RUANG

BEAM pilih konsep industri

BEAM pilih konsep industri

KAFE seluas 223 meter persegi ini mampu memuatkan sehingga 80 orang pelanggan pada satu-satu masa.


AROMA kopi panas sudah mula terhidu tatkala kru Jurnal tiba di lokasi yang menghiasi kolum Ruang minggu ini. Selesai memarkir kereta, langkah kaki dihayun menuju ke pintu masuk utama kafe BEAM.

Lokasi kafe yang terletak di antara kilang-kilang di Bandar Sri Damansara itu agak tersorok memandangkan ia terletak di hujung sebatang jalan yang dinamakan Jalan Gangsa.

Begitu pun, tulisan perkataan BEAM yang menggunakan rona coklat pekat di bahagian hadapan kafe itu mudah dilihat dari bahu jalan tersebut.

Sebaik sahaja pintu kafe dari jenis besi dan kaca itu dikuak, dekorasi ala industri seakan-akan sudah boleh ditelah memandangkan bangunan kafe dari rona kelabu itu kelihatan seperti sebuah kilang perindustrian.

Pemilihan batang-batang paip yang dijadikan dekorasi pada bahagian dinding kafe menyerlahkan elemen kreatif dalam tatariasnya.


KAUNTER kuih dan kek dibuat daripada kayu, sama seperti meja dan kerusi kafe bagi mencipta kesenadaan.


Kayu dan besi

Selain paip, pemilik juga meletakkan pelbagai dekorasi kecil lain yang terdiri daripada alatan-alatan menyediakan kopi yang sebenarnya turut dijual di situ.

Di bahagian belakang kafe pula, kemasan dindingnya adalah daripada rona kelabu cair yang sengaja dipilih pemilik bagi mencipta kesenadaan dengan bahagian luarnya.

Seorang wanita muda mula mendekati kru Jurnal dan memperkenalkan diri sebagai Lica Lee, pengurus kafe tersebut lalu membuka bicara tentang konsep dekorasi yang diketengahkan oleh kafe BEAM.

“Konsep dekorasi kafe ini adalah industri, sesuai dengan lokasi­nya yang terletak di sebuah kawasan yang dipenuhi pelbagai kilang.

“Bagi menjadikan konsep ini tambah menyerlah, pemilihan perabot seperti kerusi dan meja makan adalah daripada material kayu dan besi kerana ia cukup sesuai dengan keseluruhan ruang kafe,” ujar wanita berusia 25 tahun itu.

Susun atur perabot yang kemas menjadikan kafe itu tampak luas biar­pun ia sebenarnya dipenuhi dengan pelbagai dekorasi unik.

Antaranya termasuklah mesin-me­sin kopi dan penapis biji kopi.

Pemilihan nama kafe pula adalah daripada akronim atau gabungan huruf-huruf pertama daripada perkataan Bean Expedition at Manufactory.

Menurut Lica, nama tersebut di­pilih memandangkan selain menyajikan minuman kopi kepada pelanggan, kafe BEAM juga sebenarnya turut menghasilkan biji kopi mereka sendiri.

“Sebenarnya, sebelum ini, kami merupakan pengedar biji kopi daripada kilang kami sendiri yang juga terletak di Bandar Sri Damansara.

“Kami kemudian mengambil keputusan untuk membuka sebuah kafe dan menggunakan nama yang sama,” ujarnya.

Kafe seluas 223 meter persegi itu mula dibuka pada tahun 2014 dan baru sahaja menyambut ulang tahun keti­ganya awal Julai ini.

Rona kelabu dipilih sebagai rona utama bagi bahagian luar dan juga dalam kafe memandangkan ia merupakan warna yang cukup selamat untuk digabungkan dengan warna-warna lain.

Bangunan satu tingkat itu juga dilihat melakukan sedikit pengubah­suaian dengan menambah tangga besi di bahagian kiri dan kanan kafe bagi mencipta kelainan.

Aras dua boleh menempatkan sehingga 20 orang pengunjung pada satu-satu masa, manakala aras bawah pula mampu menempatkan sehingga 60 orang pengunjung pada satu-satu masa.


DINDING jenis batu-bata pada ruangan ini menyerlahkan lagi ciri moden dan industri kafe BEAM.


Cahaya jingga

Bagi yang gemarkan udara segar tatkala menghirup kopi panas, kafe BEAM juga turut menyediakan ruang bersantai di bahagian luar yang turut diserikan dengan pohon-pohon menghijau.

Suasana damai pada ruang luar menjadikan ia antara ruang kegemaran pengunjung tatkala berkunjung ke kafe BEAM.

Dari sudut pencahayaan ruang makan pula, konsep industri biasanya jarang menggunakan lampu jenis sarat atau mewah seperti candelier, oleh itu pemilik meletakkan mentol-mentol kecil yang cukup ringkas.

Cerita Lica, cahaya jingga tersebut sebenarnya membantu keseluruhan ruang kafe tampak sedikit ‘lembut’.

“Memandangkan kafe ini menggabungkan perabot jenis kayu dan besi, ruang ini kelihatan agak ‘keras’. Begitu pun, dengan meletakkan cahaya jingga, ia sebenarnya menjadikan ruang ini kelihatan lembut dan lebih mendamaikan,” ujarnya.

Selain itu, pemilik juga hanya menggunakan satu warna sahaja iaitu hitam pekat bagi kemasan cat pada besi-besi di bahagian tangga kafe yang menyerlahkan sisi elegan kafe tersebut.

Kafe BEAM menyajikan menu ala barat dan juga menu masakan Melayu.

Antara menu yang wajib dicuba termasuklah kopi ais yang dihidangkan bersama gula Melaka iaitu resipi kafe BEAM sendiri dan juga roti bakar signatur kafe itu yang disajikan bersama kaya, mentega, keju cair serta kepingan badam yang cukup lazat.

Rencana Utama!»

Hanya 100 kes dikesan di seluruh dunia

Lyla-GRACE (kiri) memiliki rambut berwarna perang muda berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pesona!»

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.

Varia!»

Pantai Drini lokasi rehatkan minda

Pantai Drini memiliki satu tebing besar yang membahagikan pantai itu kepada dua sisi.

Process time in ms: 62