RENCANA UTAMA

Rumah mini Melayu klasik

Rumah mini Melayu klasik



BAHANG terik mentari tidak sedikit pun membuatkan lelaki berusia lebih separuh abad itu berhenti daripada terus memegang tukul di tangannya.

Sesekali, lelaki itu dilihat mengesat peluh yang mengalir di dahi daripada terus menitik di atas kayu-kayu yang bertimbun di atas meja menggunakan tangan sambil menghela nafas panjang.

Riak wajahnya begitu serius mengambil ukuran kayu sebelum memotongnya dengan menggunakan mesin pemotong untuk mendapatkan bentuk yang diinginkan.

Begitulah rutin harian yang dilakukan oleh Salim Omar, 61, sejak lima tahun lalu apabila setiap hari, dia akan bertukang dengan membina replika rumah tradisional Melayu untuk dijual kepada individu yang berminat.

Bukan itu sahaja, Salim turut memenuhi permintaan tempahan oleh pembeli untuk memiliki koleksi replika rumah tradisional mengikut rekaan dan bentuk yang diinginkan oleh pelanggannya.

Sambil duduk bersembang dan menikmati hidangan kuih raya, Salim memberitahu, dia mula membuat replika rumah tradisio­nal sejak lima tahun lalu iaitu sebelum bersara daripada berkhidmat di Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Nilai, Negeri Sembilan.

“Saya bekerja sebagai pembaik kerosakan di TNB selama 35 tahun dan kini telah pun bersara,” tutur bapa kepada lima orang cahaya mata itu.

Kata Salim, minatnya terhadap reka bentuk rumah tradisional Melayu telah timbul sejak dari zaman bujang, namun tidak berkesem­patan untuk membuat replika seperti yang dihasilkan pada hari ini atas faktor kekangan masa.


SALIM hanya mengambil masa selama empat hari hingga seminggu untuk menyiapkan sebuah replika rumah tradisional Melayu.


Taksub

Kerana minat dan taksub terhadap rumah tradisional Melayu, Salim bersama isterinya, Rosnah Ramli, 55, suka mengambil gambar rumah-rumah tradisional jika berkunjung ke satu-satu tempat di seluruh Malaysia untuk dijadikan simpanan dan rujukan.

Menurut lelaki berstatus datuk kepada lapan orang cucu itu lagi, dia paling teruja setiap kali berkunjung ke Kampung Morten di Melaka kerana keunikan rumah tradisional Melaka yang terdapat di sana.

“Saya serta isteri telah beberapa kali ke Kampung Morten dan tidak pernah jemu melihat seni bina rumah yang begitu sinonim dengan tangga batu itu,” jelasnya.

Bahkan, Salim sendiri yang berasal dari Limbongan, Melaka, mengakui, minatnya terhadap rumah tradisional Melayu kerana kediaman orang tuanya sendiri me­rupakan rumah tradisional Melaka.

Sehingga hari ini, rumah pusaka tinggalan orang tuanya masih kekal dengan ciri-ciri asal yang sama, namun semakin uzur akibat dimamah usia.

Salim mendakwa, dia tidak pernah rasa jemu melihat reka bentuk rumah tradisional Melayu, malah kagum dengan seni bina rumah orang-orang dahulu yang dihiasi dengan seni ukiran indah.

Pada awal pembabitannya membuat replika rumah tradi­sional Melayu, Salim ingin membuat rumah berkonsepkan 1Malaysia iaitu rumah-rumah tradisional Melayu yang ada di setiap negeri.


SALIM ditemani isterinya, Rosnah yang banyak membantu memberi galakan dan idea untuk dia menghasilkan sesebuah replika rumah tradisional Melayu.


Rumah Pahang

Bagaimanapun, para pelanggan lebih menggemari rumah tradisional Melaka dan Negeri Sembilan kerana keunikan pada reka bentuk rumah tradisional Melayu tersebut lebih terserlah.

Bersyukur kerana dikurniakan bakat semula jadi, Salim tidak pernah mengikuti mana-mana kursus kemahiran pertukangan apabila bakatnya dalam membina replika rumah tradisional Melayu itu datang secara sendirinya.

Apabila ditanya replika rumah tradisional Melayu pertama yang dihasilkan, Salim memberitahu, hasil tangan sulung yang dihasilkan adalah rumah tradisional Pahang.

Cerita Salim, pada asalnya dia ingin membina rumah tradisional Melaka, namun tidak menjadi se­perti apa yang diinginkan kerana dia masih dalam proses percubaan.

“Saya gagal untuk membina bahagian belakang rumah tradisional Me­laka dan terus menjadikannya rumah Pahang memandangkan bentuknya yang hampir sama,” kata Salim.

Apabila ditanya mengenai ciri-ciri rumah tradisional Pahang, Salim memberitahu, rumah tersebut tidak banyak bezanya dengan rumah tradisional Melayu yang lain dari segi reka bentuk.

Rumah tradisional Pahang tidak mempunyai sambungan pada baha­gian belakang selain turut tidak mempunyai serambi, manakala reka bentuk jendela rumah Pahang lebih tinggi berbanding rumah Melaka.

Selain itu, cerita Salim, untuk mengenal pasti sesebuah rumah tradisional itu, ia boleh dilihat pada reka bentuk bumbungnya yang berbeza seperti rumah tradisional Ne­geri Sembilan yang bercirikan seni bina Minangkabau.

Untuk membuat sesebuah replika rumah tradisional itu, Salim akan bermula dengan membuat bahagian rangka rumah terlebih dulu sebelum memasang bahagian lantai rumah.


SETIAP perincian diberikan perhatian bagi memaparkan sisi sebenar sesebuah rumah tradisional itu.


Dirobohkan

Seterusnya, bahagian tingkap serta dinding akan dinaikkan dan diwarnakan dengan cat minyak atau varnis. Selepas cat kering, Salim akan memasang langsir pada tingkap dan akhirnya memasang bahagian bumbung.

“Bahagian paling sukar untuk dibuat ialah pada bahagian bumbung rumah kerana saya akan mengukir dan menyusun setiap lapisan bumbung itu satu demi satu mengikut bentuknya yang sebenar,” kata Salim yang turut menggunakan bumbung atap rumbia dan zink mengikut kehendak pelanggannya.

Bagi setiap rekaan, kira-kira 30 batang kayu digunakan untuk me­nyiapkan sebuah replika rumah tradisional.

Apabila ditanya tentang perasaannya terhadap rumah tradisional Me­layu, Salim memberitahu bahawa dia dapat merasakan terdapat aura pada seni bina sesebuah rumah tradisional itu.

Tambahnya, dia akan merasa sebak setiap kali memandang mana-mana replika rumah tradisional yang dibinanya kerana akan terkenang zaman kanak-kanaknya yang pernah membesar di rumah seperti itu.

“Banyak rumah tradisional di kampung-kampung telah dirobohkan atau dipecahkan pemiliknya untuk digantikan dengan rumah batu.

“Mungkin keadaan rumah kayu tersebut yang telah uzur dan ia memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih,” kata Salim yang se­ring kali berangan untuk duduk di serambi setiap kali melihat replika rumah tradisional Melayu yang dia hasilkan.

Sehingga kini, Salim telah menghasilkan kira-kira 38 buah replika rumah tradisional dengan sebahagian daripadanya telah dijual kepada pelanggan termasuk seorang pembeli dari Indonesia yang membeli dua buah replika rumah tradisional Negeri Sembilan dengan reka bentuk bumbung Minangkabau.

Harga untuk sebuah replika rumah tradisional Melayu pula dijual antara RM350 sehingga RM1,000 bergantung pada saiz dan rekaan yang dihasilkan.

Bahkan, Salim turut menyewakan hasil tangannya itu dengan kadar RM20 sehari dan RM200 selama sebulan untuk dijadikan dekorasi oleh agensi-agensi seperti bank, pasar raya, pejabat, hotel serta restoran.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 32