ dengan menaiki kereta,” jelas Farid.

Pada hari yang sama, Farid telah dihubungi ibu Ainul untuk memberitahu perkara sebenar. Menurutnya, Ainul sebelum ini pernah menjalani rawatan sakit jiwa akibat tekanan yang dihadapi selepas putus tunang beberapa tahun lalu.

Lebih mengejutkan, Ainul didapati pernah mengandung anak luar nikah, namun anak yang dikan­dungkan meninggal dunia semasa masih di dalam kandungan.

Walaupun tidak perlu lagi menjalani sesi rawatan, Ainul masih bergantung kepada ubat penenang yang perlu diambil tepat pada masanya.

“Mendengarkan perkara itu, saya berasa tidak sampai hati untuk membuat laporan polis walaupun nyawa sendiri pernah terancam,” katanya.

Selepas kejadian itu, Farid tidak lagi berhubung dengan keluarga Ainul, malah sehingga kini dia tidak mengetahui perkembangan wanita itu.

Rencana Utama!»

Hanya 100 kes dikesan di seluruh dunia

Lyla-GRACE (kiri) memiliki rambut berwarna perang muda berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pesona!»

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.

Varia!»

Pantai Drini lokasi rehatkan minda

Pantai Drini memiliki satu tebing besar yang membahagikan pantai itu kepada dua sisi.

Process time in ms: 62