DUNIA

Krisis Qatar-Teluk terus buntu

Krisis Qatar-Teluk terus buntu

GAMBAR fail pada 4 Oktober 2012 menunjukkan pemandangan di ibu kota Qatar, Doha. - AFP


DUBAI – Tiada penyelesaian segera terhadap perbalahan antara Qatar dan empat negara yang memulaukannya termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kata Menteri Hubungan Luar UAE, Anwar al-Gargash menerusi kenyataan di akaun Twitter rasmi beliau semalam.

“Kami sedang menuju kepada perpecahan yang berpanjangan, kami amat jauh daripada penyelesaian politik dalam mengubah hala tuju Qatar. Menyedari akan perkara ini, Kami perlu mencari format hubungan lain dengan negara tersebut,” kata Anwar.

Kenyataan beliau membayangkan bahawa situasi terus buntu selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson meninggalkan rantau Teluk kelmarin.

Tillerson berada tiga hari di Teluk untuk membantu menyelesaikan pertikaian terburuk antara negara-negara Arab yang menjadi sekutu AS itu.

Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada 5 Jun lepas kerana mendakwa Doha menyokong akti­viti pengganas dan berpakat dengan Iran. Semua dakwaan itu dinafikan oleh Qatar.

Semasa lawatannya ke Doha, Tillerson menandatangani perjanjian Qatar-AS bagi memerangi pembiayaan keganasan dalam usaha meredakan ketegangan, namun ia masih gagal meyakinkan seteru-seteru Qatar.

Jabatan Negara AS berkata kelmarin bahawa Tillerson berharap agar semua pihak yang terlibat dalam pertikaian itu dapat berunding secara bersemuka.

“Berdasarkan perbincangan beliau, Til­lerson percaya bahawa langkah penting seterusnya adalah supaya semua pihak yang bertelagah dapat berunding secara bersemuka.

“Kami berharap semua pihak akan bersetuju melakukannya,” kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert. – Reuters

Process time in ms: 31