RENCANA UTAMA

Imbauan 10 tahun gempa bumi Kashiwazaki

Imbauan 10 tahun gempa bumi Kashiwazaki


SEORANG penunggang basikal menolak basikalnya di sepanjang jalan di bandar Kashiwazaki yang dilanda gempa bumi.


KAZUAKI KITAGAMI baru memulakan syif kerjanya pada pukul 10 pagi di sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di bandar Kashiwazaki, Niigata, Jepun. Tidak semena-mena dikejutkan dengan satu goncangan kuat.

“Gegaran itu membuatkan saya berasa pening dan sukar untuk berdiri. Ada pelanggan yang berlari keluar dan ada yang menyorok di bawah meja.

“Kami berada dalam keadaan panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Suara jeritan serta tangi­san kedengaran di mana-mana,” imbaunya.

Gegaran yang terjadi akibat gempa bumi berukuran 6.8 magnitud itu meragut 11 nyawa dan menyebabkan kerosakan teruk kepada beratus-ratus rumah kayu beratap genting serta bangunan di Kashiwazaki, iaitu kawasan paling teruk terjejas. Infrastruktur lain termasuk jalan dan lebuh raya terpaksa ditutup berikutan keretakan teruk.

Lebih malang, kejadian yang berlaku pada 16 Julai 2007 itu turut menyebabkan sebuah loji kuasa nuklear terbakar sehingga mengakibatkan air yang mengandungi sedikit bahan radioaktif daripada salah satu reaktornya bocor.

Insiden kebocoran tersebut tidak diumumkan kepada orang ramai sehingga petang hari kejadian, selepas gempa mulai reda.

Ekoran kejadian itu, kira-kira 10,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan buat sementara bagi mengelakkan kesan radiasi.

Asap hitam

Seorang anggota polis bertugas, Masao Honma berkata, dia ternampak asap hitam berkepul-kepul naik ke udara di Loji Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwaa.

Sebagai rekod, loji nuklear yang paling besar di dunia itu membekalkan kira-kira 30 peratus bekalan sumber kuasa elektrik untuk sektor perindustrian dan perumahan di Jepun.

Kenyataan media yang diberikan oleh Eksekutif Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo, Jun Oshima memaklumkan bahawa, kira-kira 1,192 liter air bersisa bahan radioaktif tertumpah dari tangki sebuah reaktor. Ia mengalir masuk ke dalam saluran paip yang dikumbah ke laut.

Oshima bagaimanapun tidak dapat menjelaskan sama ada kebocoran itu berpunca daripada kerosakan tangki atau air bersisa radioaktif tersebut tertumpah dengan sendirinya.

Pun begitu, pihaknya memberi jaminan bahawa kuantiti air bersisa toksik itu tidak sampai ke aras berbahaya.

“Kami mengesahkan air me­ngandungi sedikit bahan radioaktif bocor dari loji ini. Namun, kebocoran dipercayai terlalu kecil di bawah paras yang boleh menjejaskan alam sekitar. Tiada perubahan signifikan dilihat pada air laut berhampiran loji,” katanya seperti dipetik agensi berita Kyodo News.


RATUSAN rumah kayu beratap genting serta bangunan ranap akibat kejadian gempa bumi yang melanda Kashiwazaki, Jepun pada 16 Julai 2007.


Pusat gempa

Kebakaran di Loji Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa itu dapat dipadamkan dalam masa dua jam, namun runtuhan dan kerosakan akibat gempa dapat dilihat di mana-mana.

Di Tokyo, gegaran kuat turut dirasakan. Bangunan pencakar langit dilaporkan bergoyang, manakala perkhidmatan kereta api laju dan tren tempatan terpaksa dihentikan bagi mengelakkan tragedi lebih dahsyat.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memendekkan kempen di selatan negara Matahari Terbit itu untuk pilihan raya Dewan Atasan Parlimen dan kembali ke Tokyo bagi meninjau kerosakan di Kashiwazaki.

Jurucakap Agensi Polis Negara di Tokyo berkata, sembilan warga emas terdiri daripada enam wani­ta dan tiga lelaki berumur dalam lingkungan 70 hingga 80 tahun terkorban akibat dihempap runtuhan rumah sewaktu gempa berlaku.

Hampir 100 pusat perlindungan didirikan, manakala tentera dan pasukan kecemasan tambahan dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat dan pemberian bantuan.

Gempa pada pukul 10.13 pagi (9.13 pagi waktu Malaysia) yang berpusat di Laut Jepun kira-kira 250 kilometer (km) ke barat laut Tokyo itu mengingatkan rakyat Jepun tentang gegaran yang membunuh 65 orang di lokasi sama tiga tahun lalu.

“Kejadian ini mengingatkan kami tentang gempa bumi terdahulu,” kata seorang wanita dalam lingkungan umur 50-an kepada stesen televisyen dari rumahnya di mana kelihatan perabot terbalik dan barang bertaburan.

Beberapa gegaran susulan melanda kawasan berkenaan dengan gempa paling kuat berukuran 5.6 pada skala Richter.

Sebelum ini, Niigata dilanda gempa bumi dengan kekuatan 6.8 magnitud pada Oktober 2004 yang meragut 65 nyawa dan mencede­rakan lebih 3,000 penduduk. Ia gempa paling buruk dalam sejarah Jepun sejak tahun 1995.

Sementara itu, Datuk Bandar Kashiwazaki, Hiroshi Aida mengeluarkan arahan agar Loji Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa yang terletak 9km dari pusat gempa itu supaya ditutup sehingga ia disahkan selamat.


SEBUAH gerabak kereta api di Stesen Kashiwazaki tergelincir dari landasan rel ekoran gegaran kuat yang melanda kawasan di barat laut Tokyo itu.


Loji ditutup

Loji tersebut didapati menghadapi beberapa masalah lain termasuk kebocoran minyak dan air, peralatan yang rosak serta saluran paip yang tersalah pasang.

Masalah kebocoran bahan radio­aktif itu mencetuskan kemarahan orang ramai terutama­nya kumpulan antinuklear dan sejumlah pegawai tinggi kerajaan.

Berikutan kejadian itu, operasi loji nuklear di Jepun semakin berkurangan. Ditambah dengan kejadian letupan nuklear di loji Fukushima Daiichi di Tokyo ekoran kejadian gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, banyak loji yang terpaksa ditutup.

Sebelum ini Jepun memiliki keseluruhan 42 buah loji nuklear tetapi dengan penutupan satu demi satu loji tersebut, Negara Matahari Terbit berkenaan kini hanya mempunyai tiga buah loji yang aktif.

Walaupun Loji Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa terkecuali daripada penutupan operasi, kerajaan Jepun terus mengambil langkah berjaga-jaga dan melaksana peraturan keselamatan ketat bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Biarpun sudah 10 tahun berlalu, kawasan itu masih berisiko dilanda gempa bumi, malah pakar geologi dan saintis beranggapan Jepun khususnya ibu negaranya, Tokyo memiliki 90 peratus risiko dilanda gempa bumi untuk 50 tahun akan datang.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47